Hujan
Posted by albanna at 10:50 AMTuan-tuan, saya ada terbaca satu makluman berkenaan dengan taburan hujan di negara kita, Malaysia. Dicatatkan bahawa taburan hujan di seluruh negara setiap tahun mencecah 3, 300mm. Namun menurut teori, tanah runtuh boleh berlaku jika taburan hujan yang diterima melebihi 1,000mm per tahun. Bagaimana pandangan tuan? Nampaknya saya dan tuan hanya pandai beteori semata-mata.
Sekian dimaklumkan.
p/s: Gambar sekadar hiasan semata-mata.
The Souls of the Martyrs are in Paradise
Posted by albanna at 8:29 AMThe screenshot on the above is a YouTube video from the Janazah of the Bali Bombers. It’s has been reported that two birds appeared out of nowhere and were circling above the crowd (watch the video). If I am not mistaken it was Amrozi and his younger brother Mukhlas’ Janazah. Imam Samudra was burried on another place.
May Allah SWT forgive them and accept them as shuhada, ameen. Perhaps it was the sign of Allah SWT that they have attained martyrdom? Inshallah and Allah knows best.
It has been narrated on the authority of Masruq Who said:
We asked ‘Abdullah about the Qur’anic verse: “Think not of those who are slain in Allah’s way as dead. Nay, they are alive, finding their sustenance in the presence of their Lord…” (iii. 169).
He said: We asked the meaning of the verse (from the Holy Prophet) who said: The souls, of the martyrs live in the bodies of green birds who have their nests in chandeliers hung from the throne of the Almighty. They eat the fruits of Paradise from wherever they like and then nestle in these chandeliers. Once their Lord cast a glance at them and said: Do ye want anything? They said: What more shall we desire? We eat the fruit of Paradise from wherever we like. Their Lord asked them the same question thrice. When they saw that they will continue to be asked and not left (without answering the question), they said: O Lord, we wish that Thou mayest return our souls to our bodies so that we may be slain in Thy way once again. When He (Allah) saw that they had no need, they were left (to their joy in heaven).
(Sahih Muslim: Book 020, Hadith Number 4651.)Copy and pastet from http://www.backtoislam.com/the-souls-of-the-martyrs-are-in-paradise/
Apa Itu Sastera Islam - oleh Sekolah Pemikiran Kg. Baru
Posted by albanna at 2:04 PMApa takrif Sastera Islam?
Itu merupakan salah satu kes di mana penangan AAC (Ayat-ayat Cinta) menyebabkan beliau mula kerap diundang menyampaikan ceramah agama. Tapi, beliau kerap merendah diri. Dia tidak banyak mendabik dada ketika membicarakan AAC itu.
"Saya tak meletakkan novel itu sebagai sastera Islami. Saya hanya letakkan novel itu sebagai novel pembangun jiwa. Tapi, khalayak ramai kemudiannya meletakkan karya itu sebagai sastera Islam.
"Saya tidak melihat Sastera Islam itu mestilah ciri-cirinya berlatarbelakangkan masjid, Makkah dan Madinah. Ini satu tanggapan yang mesti dibetulkan," katanya lagi.
Malah katanya, novel berjudul Harimau Harimau oleh Mochtar Lubis juga boleh diangkat sebagai sastera Islam. Ini kerana katanya, karya itu terselit di dalamnya unsur kesufian daripada segi perasaan al-Khauf (takutkan pembalasan Allah) dan al-Raja' (pengharapan).
"Latarbelakang pengkisahannya cuma hutan dan bukannya di masjid, Mekah dan Madinah. Sekumpulan manusia mula tersesat di hutan dan masing-masing takut mati dibaham harimau. Pada saat itu, mereka mula menghitung nasib diri, amalan berhubung dosa dan pahala. Nah! Ada unsur tasawuf di situ," tambahnya lagi.
Selain itu Kang Abik turut memetik lagi beberapa buah novel yang beliau masih ingat. Antaranya kisah sebuah kampung petani yang tanaman mereka tidak menjadi kerana dilanda musim kemarau. Tiba-tiba ada seorang petani tua yang berpesan agar jangan mudah menyerah kalah kepada kemarau itu.
"Petani tua itu berkata, di sana ada danau yang masih boleh diambil airnya. Ambil dan siramkan tanaman itu. Dan ini ada hubungan dengan firman Tuhan - Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum sehinggalah kaum itu sendiri yang bertindak mengubahnya.
"Jadi, jangan disempitkan lagi sastera Islam itu dengan berlatarbelakangkan cuma masjid, Makkah dan Madinah sahaja," kata beliau lagi.
Baginya, penafsiran yang melihat sastera Islam itu cuma terhad kepada latarbelakang Makkah, Madinah, masjid itu akan menyebabkan sastera Islam akan menjadi makin sempit, walhal Islam itu luas dan rahmatnya melimpah ke serata alam. Islam ada pada setiap bangsa dan ia hadir di semua negara.
"Malah sastera Islam itu masuk mengalir ke Indonesia itu serentak dengan kehadiran Islam itu sendiri," kata beliau lagi sambil merujuk kepada tradisi dakwah Wali Songo yang menggunakan elemen, tradisi hiburan.
Mengarang dari Hati
"Mungkin kerana AAC berlatarbelakang al-Azhar, maka ia diangkat sebagai sastera Islam. Tetapi, saya ingin katakan bahawa jika saya tak belajar di al-Azhar dan di Timur Tengah sekali pun, saya tetap akan mengarang Ayat-Ayat Cinta."
Kami cuba mencungkil rahsia resipi Kang Abik dalam menyediakan ramuan novel sebagai hidangan jiwa, santapan rohani dan kini ia menjadi juadah pembuka selera bicara bagi penggemar sastera kini.
"Biasa saja, sesuaikan tema novel dengan judulnya. Malah AAC itu sudah ada berapa buah judulnya dalam fikiran saya sebelum ini," kemudian dia terdiam sebentar.
