TAHUN BARU TANPA ISA, 2009
Posted by albanna at 12:52 PMDi pagi Syawal, apakah yang kau cari?
Posted by albanna at 11:25 AMSEJAK zaman muda lagi dia sudah menghidapi semacam penyakit. Setiap kali berada di perut kapal terbang, dia tidak berupaya melelapkan mata, walau pun sepicin. Gelisah, cemas, dan fobia akan paras ketinggian, semuanya berpugut-pugut, dan akhirnya bangkit sebagai adunan yang barangkali boleh saja dinamakannya kesepian. Atau apakah ini yang dinamakan kerinduan? Sewaktu remaja dulu dia sering menganggap bahawa kesepian dan kerinduan itu membawa nuansa yang sama. Sampai sekarang pun dia tidak dapat membezakan pengertian kedua-dua terma itu. Ada ketikanya di dalam pesawat, dia seolah bergantung di sayap angin, menaksir seluruh awangemawan dan jagat raya. Dan bila itu terjadi, pintu besar ke kota kenangan terbuka seluas-luasnya. Fikiran pun mengembara ke segenap relung ingatan, lampias dalam ruang-waktu, dan segala pengalaman dengan cepat mekar, dan segar semula. Walau sudah bertahun-tahun berada di perantauan, entah kenapa sepanjang Ramadan al-Mubarak pada kali ini rindunya terhadap kampung halaman benar-benar luar biasa. Sungainya, bukitnya, burung-burungnya, unggas dan mergastua, lambaian pohon- pohon kelapa, dan lesung kaki tua al-marhumah nenek, semuanya meruntun perasaan.
"Fikiran manusia adalah komputer azali yang sangat aneh," kenyataan itu sering berulang- ulang di sepanjang hayat. Puisi yang mengabadikan alam remajanya tidak pernah lekang dari kotak ingatan.
Suatu waktu main perang buah sentul di sejuk kali
Tak kusangka main perang buah sentul di sejuk kali
Setiap pagi di hujung kampung suatu waktu dulu menangis
Luka di kepala dan kakiku rupa-rupanya persediaan
ilmu untuk suatu waktu kerana kini
di Kuala Lumpur setiap hari aku berperang dengan nafsu
emosi dan hargadiri aku berperang dengan bedil di mukaku
senjata tajam menikam siku ubun-ubun dan sulahku. kini tanpa tangis aku bangun mengutip peluru di dadaku seraya
tersenyum membalut luka-luka ditubuhku
kerana aku sudah dipersediakan ilmu perang
suatu waktu dulu di sejuk kali di hujung kampung
setiap pagi.
Sajak itu ditulisnya ketika masih berada di KL, sebelum dia menikahi ibu Laila. Sungguh pun sajak itu ditulis lama dulu, namun baris-baris puisi tersebut terasa seperti baru dikarangnya semalam. Dia tidak tahu sama ada rakan-rakan main perang di sungai masih lagi hidup, atau pun tidak. Entahkan Mislan, Meri, Yun dan Wok juga sepertinya - sering 'berperang dengan nafsu, emosi dan harga diri'.
Ah, betapa seronoknya menebang dan menukang meriam buluh betung, moreh, dan bertadarus di surau di sepanjang bulan Ramadan.
Tapi dia dan teman-teman harus berhati-hati, kerana nenek selalu mengomel.
"Hoi, ape ditunu mulut meroyam tu? Nak pongah muke ke? Esok hari raye, kome terperap di hospita!" sergah nenek.
Dan di pagi Syawal, sebaik selesai solat sunat Aidilfitri, dia dan kawan-kawan berbasikal ke rumah tok imam, menuntut duit raya. Saban tahun duit raya tok imam lumayan. Tapi dia meletakkan syarat terlebih awal.
"Rajin-rajin terawih, kalau kome nak duit raye…"
Tapi bukankah semua itu sudah tidak ada lagi!
Destinasi semakin menghampir. Ikon kapal terbang yang bergerak secara automatik di skrin tv kecil depannya tentulah tidak berbohong. Pesawat kini sudah melewati Laut Andaman, dan baru saja meninggalkan sempadan Thailand - Malaysia. Benua Eropah semakin kelam dalam ingatannya. Tapi dia percaya Rotterdam yang baru sebelas jam diucapkannya selamat tinggal pasti akrab selamanya dalam ingatan.
Memajamkan mata
Setiap dia cuba memejamkan mata ada-ada saja maklumat yang ingin disampaikan oleh kapten. Dua jam lalu, ketika menempuh ruang udara benua kecil India, badan pesawat bergegar, apabila bertembung dengan angin yang kencang. Dan kepten mengganggu konsentrasinya untuk cuba melenakan mata.
"Tuan-tuan dan puan-puan, kita sedang berada dalam keadaan cuaca yang kurang baik, dan tidak menentu. Sila kembali ke tempat duduk, dan pasangkan tali pinggang keledar."
Mujurlah anak muda peramah di sebelahnya juga tidak tidur di sepanjang penerbangan. Hanya isteri dan dua orang anaknya yang nampak keletihan. Katanya dia seorang guru, dan baru saja menyelesaikan tesis sarjana di sebuah kota di United Kingdom. Menurut anak muda lagi, dua tahun bergelumang dengan musim sejuk sudah cukup menyiksakan.
"Lama ke pakcik tinggal di Belanda?"
Dia tidak pasti apa yang menyebabkan anak muda mentaakulkan sebegitu. Mungkin disebabkan dia terpandangkan dua buah beg besar yang kuheret di kaunter check-in di Schipol? Dia mengagak. Menurut anak muda yang berhemah ini, dia hanya transit di Schipol. Dia sekeluarga memulakan perjalanan dari Heathrow. Mereka mengambil keputusan berhari raya di kampung. Oleh kerana agak terlewat membuat keputusan itu, akibatnya mereka hampir-hampir gagal mendapatkan tiket penerbangan pulang ke tanah air. Maklum tempahan di musim perayaan tersangat tinggi.
"30 tahun," dia menjawab pendek. Dahi anak muda kelihatan berkerut. Isterinya perlahan-lahan menjongolkan muka dari dalam selimut. Dia menduga pasti akan ada lagi reaksi dari anak muda.
"Lamanya..."
"Sudah takdir, apa nak buat."
Dia tidak mampu memberikan jawapan lain, bila saja hal itu berbangkit. Harapannya agar tidak ada soalan susulan, ternyata meleset.
"Famili…?"
"Ada…tapi sekarang dah tak ada lagi…"
"Oh, maafkan saya pak cik."
"Maksud pak cik, kami berpisah."
"Oo…"
Dia tidak dapat mengagak adakah "O" anak muda bermaksud apologetik, atau hanya sebagai penyengkang bicara sahaja. Setelah menjawab soalan anak muda, dia membiarkan kesepian bermaharaja lela semula di dalam dirinya seketika. Tak lama, dia menanyakan kepada anak muda.
"Masih ada orang tua?"
"Semua dah tak ada. Semasa saya sekolah lagi. Saya dibesarkan oleh nenek. Dah tak ada siapa di kampung. Lagi pun saya anak tunggal. Yang tinggal hanya rumah pesaka usang."
"O…"
Dia tidak tahu kenapa harus menyebut huruf saksi itu.
Tapi, kalau tak ada keluarga lagi, apakah yang dicari anak muda di kampung?
Kini dia pula yang diganggu oleh andaian yang memerlukan pewarasan.
'Err, tak ada sesiapa lagi?"
"Ya, cuma semangat desa itu sendiri pak cik. Saya dibesarkan dengan air sumur dan air sungai. Saya nak melawati pohon-pohon getah yang saya toreh semasa kecil. Semuanya berperanan mendewasakan saya, pak cik, termasuk pucuk paku, maman, dan umbut bayas."
"Elok benar tu…"
Anak muda menambah. "Isteri saya lulusan pertanian. Tapi fikir punya fikir, dia memilih untuk menjadi suri rumah saja. Kami bercadang nak memulihkan kebun getah peninggalan orang tua. Lagi pun getah ada harga sekarang."
Dia dapat membayangkan betapa anak-anak keluarga muda ini bakal membesar sebagai manusia yang cintakan ibu pertiwi.
Bila saja anak muda menyebut kebun getah, kenangan ketika dia menoreh di hujung kampung menjelma di ruang matanya dengan pantas. Di manakah Ana, yang selalu ditemui di tempat memesin getah? Tentulah dia sudah beranak-cucu, duganya. Atau masihkah dia menjadi pengungsi dunia yang fana ini?
Dia masih dapat menggambarkan kesayuan Ana apabila mengetahui dia sering ke kampung di pinggir pekan.
"Dengar khabar kau selalu ke pekan. Aku tahu, kau sayangkan orang lain," serak suara Ana ketara benar di pagi itu.
"Aku tak kata gitu."
"Tak kata bukan maknanya tak ia…lagipun dia pintar, lebih padan dengan kau. Aku…"
"Tapi Ana, kan nama-nama kita sudah terpahat di banir nering di dusun Pak Agon?"
"Pohon nering tu tak akan bertahan selamanya. Percayalah…"
Apa yang diucapkannya kepada anak muda - "Ada, tapi sekarang dah tak ada lagi" memang suatu kenyataan. Mulanya dia hanya ingin menemani ibu Laila melanjutkan pelajaran; dari satu tingkat ke satu tingkat yang lebih tinggi. Kemudian mereka mencuba untuk bekerja di perantauan. Jangkanya hanya buat mencari pengalaman. Tapi akhirnya mereka terus menetap di luar negara saja. Lagi pun anak-anak sudah mula membesar, serta mendapat pendidikan di sana. Tapi mulai saat ibu Laila memberitahunya yang dia sudah jatuh cinta dengan lelaki lain, dan minta dilepaskan, keinginannya untuk pulang ke kampung bertambah kuat setiap tahun.
Kedua-dua orang anaknya bertindak membawa diri masing-masing. Yang perempuan menyambung pelajaran di Jordan, dan yang lelaki memilih bekerja di Afrika Selatan. Biarlah mereka menjadi warga dunia. Kemanusiaanlah yang akan mendewasakan mereka, fikirnya.
Memang benar kata-kata Ana. Ibu Laila cantik dan pintar. Namun sekarang dia sedar semua itu belum tentu dapat menjana kebahagiaan hidup berkeluarga. Cuma dia kasihankan Laila, dan abangnya yang merajuk.
Ah biarlah, kalian sudah dewasa. Abah harap kalian menjadi warga dunia yang bertaqwa. Dia menyerahkan agar semuanya disimpulkan oleh benang takdir.