"Ya, selain itu ada juga kita bertafakur, bermenung sendirian..."
Saya yakin, Kang Abik tergolong dalam kumpulan manusia, atau watak-watak penulis yang mengarang bukan lagi lewat jari-jemari, malah mereka mengarang daripada hati-hatinya.
Seperti kata Buya Hamka dalam salah satu catatannya, orang yang mengarang dari hatinya, tulisan mereka itu akan terpancar dan kesannya terus masuk ke dalam hati manusia lain.
10:00 p.m, 20 November
Sekolah Pemikiran Kg. Baru
Ihsan daripada : Sifu Uni PTS
Trio Syuhada' - Menelusuri Perjuangan Orang Muda
Posted by albanna at 1:00 PMPesanan mereka buat yang ditinggalkan. Prioriti buat anak-anak muda!
As Syahid Imam Samudera
Masih saya ingat sewaktu dibangku sekolah menengah, setiap tahun menjelang Usrah Wida', senior kami terutamanya AJK BADAR akan melagukan puisi nukilan as Syahid Syed Qutb. Puisi tersebut ditulis oleh alMarhum Syed Qutb ini dihasilkan sewaktu beliau menghampiri temujanji menemui ALLAHU RABBI. As Syahid Syed Qutb mati ditali gantung setelah dijatuhkan hukuman secara kejam oleh pemerintah taghut pada waktu itu. Puisi ini terlalu asyik untuk dihayati, malah nadanya sayu dan hiba sekali.
Seandainya kau tangisi pemergianku
Dan kau sirim pusaraku dengan air matamu
Maka di atas tulangku yang hancur luluh
Dan nyalakanlah obor buat umat ini
- as Syahid Syed Qutb -
Rangkap puisi panjang. Seingat saya, puisi yang dilagukan ini masih tersimpan kemas dalam koleksi kaset-kaset nasyid saya di Pasir Tumboh. Moga ALLAH Ta'ala merahmati trio Syuhada' ini. Moga kita dipimpin ALLAH hingga ke Syurga. Doakan kami kekal dijalan ini. Takbir!!!
Satu Hari di Multaqa Sufi
Posted by albanna at 5:27 PMHari itu, aku mengikut perhimpunan sufi yang diadakan di Hadramaut. Ada ahli sufi yang datang terbang, ada yang berjalan di atas air, ada yang tiba-tiba ada di hadapan mata, ada yang naik kereta, tidak kurang yang naik kapal terbang, malah ada yang naik helikopter peribadi. Watak dan karakter mereka, semuanya berbeza. Masih ada yang mengenakan pakaian bulu yang kasar, ada yang memakai jubah dan serban yang besar, berkopiah tajam, ada yang berjanggut panjang, yang tidak berjanggut semacam aku pun ada, malah ada yang berkot dan memakai tali leher.
Hari itu sangat menyeronokkan. Ma’ruf al-Karkhi turut hadir membentangkan kertas kerja berkaitan konsep Dzuq dan Fana’. Siapa yang tidak gembira dapat bertemu dengan seorang ahli sufi sesoleh beliau. Rabia’ah al-Adawiyah turut membentangkan kertas kerja berkaitan ke arah membentuk golongan sufi wanita dalam memartabatkan maruah wanita yang kian tercemar. Beliau bukan sahaja akan mengupas soal keruntuhan tamadun terdahulu apabila meminggirkan wanita, malah beliau akan mengemukakan hasil kajian dan analisis terbaru beliau terhadap emansipasi wanita di negara-negara Eropah. Ia pastinya sangat menarik.
Aku juga menantikan pembentangan daripada al-Ghazali berkaitan menghidupkan hati yang sudah lama kekeringan dengan rasa takut dan cintakan Allah. Masing-masing kalangan mereka membentangkan kertas kerja sesuai dengan kekuatan masing-masing. Rasanya aku kerdil sekali. Apatah melihat Abu Yazid al-Bustami dan Tok Kenali yang tidak memakai selipar kerana tenggelam dalam keasyikan cinta kepada Allah, aku semakin kerdil. Wajah Zun Nun al-Misri sangat bersih dan bercahaya membuatkan aku jatuh cinta menatap wajahnya. Ya, hasil simbahan iman kepada Allah, dan ruku’ serta sujud yang tidak henti-henti.
Sang pujangga tersohor Abdullah bin al-Mubarak juga datang bersama sahabat akrabnya Fudhail bin ‘Iyad. Aku juga sangat seronok melihat Hassan al-Banna dan Umar al-Telmisani juga datang dalam perbincangan kali ini. Ternyata perhimpunan dan multaqa’ sufi kali ini dihadiri oleh orang-orang yang hebat dari seluruh dunia. Malah paling menggembirakan aku apabila bertemu dengan moyang aku Tok Pulai Chondong. Beliau yang terkenal dengan kependekaran itu sangat tegap badannya. Aku memeluknya erat seraya mencium tangan dan pipinya berkali-kali. Dia memeluk aku semacam aku anak kecil yang rindukan belaiannya. “Tok, saya rindukan atuk,” luah aku keanak-anakan.
Aku sangat tertarik mendengar penghuraian konsep mahabbatuLlah yang disebut oleh guru sufi, Junaid al-Baghdadi. Hassan al-Basri yang sentiasa berwajah pucat kerana takutkan Allah menangis tidak henti-henti. Air mata mengalir dari semua kolam mata mereka. Aku lihat dengan jelas sekali garisan putih di bawah pipi Ibrahim al-Nakhaei kerana terlalu banyak menangis dek takut dan rindukan Allah.