Saat tayar pesawat berciut mencium bumi ibu pertiwi, dia berasa dadanya sebak. Sama seperti yang pernah dirasakannya semasa membuat pilihan antara Ana dan ibu Laila. Di lapangan terbang yang ternyata lebih gah dari apa yang pernah disaksikannya di Eropah, takbir Hari Raya dari peti-peti tv menguasai suasana. Dia terasa matanya basah. Lebih-lebih lagi kini dia hanya pulang seorang diri, tanpa isteri dan anak-anak. Cepat-cepat dia ke kaunter menyewa kereta pandu sendiri. Ada tiga jam perjalanan lagi sebelum sampai ke kampung tercinta. Tapi dia tahu di pagi Syawal lebuh raya pasti lengang.
Sebaik memasuki kereta, dia menyedari ada mesej masuk di telefon bimbit. Dia tersenyum melihat pesanan ringkas itu. Dia tahu hati abang Laila akan terubat juga akhirnya.
"Assalamualaikum abah. Saya nak mohon ampun dan maaf di pagi Syawal ni. Sekarang baru jam lima subuh di sini. Pagi nanti saya nak jemput adik Laila. Dia nak raya di Jo'berg. Ada dia telefon abah tak? Mama telefon, dia kata nak raya di Rotterdam. Suatu masa nanti nak ikut abah balik kampung. OK tak?"
Ya, masa akan menyembuhkan semua luka!
Matahari sudah agak tinggi ketika dia sampai di tanah perkuburan. Di situ kedua-dua orang tua dan neneknya disemadikan. Walaupun masih ramai orang di situ, tetapi tidak ada seorang pun yang dikenalinya. Sayup-sayup kedengaran takbir Hari Raya di tv dan radio dari rumah-rumah berhampiran perkuburan, diinjing semilir pagi yang jinak. Dia ingat dengan jelas kali terakhir mengiringi al-marhumah ibu ke situ. Dia mengabadikan pengalaman itu di sebuah sajak yang ditulisnya di diari.
Mengenang ibu
Ketika kuhantarmu, ibu
di rimbun teduh rembang
lembut semilir bukit menjinjing
salam malaikat berangkat
tak betah riak sungai bangkung kita, ibu
menggetar mengulit lampias
cahaya putih
menanti di limun pagi
aku tetap merindu
marah-marah dan jerkah-jerkahmu
ketika kautuangkan
tamsil kesabaran ke dalam naluriku
potret kecil di tangga sekolah
tak puas kutitip buah rindu
di perkarangan senyumanmu
tidurlah sementara, ibu
edan dalam syahdu
dan rimbun doaku,
anakmu.
Dia amat menyayangi ibu, dan sajak itu.
Selesai membacakan Yaa Siin dan berdoa di ketiga-tiga kuburan, dia melangkah meninggalkan tanah perkuburan. Wajah seorang wanita di sisi sebuah kubur menangkap pandangannnya. Dia merasakan wanita bertudung biru gelap yang ditemani oleh sepasang remaja sangat dikenalinya. Walaupun bertudung, dia masih kenal kening, hidung dan sepasang bibir yang nipis milik wanita itu. Adakah nama pemilik wajah itu yang pernah dipahatnya di pohon nering dusun Pak Agon?
Dia memberanikan diri menyapa wanita itu.
"Ana…Ana ke?"
Wanita itu tidak menyahut pertanyaannya, tetapi dengan selamba merenung tepat ke mukanya. Dan dia membiarkan sepasang remaja beredar meninggalkan kawasan perkuburan.
"Kau tak kenal aku lagi…" dia tercenung.
"Masakan aku lupa…bukankah kau yang memahat namaku di pohon nering?"
Ya memang tepat sekali, wanita yang sedang terdiri di depannya ialah Ana. Ana masih hidup rupanya!
"Anak-anak…?" Dia mengacukan pandangan ke arah sepasang remaja yang sudah sampai ke pintu besar tanah perkuburan. Dia cuba mengalih perbualan. Ana menggeleng-gelengkan kepalanya.
"Anak-anak saudara…anak kakak…ini kubur ibu bapa mereka. Kemalangan jalanraya, dah lama. Aku membesarkan anak-anak mereka."
Dia tidak tahu bagaimana harus memberikan reaksi terhadap apa yang baru didengarinya dari Ana. Sesungguhnya dia benar-benar tidak tahu apa-apa lagi tentang Ana. Pertanyaan Ana selanjutnya membuatkannya tergumam semula.
"Kau mencari apa di sini?"
Fikirannya gelap. Dia tidak tahu bagaimana soalan itu harus ditangani. Memang benar apa yang diucapkan oleh Ana. Adakah lagi sesuatu yang tersisa di kampung ini buatnya?
"Ana tinggal di mana sekarang?" Dia sungguh-sungguh ingin tahu.
"Masih di kampung ini."
Ana mula meninggalkan perkuburan, dan dia mengekori Ana beberapa langkah di belakang. Sebaik tiba di pintu besar, Ana menoleh ke arahnya semula. Dia tidak tahu sama ada Ana tersenyum kepadanya atau pun tidak, kerana di benaknya ada jeritan yang kuat:
Ana, aku akan tinggal di kampung ini selamanya!
Di saat itu juga ada isyarat mesej masuk di telefon bimbit. Dia segera mengeluarkannya dari kocek seluar. Sungguh pun ringkas, dia memahami maksud Laila.
"Selamat Hari Raya. Maaf zahir batin. Laila sayang abah macam dulu."
Sekali lagi matanya terasa basah. Di pagi Syawal yang syahdu, dia tidak lagi dapat menahan airmatanya daripada mengalir ke lurah pipinya.
Memanfaatkan lesen penulisan kreatif
Posted by albanna at 11:23 AMIhsan daripada Utusan Online
Dalam Mingguan Malaysia semalam ada disiarkan cerpen Politik Baru YBJ. Cerpen itu ditulis oleh Datuk Chamil Wariya, bekas Ketua Pengarang Majalah Kumpulan Utusan. Chamil lebih dikenali sebagai penulis politik yang disegani dan banyak menghasilkan buku politik.
Apabila seorang wartawan besar seperti Chamil menulis cerpen, tentu ini ada suatu yang mahu disampaikan, barangkali tidak boleh dilahirkan tanpa melalui penulisan kreatif.
Wartawan menulis berlandaskan fakta. Putih adalah putih atau hitam adalah hitam. Tetapi dalam keadaan tertentu, hitam tidak boleh dikatakan hitam.
Jiwa wartawan tentu memberontak apabila tidak dapat menulis berlandaskan fakta. Maka di sinilah peri pentingnya lesen kreatif yang ada di luar prinsip kewartawanan.
Cerpen, puisi, drama atau apa saja karya kreatif mempunyai lesen yang lebih besar untuk mengatakan hitam adalah hitam. Golongan penulis karya kreatif atau sasterawan bukanlah duduk termenung di tepi pantai untuk mendapat ilham. Ini kerana ilham yang baik tidak ada di tepi pantai atau menyepikan diri, sebaliknya ilham ada di tengah-tengah masyarakat.
Maka yang melahirkan Politik Baru YBJ adalah ilham yang lahir daripada milieu politik semasa yang menggelegak dengan pelbagai isu sensitif.
Sensitiviti seorang wartawan menjadikan cerpen Politik Baru YBJ sebuah karya politik dari jurus pemikiran seorang wartawan.
Chamil menggunakan bahasa yang mudah sama seperti penulisan beliau dalam rencana politik. Chamil memanfaatkan lesen kreatif untuk menulis sesuatu yang tidak boleh ditulis menggunakan hukum hakam kewartawanan.
Sebenarnya ini adalah kelangsungan yang pernah dilakukan oleh generasi wartawan Melayu terdahulu. Kalau kita menoleh zaman memperjuangkan kemerdekaan, kemunculan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Samad Ismail; Dr. Ishak Haji Muhammad (Pak Sako); Sasterawan Negara, Kamaluddin Muhammad (Keris Mas); Sasterawan Negara, Datuk Usman Awang; Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said serta beberapa tokoh lagi pernah menjadikan penulisan kreatif sebagai alternatif menyuarakan perjuangan bangsa.
Mereka adalah generasi wartawan yang terpaksa menggunakan lesen kreatif untuk menyampaikan pemikiran wartawan.
Samad Ismail misalnya menghasilkan beberapa karya kreatif yang menggunakan pendekatan kewartawanan seperti Patah Sayap Terbang Jua, Tembok Tidak Tinggi, Rumah Kedai Jalan Seladang, sementara Pak Sako dengan Anak Mat Lela Gila dan A. Samad Said dengan Sungai Mengalir Lesu.
Karya-karya ini memuatkan pemikiran dan perjuangan politik untuk membebaskan negara daripada cengkaman penjajah. Memanglah sesetengahnya kurang memainkan bahasa tetapi inti pemikiran adalah lebih penting daripada keindahan bahasa.
Mereka menjadikan fakta sebagai fiksyen yang bergerak di atas landasan sejarah yang benar.
Ketika golongan sasterawan memainkan peranan mereka menyuarakan hasrat bangsa menerusi karya kreatif, penglibatan golongan wartawan dalam karya kreatif juga tidak boleh diperkecilkan.
Maka kelahiran cerpen Politik Baru YBJ menandakan satu lembaran baru di mana wartawan memilih penulisan kreatif untuk berhujah tentang banyak perkara yang dianggap 'rasis' dalam kewartawanan.
Beberapa tokoh kalangan sasterawan menganggap cerpen ini begitu radikal dan tidak mungkin dapat disampaikan kecuali menggunakan lesen kreatif.
Maka elok juga kalau diforumkan cerpen Politik Baru YBJ untuk dikupas yang tersurat dan tersurat di dalamnya.
E-mel: cp@galaxystudio.tv
Politik baru YB J
Posted by albanna at 11:21 AMHasil tulisan Datuk Chamil Wiraya. (Ihsan Utusan Online)
PAGI itu resah YB Josephine, yang lebih mesra dengan panggilan YB J sukar dikawal. Sepanjang perjalanan menuju ke Dewan Perhimpunan Warga Cha di ibu kota, fikirannya terganggu. Tuduhan bahawa dia anti-Islam dan anti-Melayu sungguh-sungguh menghantui perasaannya sejak malam tadi lagi. Entah mengapa baru sekarang dia begitu, dia sendiri tidak tahu. Dia juga tidak pasti sama ada pemandunya, Ahmad, menyedari gelora jiwanya ketika itu. Kalau dia tahu pun, peduli apa, YB Josephine berbisik sendirian.