“Hamba yang cinta kepada Allah adalah hamba yang menyahkan hawa nafsunya, tidak putus-putus berzikir kepada Tuhannya, mendirikan hak-hak Allah, melihat Allah dengan mata hati. Sekiranya ia berbicara, ia berbicara dengan Tuhannya. Sekiranya ia bercakap, ia bercakap tentang Allah. Sekiranya ia bergerak, ia bergerak atas perintah daripada Allah dan sekiranya ia senyap, ia bersama-sama Allah. Ia di sisi Allah, untuk Allah, dan bersama Allah,” kupas al-Baghdadi sambil menundukkan mukanya dan menangis teresak-esak. Aku turut sebak bila mengingatkan diriku yang jauh daripada Allah. Seketika, suasana bising dengan bunyi esakan. Al-Baghdadi berhenti daripada berbicara. Beliau kelihatan sungguh-sungguh menangis.
Laa ilaha illaLlah, Laa ilaha illaLlah, Laa ilaha illaLlah…
‑
Abdullah bin al-Mubarak juga membentangkan kertas kerja Peranan Sufi Dalam Membebaskan Dunia Islam Daripada Cengkaman Barat. Beliau yang terkenal dengan syair terhadap Fudhail bin ‘Iyad menggariskan beberapa perkara penting yang harus diperkasakan antaranya menanamkan semula semangat jihad kalangan umat Islam. Beliau turut memberikan pujian sekadarnya kepada Hassan al-Banna yang berjaya menubuhkan gerakan Islam yang berjaya menggerunkan pihak Barat dan Yahudi. Dalam sesi soal jawab, Sheikh Ahmad Deedat memperingatkan peri pentingnya ahli audi memahami skill berdakwah dalam menarik golongan yang anti Islam termasuklah golongan Liberalis dan Orientalis.
Dalam pertemuan itu, aku mengambil kesempatan bertemu dengan sufi wanita Rabi’ah al-Adawiyah. Ketika itu beliau sedang berbincang dengan Malik bin Dinar berkenaan dengan ajaran sufi yang semakin disesatkan dengan pemikiran yang dangkal. Malik bin Anas mencelah di tengah-tengah dengan menyebut, Barangsiapa yang mempelajari syariah tetapi tidak belajar hakikat, maka ia fasiq. Barangsiapa yang sebaliknya adalah zindiq. Aku meminta Rabi’ah masa hanya lima minit untuk bertanyakan pandangan dia tentang mahabbatuLlah.
Ringkas sahaja beliau menjawab, “Beramallah kerana Allah, bukan kerana syurga dan neraka. Wahai anakku, jika engkau melihat aku sedang berbicara dengan engkau sekarang, maka ketahuilah bahawa hati sedang gering dalam merindui Allah sang Pencipta. Hanya jasadku berbicara denganmu sedangkan hati aku melayang ke langit sana bertemu sang Kekasih,” dan aku terkesima mendengar nasihatnya yang cukup tajam.
Ibn ‘Ataillah juga diberi penghormatan untuk mendiskusikan karyanya al-Hikam. Aku sangat terkesan apabila beliau menyebut, kita bersyukur kepada Allah kerana telah melindungi aib kita daripada diketahui orang ramai. Jika Allah tidak menutup aib kita, pasti orang tidak akan respect dengan kita. Maka apabila ada orang memuji kita, maka kita kembalikan pujian itu kepada Allah yang tidak mendedahkan kelemahan-kelemahan kita. Mendengar sahaja kupasan yang sangat mendalam itu, Zun Nun al-Misri dan Abu Yazib al-Bustami terus pengsan. Suara tangisan semakin membingitkan suasana. Aku turut menangis melihat suasana begitu. Hati mereka sangat bersih dan mudah sekali tersentuh. Ia berbeza sama sekali dengan hati aku yang berkarat dan hitam dengan kotoran dosa yang sukar dibersihkan.
“Tuan Guru, bagaimana ana mesti membersihkan diri ana?” tanya ana kepada Sufyan al-Thauri. Beliau menundukkan wajahnya sambil menangis seraya berkata, “Wahai anakku, lebih baik engkau bertemu dengan Yahya bin Ma’in kerana ia lebih baik berbanding aku. Bagaimana orang yang berkarat hati ingin membersihkan hati orang lain, bukankah ini yang disebut oleh Ramadhan al-Buti?” aku sekali lagi terpegun dan tertegun. Sampai begitu sekali tawadhu’nya mahaguru sufi yang tersohor itu. Ya, siapa yang tidak kenal al-Thauri yang faqih lagi zahid. Aku teringat Sa’id Hawwa menjelaskan, jadilah orang faqih yang zahid, bukan orang zahid yang faqih.
Tiba-tiba majlis gempar. Rupanya Abdullah bin Mas’ud RA sahabat nabi yang besar dijemput sama dalam majlis ini untuk memberikan ucapan perasmian. Beliau ditemani mahaguru besar kami Sheikh Abdul Qadir Jailani. Beliau membacakan beberapa ayat al-Quran yang menyentuh tentang kenikmatan syurga dan kedahsyatan neraka. Suaranya merdu sekali. Sekali lagi, suasana jadi khali, dan hati menjadi khalis.
Laa ilaha illaLlah, Laa ilaha illaLlah, Laa ilaha illaLlah…
‑
Kata Ibn Mas’ud RA, “Bila hati kamu tidak tenang, maka pergilah ke majlis para ulama. Jika hati tetap tidak tenang, maka bacalah al-Quran. Jika hati tetap tidak tenang, maka bangunlah di waktu malam untuk bermunajat. Namun jika hati tetap tidak tenang, maka berdoalah kepada Allah agar kamu diberikan hati yang lain,” ujar Ibn Mas’ud RA sambil merasmikan majlis pada hari ini.