Pemandu itu memang sedia maklum pendirian politiknya tentang kepentingan kaumnya vis a vis orang Melayu. Dan dia tahu Ahmad menghormati pendiriannya, walaupun dilihat anti- Melayu, anti-Islam sebagai hak asasi tinggal dalam sebuah negara demokrasi. Bukankah kebebasan asasi itu dijamin oleh Perkara 5 hingga Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan. Tetapi YB J akui demokrasi ada yang tidak sempurna dan kerap disalahgunakan oleh pihak yang berkuasa. Tetapi hakikat itu tidak menghalang rakyat menempatkan pembangkang di Dewan Rakyat. YB Josephine adalah salah seorang daripadanya.
Ah, tudahan dia anti-Islam, anti-Melayu tuduhan yang melulu bentak YB J seolah-olah mahu menyedapkan dirinya.. Ia juga tuduhan yang tidak berasas, hati kecilnya bersuara lagi. Dia meyakinkan dirinya bahawa kenyataankenyataan yang dibuatnya atas nama pelbagai kaum untuk memperjuangkan kepentingan kaumnya, bukan sesuatu yang rasis. Amensty International, organisasi hak asasi antarabangsa akan menyetujuinya. Begitu juga dengan Bangsa-Bangsa Bersatu. Ketua Pembangkang, di Parlimen pun tidak pernah menganggapnya rasis. Yang menganggapnya rasis hanya orang Melayu di dalam Parti Orang Melayu (POM).
“Aku juga bukan anti-Islam. Aku bukan anti Melayu,” pujuk hati YB J yang sudah dua penggal bergelar YB itu, mewakili Parti Bertindak Rakyat. Parti itu dianggotainya sejak berada di kampus lagi, walaupun Akta Universiti dan Kolej Universiti melarang para siswa membabitkan diri secara langsung dalam mana-mana organisasi siasah. Lagi pun penguatkuasaan undang-undang itu sekadar melepas batuk di tangga. Lebih dari itu, ia adalah satu lagi undang-undang lapuk, kata YB J.
Kata hatinya lagi: “Aku sekadar memperjuangkan kepentingan kaum aku, sama seperti pemimpin Melayu dalam POM memperjuangkan kepentingan bangsanya, sama seperti pemimpin Parti Orang Islam (POI) berjuang untuk bangsa menggunakan wajah Islamnya.”
Malah YB J berasakan kelantangannya memperjuangkan kepentingan kaumnya itulah yang telah membantunya menang kali kedua kerusi Parlimennya. Kali ini dengan majoriti yang lebih besar lagi. Apa yang membanggakan dia adalah perjuangan yang dianggap anti-Melayu dan anti-Islam itu kini turut disokong pengundi-pengundi Melayu di kawasan pilihan rayanya itu. Pada mulanya dia sendiri terkejut apabila dimaklumkan sebahagian besar pengundi Melayu yang merupakan 20 peratus keseluruhan pemilihan berdaftar dalam kawasan Parlimen Alam Maya telah memangkahnya.
Ini satu perkembangan luar biasa. Tidak mungkin mereka menyokong aku, bisik hatinya. Tetapi apabila dimaklumkan oleh para pekerja parti bahawa pengundi Melayu di semua peti undi telah beralih arah mendokongnya, dia menerimanya dengan fikiran terbuka. Baguslah kalau orang Melayu menerima perjuangan Malaysia Barunya.
Tidak puas hati bermonolog dengan perasaannya, YB J secara spontan berpaling kepada Ahmad, pemandunya yang sejak tadi tekun dengan tugasnya.
“Kamu fakir saya anti-Islam, anti-Melayu?”
Pertanyaan
Ahmad yang sudah menghampiri usia bersara itu tidak menjawab, seolah-olah dia tidak mendengar pertanyaan itu. Matanya tertumpu ke jalan raya. Tugasnya adalah untuk mempastikan YB J selamat ke majlis yang ingin dihadirinya. Dan tiba tepat pada waktunya. Majlis itu penting kerana YB J akan mengadakan dialog dengan generasi muda seketurunan dengannya yang belajar di luar negara tetapi kebetulan berada di tanah air kerana bercuti. Ahmad sendiri tidak pasti sama ada pelajar yang pernah mempersendakan lagu Negara Ku sewaktu menuntut di sebuah universiti di Seberang Laut turut berada dalam kelompok itu. Kalau pun ada, pemandu YB J tidak ambil pusing. Budak itu memang kurang ajar. Ada ke patut Malaysia dianggap sebagai Negara Kuku (ejaan Inggerisnya cuckoo) yang bermaksud gila. Dan kreativiti digunakan untuk menghalalkan perbuatan biadapnya itu. Cuma Ahmad berfikir kalau semua orang dibiarkan menghina lagu Kebangsaan dengan lirik yang memperlekehkan kehidupan orang Islam, dan atas nama kreativiti, maka kesannya terhadap perhubungan kaum adalah negatif.
Ahmad tidak tahu apakah yang sebenarnya mengganggu bosnya itu sejak dari tadi lagi. Dia jarang begitu. Ahmad dapat mengesan YB J lain macam sahaja pagi itu. Dia dapat membaca keresahan dan kegelisahan YB J. Seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena walaupun apa yang sebenarnya berkocak di dalam diri YB J dia tidak pasti. Sepanjang ingatan Ahmad, YB J juga tidak pernah berbual dengannya tentang politik, apa lagi tentang isu-isu semasa - kecuali memberi arahan yang ada kaitan dengan perjalanan atau jadual kerja. YB J juga tidak bertanya sama ada dia mengundi pom atau parti apa pada pilihan raya yang lalu.
Lazimnya, sepanjang perjalanan, baik ke pejabat atau majlis-majlis rasmi dan tidak rasmi yang lain, YB J akan menghabiskan masa membaca akhbar atau membelek-belek fail. Tetapi pagi itu YB J lain macam sahaja. Dia kelihatan resah. Gelisah. Fikirannya juga seolah-olah tidak menentu. Apa yang dibuat serba tak kena. Sekejap dia membelek ucapan utama yang akan disampaikan sebentar lagi menghuraikan gagasan Politik Baru Malaysia Baru yang dipeloporinya. Sekejap dia membelek akhbar-akhbar yang memang menemani YB J ke mana juga dia pergi.
Ahmad cuba mencongak mungkin keresahan YB J ada kaitan dengan suhu politik negara sedang panas ketika itu. Bahangnya terasa di mana-mana. POM sendiri sedang menghadapi pergolakan yang hebat berkait dengan kepimpinannya. Pertarungan kepentingan puak-puak di dalam parti sedang mengambil tempatnya. Kalaulah tidak kerana kedudukan politik kerajaan agak lemah selepas kehilangan majoriti dua pertiga, sudah lama Operasi Lalang, seperti yang pernah dibuat pada 1987, dilaksanakan, agaknya. Mungkin juga tidak kerana di bawah kepimpinan sekarang, kerajaan mengambil sikap yang lebih liberal terhadap para pengkritiknya.
Ahmad juga terfikir mungkin perasaan YB J terganggu dengan tindakan kalangan yang tidak diketahui siapa mereka melempar bom petrol ke rumah keluarga ahli Parlimen Sepohon Beringin, Su Lan. Barangkali, fikir Ahmad, YB J, bimbang kejadian yang sama boleh menimpa diri atau keluarganya.
Mana tahu selepas keluarga Su Lan, bosnya YB J pula yang menjadi mangsa. Dan yang dilempar itu bom betul-betul. Meletup pula. Tidakkah nahas YB J. Sekonyong-konyong Ahmad terbayang kejadian letupan bom berani mati yang berlaku di Damsyik, Syria yang ditonton menerusi Buletin Utama di TV3 beberapa hari lalu. Kalau kejadian yang sudah menghiasi kehidupan harian di Iraq, Israel, Tebing Barat, Gaza atau Afghanistan itu menular di negara ini, alangkah malangnya bumi bertuah ini. Minta disimpang malaikat 44, Ahmad berkata sendirian di dalam hatinya.
Tetapi fikir Ahmad, amaran kalau tidak diendahkan berbahaya. Dia teringat apa yang diceritakan berlaku pada 13 Mei 1969. Bapanya menceritakan dalam tragedi selepas pilihan raya umum pada 10 Mei itu, orang Cina dan Melayu berbunuh-bunuhan. Perjuangan yang mahu menafikan hak-hak istimewa orang Melayu dan kaum bumiputera lain yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, tidak dapat diterima oleh mereka. Kata-kata kesat dan menghina orang Melayu oleh para penyokong parti-parti pembangkang sewaktu berarak meraikan kemenangan besar di Kuala Lumpur dan bandar-bandar utama lain pada pilihan raya 1969 itu tidak dapat ditelan oleh orang Melayu. Parang yang terbiar tumpul selama ini diasah tajam. Dalam keadaan itu tercetuslah pergaduhan yang dahsyat menyebabkan Parlimen digantung dan pemerintahan darurat diisytiharkan. Negara diletakkan di bawah perintah berkurung. Ahmad sendiri belum lahir ketika itu. Tidak lama selepas itu, peralihan kuasa berlaku daripada Tunku Abdul Rahman kepada timbalannya, Tun Abdul Razak.
“Mat, saya ni anti-Melayu dan anti-Islam ke?,” YB J secara mendadak mengulang semula pertanyaannya apabila tiada jawapan daripada pemandunya.
Ahmad, yang sejak tadi membisu seribu bahasa selamba menjawab: “Mungkin tidak YB.” Dia memberi jawapan berlapik. Maksudnya: Mungkin tidak, mungkin ya bergantung pada mata yang menilai.
“Apa maksud kamu mungkin tidak.”
" Ini soal persepsi YB. Persepsinya begitulah. Hakikatnya YB tidak membenci Melayu tidak juga membenci Islam. YB sekadar memperjuangkan kepentingan kaum YB. Tidak salah YB berbuat demikian. Kalau YB tidak memperjuangkan kepentingan kaum YB sendiri, siapa lagi. Tetapi cara YB itu barangkali disalahertikannya.”
“Maksud kamu?" Tanya YB J yang masih belum jelas lagi.
Bergantung
“Yalah, ia bergantung pada mata yang memandang. Bukan sahaja di kalangan orang Melayu, tetapi di kalangan bukan Melayu. YB kena ingat di kalangan bukan Melayu pun bukan semuanya menerima politik baru Malaysia baru YB. Kalau tidak masakan parti satu kaum seperti Parti Orang Cina (POC) masih boleh bertahan.”
“Apa maksud kamu. Saya tidak begitu jelas?"