Aku terus menangis dan menangis. Sudah lama aku kekeringan air mata. Aku berjaga malam untuk PRK tetapi aku tidak bertahajud. Aku kuat berjuang tetapi aku kurang membaca al-Quran. Aku banyak berceramah tetapi aku kurang berzikir. Aku kuat berjihad menegakkan Islam tetapi aku sendiri kontang dan kering dengan ilmu. Aku hanya pandai bercakap tetapi tidak berbuat. Aku banyak melakukan maksiat tetapi aku tidak bertaubat. Aku hanya pandai amar ma’ruf tetapi Subuh pun banyak yang aku lewat. Aku bercakap soal ikhlas tetapi riya’ dan ujub menguasai diri.
Dan aku terus menangis sebelum tiba-tiba sahaja semua ahli sufi menghilangkan diri.
Laa ilaha illaLlah, Laa ilaha illaLlah, Laa ilaha illaLlah…
Masjid
Posted by albanna at 10:41 AMOleh S.M. Zakir
“Perkara-perkara ghaib, misteri itu hanyalah hologram-hologram yang lahir daripada dunia bawah sedar manusia yang mengumpul pengalaman-pengalaman kekalahan mereka, baik dari sisi individu mahupun dari sisi masyarakat atau bangsanya. Mereka memerlukan keluarbiasaan ini bukan sahaja untuk mengangkat kembali keyakinan mereka tetapi juga eskapisme terhadap kekalahan mereka. Bangsa Melayu mempunyai banyak hologram ini oleh pengalaman kekalahan mereka yang kehilangan kuasa ekonomi, kemudian kuasa sosial, kemudian kehilangan budaya dan bahasa Melayu mereka dan akhir sekali kuasa politik hingga kedaulatan mereka terus sirna menjadi hologram- hologram dalam atmosfera halusinasi.” Dia menyentak perhatian hadirin terhadap filem terbaru hasil arahannya.
Falah bukanlah selalu datang ke masjid ini. Tetapi setiap minggu Falah akan berjumaat di masjid ini. Masjid ini tidak ada apa-apa yang istimewa kepada Falah. Seperti masjid-masjid yang lain, ia adalah tempat umat Islam menunaikan tanggungjawab mereka sebagai hamba kepada Al-Khalik. Sedikit sebanyak, Falah mempunyai juga sekulit bawang iman di dalam dadanya. Sekulit lembu lagi, adalah kebebalannya yang cuba-cuba menjadi bijak dengan menjadi pembikin filem bebas atau lebih jaguh rasanya jika disebut pembikin filem indie. Sebenarnya penglibatan Falah dalam dunia pembikin filem bebas ini kerana secara kebetulan Falah ada sedikit kemahiran daripada pengajiannya dalam suntingan filem di sebuah institut swasta di ibu kota yang tidak tamat pengajiannya. Lagipun, status pembikin filem indie itu kelihatan ekstravaganva pada masa sekarang.
Kembali kepada masjid tadi. Ya, masjid itu memang tidak ada apa-apa yang istimewa kepada Falah sebelum dia mengalami dua peristiwa. Peristiwa pertama, suatu hari Falah - sebelum itu rasanya harus diterangkan bahawa masjid ini ialah ialah pusat berjemaah para jemaah bukan sahaja dari seluruh negara tetapi juga dari pelbagai negara di dunia ini, maka masjid ini mempunyai pelbagai bangsa yang datang bertabligh dan beriktikaf - sebelum itu harus juga diketahui bahawa sudah berpuluh tahun masjid yang menjadi pusat para jemaah dari seluruh dunia ini terletak di tengah-tengah masyarakat Cina, tetapi hairannya tidak pernah ada sebarang perselisihan atau aduan daripada masyarakat bukan Islam terhadap kegiatan ribuan jemaah yang sering menyesakkan jalan, semuanya harmoni dan menjadi rutin yang biasa di kawasan ini - kembali kepada peristiwa pertama tadi, ya Falah bertemu seorang lelaki, jemaah dari masjid itu.
Falah suatu pagi lalu di kawasan masjid dengan kereta Proton Iswara keluaran tahun 1996nya. Siapa kata Proton tidak bagus, sudah lebih sepuluh tahun tetapi masih baik jalannya. Ini membuatkan Falah tidak ada alasan untuk menukar kereta Proton itu dengan kereta Mercedes. Ketika Falah berpusing perlahan itu, seorang lelaki berjubah dan berserban putih yang datang dari masjid itu kelihatan memandang-mandang dan tersenyum-senyum seperti ingin menumpang keretanya. Falah maklum, dan Falah merasakan dia tidak ada apa-apa kerja yang mendesak hari ini. Falah memperlahankan keretanya dan akhirnya berhenti apabila lelaki itu mengangkat tangan sambil tersenyum kepadanya.
Falah menumpangkan lelaki itu. Sebaik sahaja menutup pintu keretanya, lelaki berketurunan India Muslim itu bertanyakan namanya. “Falah,” jawab Falah pendek. Lelaki itu mengucap-ucap kata pujian apabila mendengar nama Falah. Lelaki itu menepuk-nepuk tangannya dan kemudian mengangkat tangannya dan berdoa panjang sambil menyebut nama Falah. Memohon Falah dimurahkan rezeki dan mendapat penghasilan yang baik dalam kerja yang dilakukannya. Falah diam mendengar, terdetik juga di hati Falah, bagaimana lelaki itu tahu kehendak di hatinya? Sememangnya Falah memikir-mikir sehingga melayang-layang kepalanya tentang bagaimana hendak mendapat sumber kewangan untuk menampung belanja dan melangsaikan hutang-hutangnya yang semakin menjadi hutan itu.