“Yalah bagi YB perjuangan YB adalah pelbagai kaum. Tetapi dalam tindak tanduk, perjuangan pelbagai kaum YB itu tidak tertonjol. YB mahu menghapuskan tulisan jawi dan ganti dengan tulisan Cina . Bagi mereka itu bukan perjuangan pelbagai kaum. Ia perjuangan satu kaum. Kalau benar pelbagai kaum, YB patut mempertahankan tulisan jawi.” Ahmad memberanikan diri untuk memberikan pandangannya.
Mengesan bosnya ingin mendengar pandangannya lagi, Ahmad berkata: “Patutnya kalau YB benar-benar ingin menjadi pejuang pelbagai kaum, kepentingan orang Melayu jangan diketepikan sewaktu mengetengahkan kepentingan kaum Cina. YB perjuangkan kepentingan kedua-duanya sekali. Penerimaannya saya pasti berbeza. YB akan dilihat sebagai mahu menjaga kepentingan kaum YB, tetapi pada waktu yang sama tidak menafikan hak orang Melayu.”
Itu perjuangan POM dan POC, dengus YB J di dalam hatinya. Bosan aku dengan Si Ahmad ini, dia berkata sendirian. Aku penganjur politik baru dan tidak mahu terikat dengan kerangka politik lama, katanya lagi kepada dirinya.
Perbualan YB J dengan pemandunya habis di situ sahaja. Dia tidak mahu lagi mendengar pandangan karut pemandunya. Dia mahu terus melayan perasaan: Aku percaya pada Politik Baru Malaysia Baru, tegas YB J pada dirinya. Setiap warganegara, tanpa mengira apa keturunan mereka patut diberi hak yang sama mengikut undang-undang. Tidak ada bangsa yang patut diberi layanan istimewa. Tidak ada warga yang patut diberi darjat atau kelas kedua. Kita semua orang Malaysia.
YB J enggan melayan Ahmad lagi. Sebaliknya, dia membelek akhbar Utusan Malaysia yang secara rasmi diboikot oleh partinya. Perhatiannya tertumpu pada artikel berjudul Jangan Padam Rekod Negara yang ditulis oleh seorang generasi muda Cina yang menolak tesis politik baru Malaysia baru.
Ah, satu lagi propaganda yang memperlekehkan kaum aku, dengus hati YB J. Jangan-
jangan yang menulis artikel ini orang Melayu. Mereka masih menganggap kaum aku sebagai berketurunan pendatang. Tidak guna punya generasi baru. Dengus YB J. Bisik hatinya lagi: Betullah dulu nenek moyang aku berhijrah ke bumi bertuah ini untuk mencari kekayaan, membebaskan diri mereka daripada kemiskinan dan keperitan hidup di China. Itu dulu. Generasi Cina sekarang sudah menjadi warganegara Malaysia dan mereka hendaklah dilayan seperti warganegara Malaysia..
Dikejutkan
Sedang YB J asyik dengan lamunannya, dia dikejutkan dengan suara pemandunya yang memaklumkan, “Kita sudah sampai YB.”
Menunggu dia di luar ialah para penganjur dialog yang bakal berlangsung. Salah seorang daripada mereka membuka pintu kereta YB J, bersalaman dengannya dan memperkenalkannya dengan ahli jawatankuasa penganjur yang lain. Diiringi oleh mereka, YB J dibawa ke pentas. Menurut kiraannya ada 500 orang di dalam dewan pagi itu. Dia bangga dengan kehadiran begitu ramai anak bangsanya yang ingin bertemu dengannya. Apa yang lebih membanggakan YB J ialah mereka belajar luar negara dengan biayai sendiri, bukannya bantuan kerajaan.
Selepas ucapan-ucapan aluan oleh pengerusi penganjur selesai, YB J dijemput untuk memberi ucapannya. Inilah detik-detik yang ditunggu-tunggu oleh YB J. Gagasan politik baru Malaysia barunya akan dihebahkan kepada dunia bebas. Dia teringat buku Kee Thuan Chye yang berjudul 8 Mac The Day Malaysian Woke Up. Momentum rakyat Malaysia atau lebih tepat lagi warga bukan Melayu Malaysia yang sudah jaga dari lena itu mesti ditingkatkan. Pagi itu dia berazam untuk berbuat demikian.
Tetapi tanpa diketahui oleh YB J, di kalangan 500 orang generasi muda yang hadir pada pagi itu ada yang tidak setuju dengan pandangan politiknya itu. Salah seorang daripada mereka berazam untuk membetulkan penyimpangan politik YB J dengan caranya yang tersendiri.
Apabila YB J bangun untuk menuju ke rostrum ucapan, seorang anak muda dari belakang pentas berjalan tenang menuju ke arahnya. YB J tersenyum kepadanya. Dia menyangka anak muda seketurunan dengannya ingin mengiringinya ke rostrum atau bersalaman dengannya.
YB J menghulurkan tangan. Tiba-tiba YB J tergaman dan berdiri kaku. Dia tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Tergenggam erat pada tangan anak muda yang seolah-olah mahu membalas salam tangan yang dihulur itu ialah sepucuk pistol jenis Revolver yang betul-betul diajukan ke arah dada YB J.
Tanpa berkata apa-apa, anak muda itu melepaskan beberapa das tembakan. Salah satu daripadanya tepat mengenai jantung YB J. Dia rebah ke lantai.