Lembut
Lelaki itu bercakap macam-macam dengan Falah. Falah tidak tahu mengapa hatinya cukup lembut pula pagi ini. Selalunya apabila Falah lalu di jalan dan melihat kelompok jemaah masjid dari luar negara ini, Falah akan memecut tanpa memandang, mengelak untuk menumpangkan sesiapa. Malah, jika ada kemalangan pun jarang Falah berhenti untuk melihat atau menolong. Tidak tahu entah kebebalan apa yang menutup hatinya sehingga kering sekali perasaan kasihan di hati Falah. Tetapi hari ini entah bagaimana lembut sekali hati Falah, bukan sahaja menumpangkan tetapi dengan rela hati menghantar lelaki ini ke destinasi yang dimahukannya. Falah malah menjadi seperti pemandu teksi mengikut kehendak lelaki ini agar menghantarnya ke destinasi yang melencong jauh dari arah tujuan perjalanan Falah.
Tetapi Falah tidak merasa apa-apa keberatan. Malah senang hati menghantar lelaki ini. Setelah tiba di tempatnya, lelaki itu dengan lembut pula meminta Falah sedikit wang untuknya makan dan minum pagi. Falah nampak dua ringgit di ruang hand break keretanya. Lelaki itu perasan kerlingan Falah dan lantas meminta Falah sepuluh ringgit. Falah hanya ada dua ringgit di keretanya dan lima puluh ringgit dalam dompetnya. Falah teragak-agak juga. Tetapi kemudian berfikir dengan dua ringgit itu apa yang mahu dimakan oleh lelaki ini, terutamanya zaman minyak dan segala macam barang naik macam roket harganya.
Falah teringat kata arwah bapanya, “Sedekah itu berkadar dengan pendapatan kita. Kalau pendapatan kita seribu, seringgit dua ringgit itu apa kadarnya. Itu bukan sedekah tetapi kita buang, kerana kita pun tak rasa hilang dengan seringgit dua itu. Sedekah itu biar rasa nikmatnya. Habis seribu itu, baru rasa nikmatnya.” Tetapi Falah pasti makna nikmat ‘sedekah’ arwah bapanya itu bukan menurut makna politik orang-orang Melayu liberal yang ‘bersedekah’ perempuan itu.
Agh, tidak mungkin itu. Falah hanya selalunya bersedekah duit-duit syiling yang dibaling-baling dalam poketnya sahaja, dengan harapan tumbuh ranting dan cabang yang beranak-anak pahalanya. Tetapi hari ini, entah mengapa Falah terasa ingin merasa nikmat yang dikatakan oleh bapanya. Falah pun menyeluk mengambil dompetnya lalu mengeluarkan satu-satunya not lima puluh ringgit yang ada lalu diberikan kepada lelaki itu dengan rela hati. Lelaki itu mengangkat tangan dan mendoakan Falah.
Falah meninggalkan lelaki itu dan memandu pergi. Matanya mengerling wang dua ringgit yang bersisa untuknya hari ini. Hari masih pagi. Mana pula dia hendak mendapatkan wang untuk makan sehingga malam nanti? Agh, Falah ditekan-tekan oleh rasa kehilangan nikmat bersedekah.
Tetapi setelah hari itu, rezeki Falah cukup murah. Mencurah-curah masuk. Walaupun dia tidak tertonggeng-tonggeng mencari kerja, ada sahaja kawan dan pelanggan yang entah dari mana menelefonnya menawarkan kerja atau memohon perkhidmatannya. Dalam era persaingan yang cukup hebat ini, apatah di ibukota yang dipenuhi pakar-pakar dan syarikat yang lebih berkeupayaan daripadanya - Falah mendapat kepercayaan dan ‘job’ yang tidak putus-putus. Falah ada juga berfikir-fikir untuk menukar kereta buruknya itu, tetapi kemudian diurungkan sahaja - takut juga nanti Ah Tan yang baik itu pula disiasat BPR kerana menjadi sasaran alasannya menukar kereta kerana tinggi kos penyelenggaraan kereta nasionalnya itu.
Falah pun teringat doa daripada lelaki dari masjid itu. Apakah kerana doa-doa itu? Atau kerana suci hatinya untuk berbuat baik tanpa rasa ingin balasan? Apakah lelaki itu wali zuhud yang diturunkan untuk mendoakan rahmat kepada hamba-hamba-Nya? Yang pasti puncanya seratus peratus daripada kemurahan dan berkat Allah azawajjala.
Peristiwa kedua; Falah ingin bercerita lebih pendek memandang ruang cerpen ini tidak membolehkannya bercerita panjang. Tetapi sebelum itu perlu diketahui bahawa masjid ini adalah bangunan yang ditambah-tambah daripada sebuah bangunan kayu yang asalnya dibina dengan senibina Melayu yang unik - perlu diketahui bahawa bangunan kayu iaitu masjid asalnya itu mempunyai tiga pembahagian iaitu bumbung, ruang dalam serta tiang yang diibaratkan seperti tubuh manusia iaitu kepala, tubuh dan kaki - perlu diketahui bahawa bumbung adalah tingkat wahidah iaitu puncak hubungan dengan Tuhan, sementara ruang dalam adalah tingkat qalbu iaitu sifat Jamal dan Jalal dalam nurani manusia yang berjuang menjadikan qalbu berbalik-balik dan bertukar keadaan, dan akhir sekali tiang serta tangga adalah tingkat salik iaitu lima anak tangga melambangkan lima tingkat nafsu yang dilalui oleh manusia untuk mencapai qalbu. Semua ini Falah mendapat tahu daripada seorang imam tua yang kebetulan duduk semeja dengannya ketika makan di restoran yang penuh sesak pada suatu hari. Tetapi malangnya Falah tidaklah faham sangat apa yang diterangkan oleh imam tua, kecuali mengangguk-angguk mengambil hati.
Ya, kembali kepada cerita Falah iaitu suatu malam, awal bulan Ramadan dia pergi bertarawih memakai sandal baru dibeli. Pulangnya sandal itu hilang. Puas dicari, tidak ada. Hatinya panas, ingin menyumpah tetapi teringat dia di masjid. Dia cuba berlagak reda, tetapi tidak tertahan terkeluar juga sedikit hamun yang disembunyi di dalam hatinya. Mula Falah berfikir untuk menyambar sahaja selipar siapa yang ada, mana mungkin dia pulang berkaki ayam. Namun akhirnya dia berfikir, tidak mahu mendapat dosa hanya kerana mencuri selipar. Malu roh keluarganya di alam barzakh. Maka Falah pulang berkaki ayam.
Falah menahan dari menyumpah. Hatinya cuma berkata, “Pulangkanlah balik sandalku itu.” Tiga hari selepas itu entah bagaimana, sandalnya yang hilang di masjid tempoh hari terletak kemas di hadapan pintu rumahnya. Falah tidak tahu untuk berkata apa. Tetapi Falah yang sering mengetawakan perkara-perkara ajaib sebagai tahyul orang-orang Melayu yang memerlukan kekuatan ‘azimat’ untuk menutup jiwa bawah sedar mereka yang mengutip pengalaman-pengalaman kekalahan baik dari segi ekonomi, sosial mahupun politik di tanah air mereka sendiri - mula memikirkan kembali, apakah dia juga berada di alam halusinasi sekarang ini. Apakah dia juga sedang digomol oleh alam bawah sedar yang mengumpul pengalaman- pengalaman kekalahan orang-orang Melayu sejak akhir-akhir ini; sehingga berlaku perkara-perkara ajaib di hadapan matanya? Kekalahan dan kemarahan yang terpendam menjadikan halusinasi dan realiti menjadi bercampur baur. Falah sehingga kini masih degil untuk tidak mahu percaya sebarang keajaiban. Fikirannya dan hatinya hanya menerima rasional dan objektif. Tahyul adalah hanya sebuah atmosfera halusinasi yang muncul dalam jiwa manusia atau bangsa yang sedang menghadapi kekalahan secara tidak sedar.
Maka suatu hari Falah berjumpa dengan salah seorang iman di masjid itu. Mudah sahaja Falah bertanya, “Mengapa masyarakat Islam dan bukan Islam sangat menghormati masjid ini?’ Jawab imam muda itu juga mudah, “Kerana masjid ini menghormati mereka.” Kata imam muda itu seterusnya, bahawa mereka telah menghala pembesar suara masjid itu ke dalam hingga laungan azan hanya terdengar dalam lingkungan masjid bukan kerana mereka kalah dalam menegakkan hukum Islam, tetapi kerana Islam itu adalah agama yang paling menghormati masyarakat. Dan kerana itu masyarakat bukan Islam yang menganjurkan majlis mereka di dewan komuniti di sebelah masjid ini juga menghala pembesar suara mereka ke dalam, khuatir dan tidak mahu mengganggu jemaah di masjid ini beribadat.
Masjid ini juga cukup menjaga kebersihan dan peraturan jemaahnya sehingga kawasan sekitar masjid ini cukup teratur dan bersih, buktinya parit di sebelah masjid itu jernih dan bersih tanpa ada sebarang sampah walau ribuan jemaah beriktiqaf di situ. Maka masyarakat bukan Islam di sini juga menjaga kebersihan dan peraturan hingga tidak pernah membunyikan hon-hon kereta mereka di hadapan masjid ketika hari-hari jemaah berkumpul sehingga amat menyesakkan jalan, ditambah pula dengan murid-murid pulang dari sekolah di hadapan masjid itu. Masyarakat kota yang terkenal dengan sifat baran dan menjerit-jerit di jalan raya itu menjadi sabar dan tenang apabila berada di hadapan masjid ini.
Falah kembali sibuk dengan kerjanya dan lupa dengan segala kisah masjid itu. Falah mula berselang seli pergi bertarawih. Entah bagaimana suatu malam, pada beberapa malam yang terakhir pada bulan Ramadan Falah terasa ingin pergi sembahyang tarawih setelah terhenti lebih seminggu pada hari- hari terakhir bulan Ramadan itu. Malam itu Falah tiba awal. Masjid penuh dengan jemaah. Ramai sekali. Terang benderang masjid itu. Ya tentunya para jemaah berkumpul dan bermalam untuk menambah amal ibadat mereka pada sepuluh malam terakhir itu. Falah masuk menyertai mereka. Sememang malam itu penuh dengan keberkatan. Bau masjid dan para jemaah itu mewangi nawarstu. Harum dan lembut sehingga angin menjadi sejuk dan cukup menjelirakan. Sembahyang mereka cukup khusyuk sehingga Falah merasakan seperti suasana tarawih di Masjidil Haram yang dilihatnya di kaca televisyen. Falah pulang setelah bersalaman dengan para jemaah.
Tenteram
Setelah pulang ke rumah dengan perasaan yang cukup tenteram, Falah terasa sesuatu yang agak aneh. Ya, para jemaah yang harum dan cukup bersih itu serasa Falah tidak pernah ditemui atau dilihat sebelum ini. Dari mana pula jemaah yang ramai itu. Falah berfikir-fikir lalu terlena.
Keesokan harinya, Falah pergi ke pasar Ramadan berhampiran masjid itu. Falah terasa ingin pergi meninjau masjid yang penuh gemerlapan semalam. Falah dibetik rasa hairan. Masjid itu sunyi yang biasa sahaja, sama sekali berbeza dengan keadaan semalam. Mana pergi lampu dan segala hamparan semalam. Falah melangkah masuk ke dalam masjid. Sunyi dan tiada sesiapa. Mana perginya ribuan jemaah semalam? Ketika Falah meninjau-ninjau penuh bingung itu, Falah terserempak seorang pemuda sedang menyapu di tepi halaman masjid. Falah memberi salam dan bertanyakan ke mana perginya jemaah yang ribuan ramainya semalam serta lampu dan hamparan seperti Masjidil Haram itu. Pemuda itu terpinga-pinga, hingga bergerak-gerak serbannya. Kata pemuda itu sejak beberapa hari ini masjid tidak ramai jemaah, hampir kosong kerana ramai jemaah sudah pulang ke kampung halaman. “Semalam?" Falah bertanya. Semalam hanya imam dan beberapa orang makmun sahaja. Itupun sembahyang maghrib, isyak dan tarawih dibuat di bangunan kayu yang lama dan jarang dipakai itu sahaja kerana tidak ramai jemaah. “Lalu masjid ini kosong?" Falah bingung. Tidak ada orang, kosong, lampunya pun tidak dipasang semalam.
Falah terduduk lama di tangga masjid. Membiarkan angin menyapu-nyapu wajahnya. Falah benar-benar tidak tahu di dunia mana dia berada sekarang. Atmosfera halusinasi yang muncul daripada himpitan rasa bawah sedarnya atau ia adalah realiti sebenar yang dilintasi oleh manusia dengan izin Allah azawajalla, keluar dari dalam keadaan mereka di dunia fana yang sebenarnya halusinasi itu.
“Masjid sebenarnya sebuah filem yang bukan sebuah filem. Ia adalah alam kemakmuran di mana semua manusia tidak kira Islam atau tidak adalah kariahnya. Semua manusia ini, tanpa mengira bangsa dan agama adalah ahl al-ma‘murah al-Fadilah iaitu kariah masjid ini.” Dia menutup katanya. Filemnya pun diputarkan. Ratusan penonton di sebuah festival antarabangsa di negara salji itu diam di bangku mereka.
Sejak hari itu Falah tidak pernah percaya lagi bahawa hal-hal ghaib itu adalah hologram dalam atmosfera halusinasinya. Kerana ia adalah dunia qalbu yang menghidupkan jiwa-jiwa yang kalah untuk kembali ke masjid.
Quote
Posted by albanna at 12:34 PMHassan al Banna, As Syahid al Imam
Posted by albanna at 11:05 AMOleh : Abbas Assisi
http://muscom.iluvislam.com/?p=49#comment-1272
Filem Budak Kelantan 'berkiblatkan' Amerika?
Posted by albanna at 5:24 PM Fahri Abdullah al-Masri Ihsan: harakahdaily.com | |
Obama menang. Dan ramai yang mengharapkan perubahan dunia akan terjadi. Sama ada Obama sanggup melakukannya, hal itu masih menjadi tandatanya. Kaum Maya purba mengirim isyarat sejak sekian lama. Pada 2012, akan wujud permulaan era baru. Apa pun, orang semacam Rizal tak pernah gusar perkara itu. Sebagai orang muda, hidup ini bermakna meneruskan kehidupan seadanya. Bernikah dan bekerja. Dan, kemudiannya meneruskan hidup berumahtangga. Itu sahaja. Amerika? Jahat sangatkah USA ini? Kalau tidak kenapa rakyat kita masih setia berkiblat kepada jenama Amerika, minuman Coca Cola dan segalanya yang bercitra Amerika? Amerika.. Amerika.. Amerika.. Ah! Tiba-tiba dia teringatkan filem Budak Kelantan yang sedang ditayangkan di pawagam kini. Kerap diulang dialog Amerika itu. Apa sebenarnya yang berlaku dalam filem itu? Ada apa hubungan antara Kelantan dan Amerika itu? Teringatkan Kelantan, maka Rizal teringat niatnya mahu membeli Dinar Emas Kelantan seberat 4.25g hari ini. Maka, di kedai pajak gadai Ar-Rahnu di Jalan Raja Laut, itulah dia sempat membeli sekeping Dinar Emas untuk simpanan dan pelaburan. "Harga emas naik lagi. Jangan-jangan esok harga emas naik lagi ni. Mungkin ada kaitan dengan pilihan raya Amerika," kata kerani di kaunter itu. Mata Rizal terkebil-kebil lagi. Laa.. Amerika lagi. Perang antara Mc Cain dan Obama pun ada kaitan dengan emas? Tambat RM3.30 kepada setiap 1 dollar Amerika! Dulu pun, bunga-bunga pertikaian antara Tun Dr Mahathir dengan Abdullah pun bermula apabila bekas PM itu menasihatkan Abdullah untuk segera menyemak semula matawang kita yang terumbang-ambing dilambung pasaran matawang. Abdullah kekal dengan tradisi pekak badaknya. Manakala Najib, dengan bodohnya telah berkata, hal kedudukan nilai paras matawang ringgit itu biarlah ia ditentukan sendiri oleh pasaran. Entahlah kalau-kalau sekarang Najib sudah berubah pendirian semula. Padahal, idea menyelamatkan ekonomi negara itu dipandang hormat oleh kalangan warga ekonomi sejagat. Pada Rizal, buruk-buruk dan busuk-busuk nama Dr Mahathir dalam hal demokrasi, fitnah dan sebagainya tetapi kita mesti bersikap adil juga kepada beliau dalam beberapa hal. Inilah antara pegangannya. Matawang tidak seperti emas. Ia sentiasa naik. Pada 4 November, 1 Dinar Emas Kelantan dengan berat 4.25g bernilai kira-kira RM375.00. Pada 5 November, nilainya dengan berat yang sama telah melonjak dengan pantas sehingga mencecah ke paras RM390.60. Barangkali pada dua atau tiga bulan sudah, memang matawang kita berada kekal di paras RM3.30. Kemudian, Rizal lihat, ia sudah meningkat sekitar RM3.40 bulan lalu. Perlahan-lahan ia naik sekitar RM3.45. Kali terakhir.. minggu ini nilai itu melonjak RM3.50. Nilai ringgit kita pernah ditambat pada RM3.80. Itulah nilai yang paling tinggi. Ya Allah..lama betul dia tercongok di pejabat itu. Selesai urusannya membeli dinar emas, maka dia pun langsung ke pawagam TGV di KLCC. Rizal mahu lihat, apa kejadahnya itu sehinggakan nama Amerika kerap diulang sebut oleh budak-budak Kelantan? Amerika milik Red Indian! Bertambahlah sakit hati Rizal tatkala menonton keangkuhan John Cannon di mana wajah itu seiras Mc Cain (calon Republikan, seteru Obama) yang seiras Najib. Tetapi, kesakitan itu telah kebah; dirawat oleh kejelitaan Victoria Montoya Cannon (Linda Cristal). "Mujur Victoria cun macam Salma Hayek, tengok pi la.." itu zikir yang kerap diwiridnya dalam hati, saban malam Jumaat pada 12:30 pagi selepas tamat Deadline di TV2. Sedar tidak sedar, dia sudah tiba ke tempat tujuannya. Kali ini, Rizal nak melihat sendiri, apa sebabnya kalimat Amerika.. Amerika.. Amerika.. itu kerap diulang-ulang. Dia terfikir juga kata-kata pegawai HEP dan Aspirasi di kampus.."Tengoklah, baik sangat ke hangpa yang dok kata nak perjuangkan Islam tu?" Rizal menahan nafasnya. Dia mahu tonton sendiri segala aksi. Budaya Amerika hari ini dicorakkan oleh orang putih. Jadi, anak-anak muda terkeliru dan mudah terpengaruh. Mereka harus meneliti perbezaan politik yang dimajukan oleh novel Little Lord Fauntleroy karya Frances Hodgson Burnett itu. Lihat bagaimana si kecil Lord Fauntleroy dalam usia mudanya sudah mampu hadam faham perbezaan politik antara Republikan dan Demokrat. Itu yang Rizal baca dahulu ketika teks itu menjadi bacaan wajib di Matrikulasi USM. Dia mula tahu sedikit sebanyak faham-faham budaya popular melalui kursus-kursus universiti itu. Tapi, anak muda hari ini pakai ambil semua produk budaya dari tv dan bukan melalui teks-teks novel, buku-buku falsafah. Mungkinkah hal itu antara sebab mereka lemah? Filem itu, menurut Rizal memang menghancurkan nama baik Kelantan. Tapi, terlalu awal juga mahu membuat kesimpulan dan menyusun rumusannya. Ada dua watak di sini. Jaha yang jahat kerana segala kejahatannya berkiblatkan Amerika dan Buchek yang baik. Buchek masih melihat ada ruang untuk membawa Jaha ke jalan yang lurus walaupun dia sendiri telah melihat garis kehidupan Jaha. Apakah yang tak dilakukan Jaha? Paling sukar diterima Buchek ialah sikap Jaha yang memikat wanita untuk dirosakkan mereka. Setelah itu, wanita muda itu akan Jaha jual kepada bapa dan ibu ayam. Akhirnya, Jaha jatuh cinta terhadap Che Nor iaitu teman wanita Buchek. Buchek tahu hal itu pun ketika dia membaca surat Jaha kepada dirinya. Mungkin ada terpancar keikhlasan dalam surat itu, maka Buchek dengan rela melepaskan teman wanitanya kepada Jaha. Dia berbuat begitu dengan harapan Jaha berubah, kerana dia percaya bahawa cinta boleh mengubah kehidupan manusia. Sebagai dijangka, Che Nor enggan memenuhi permintaan Buchek kerana hatinya hanya untuk Buchek. Jaha akhirnya maut di dalam kecelakaan sebelum sempat bertaubat. Buchek menyalahkan Che Nor kerana menolak cinta Jaha yang suci. Buchek meninggalkan Che Nor dan beliau menyambut cinta Chen Chen, gadis Cina yang berjaya diselamatkannya daripada menjadi mangsa nafsu buas Jaha dahulu. Cerita pun tamat! "Aduh! Kenapa Buchek boleh yakin Jaha boleh berubah dengan sebab cinta?" hati Rizal bersarang dengan kegeraman ketika kakinya melangkah keluar pawagam. Dia terkenang debu-debu mayat Altantuya yang diterbangkan angin malam tatkala wanita itu meronta-ronta, merayu-rayu agar dirinya dilepaskan. Jika nak bertaubat apakah perlu wanita? Jadi, jika tanpa wanita, lelaki tak boleh menemui jalan pulang kepada Allah? Tiba-tiba dia jadi geram kepada orang-orang baik pula. Dan, bukannya dia geram kepada orang jahat. Banyak kaum lelaki yang sudah menikah, isterinya bukan menjadi penyebab kepadanya untuk bertaubat pun. Malahan, kaum lelaki menjadi curang kepada isteri apabila sudah ada wanita lain. Hukum agama juga tak mengizinkan wanita dinikahkan kepada lelaki jahat kerana risaukan kaum wanita itu akan dirosakkan lalu dijadikan pelacur. Pada Rizal, Buchek memang soleh dan warak, tapi caranya bertindak tidak tepat. Bukan Buchek tidak tahu dan tidak nampak bagaimana Jaha memperlakukan wanita-wanita itu. Dia tahu hal itu. Tetapi, kenapa dia buat tindakan silap? Antara kejahatan penjahat dan kebodohan orang baik, mana lebih rugi? Rakyat Amerika itu sekurang-kurangnya telah membuat keputusan bijak dengan memilih Obama apabila menjatuhkan Mc Cain; kembar seiras dengan Najib dan semoga perlahan-lahan, kaum wanita tidak lagi menjadi mangsa seperti Altantuya, demikian impian serta harapan segala penduduk di dunia. 5:01 a.m, 6 November |
TahniaH Akhi R.O!
Posted by albanna at 10:40 AMTahniah buat Akhi R.O atas walimah yang berlangsung 1 November lepas. Mohon maaf kerana tak dapat bersama meraikannya. Moga kekal hingga ke Syurga. Ameen...
p/s Gambar ihsan daripada ibnuqalil.