Para hadirin menjadi panik. Mereka yang berada di atas pentas turut tergamam melihat apa yang berlaku. Kejadian menjadi hiruk-pikuk dan tidak terkawal. Pihak penganjur yang tidak menduga kejadian malang itu berlaku, tidak tahu berbuat apa-apa. Beberapa orang anggota polis berpakaian preman yang menjadi tetamu yang tidak diundang dalam majlis itu, meluru ke arah pentas. Rakan-rakan mereka yang berpakaian seragam yang berkawal di luar juga bergegas masuk ke dewan.
Tetapi belum sempat mereka berbuat apa-apa, kedengaran beberapa das tembakan lagi. Kali ini yang rebah adalah anak muda itu sendiri.
Apabila pihak polis tiba di tempat kejadian, kedua-dua mereka - YB J dan anak muda yang berpakaian kemas itu, sudah tidak lagi bernyawa.
Sewaktu pemeriksaan dibuat ke atas mayat anak muda yang tidak dikenali itu, terselit sehelai nota yang ditaip rapi, ditulis dalam bahasa Kebangsaan.
Ia berbunyi: YB Josephine adalah ancaman terhadap keharmonian. Lebih baik riwayatnya ditamatkan supaya masyarakat berbilang kaum boleh tinggal aman damai di negara bertuah ini. Saya berkorban untuk masa depan.
Malang Abdullah!
Posted by albanna at 8:16 AMIhsan harakahdaily
Petang Selasa 7 Oktober, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi belum membuat keputusan untuk mempertahankan jawatan Presiden Umno dalam pemilihan parti itu yang dianjak kepada Mac tahun depan, namun ketika akhbar ini berada di pasaran, teka-teki itu telahpun terjawab.
Abdullah tentu tidak pernah menduga kerjaya politiknya bakal berakhir secara cukup tragis, sepertimana beliau tidak termimpi dilantik ke jawatan no. 1 itu, lima tahun lalu. Mungkin ada pihak melihat banyak "kebetulan" menyebelahi Abdullah selama ini, namun ahli politik pastinya tidak boleh mengharapkan hanya kepada rantaian "kebetulan" dan "nasib baik". Pelantikannya dulu disambut penuh harapan. Majoriti rakyat, terutama orang Melayu, agak terubat dengan janji-janji Abdullah, selepas mereka melalui zaman pahit era Dr Mahathir Mohamad. Abdullah menyuntik keyakinan bahawa Malaysia bukan lagi milik seorang pemimpin, tetapi boleh dikongsi bersama puluhan juta rakyatnya. Ramai teman-teman mengimpikan agar Abdullah dapat memulangkan kembali negara kepada kita semua. Biar rakyat, sekurang-kurangnya, dapat berimiginasi bagaimana Malaysia harus dikendalikan bersama. Walaupun mengakui personaliti Perdana Menteri baru tidak sehebat penyandang sebelumnya - dan itulah "kelebihan" Abdullah - saya sendiri mengharapkan institusi-institusi penting seperti Parlimen, Suruhanjaya Pilihan Raya, Badan Pencegah Rasuah dapat diperkukuh dan dimantapkan. Ketika itu langsung tidak terbayang akan terasas pelbagai fenomena jelik, seperti dakwaan "kerajaan tiga beranak", yang memusnahkan terus impian untuk melihat Malaysia ditadbir secara lebih kolektif dan demokratik. Abdullah cuba membina legasi tersendiri dengan mengusahakan beberapa perubahan positif, selain memperkenalkan konsep Islam Hadhari. Saya cuba melihat sisi positif dalam usaha pembaharuan Abdullah itu walaupun banyak bayangan hitam menyelubunginya. Niat Abdullah mungkin luhur, namun beliau tidak mempunyai kekuatan tekad politik yang kental. Memang tidak mudah melakukan reformasi jika tidak didokong anggota kerajaan dan ahli parti, apatah lagi sosok Abdullah tidak menjelmakan aura seorang pemimpin karismatik, malah mudah tunduk dengan kehendak keluarga dan pasukan penasihatnya. Ya, Abdullah nampak mudah didekati, jauh lebih mesra berbanding Mahathir, namun pemimpin yang mahu menerajui perubahan perlu perwatakan lebih sofistikated, sekurang-kurangnya meneladani salah satu sifat Nabi, kebijaksanaan. Abdullah memang mensesiakan peluang dan kesempatan. Mandat rakyat pada 2004 (terbesar sepanjang sejarah Perikatan-BN menyertai pilihan raya) mungkin menjadikannya alpa dan lupa diri. Lebih daripada itu, sudah dapat dikesan bahawa sejak hari pertama menjadi PM, Abdullah sememangnya menanggung beban yang tidak terdaya dipikulnya. Saya boleh bersetuju dengan pandangan bahawa ciri-ciri seorang perdana menteri yang berkesan tidak ada pada dirinya. Lalu timbul persoalan, apakah Dr Mahathir tidak menyedari kelemahan ketara yang paling asas itu - keupayaan kepimpinan? Tentulah tidak adil untuk memperlekehkan apa saja usaha Abdullah seolah-olah beliau langsung tidak menyumbang apa-apa buat negara tercinta ini. Tekadnya memang ada, keazamannya terserlah, niatnya tidak perlu dipertikai, nampak bibit-bibit positif dari usaha reform beliau. Sayang, ramuannya belum cukup untuk Abdullah berdiri tegak berdepan cabaran badai-taufan, melalui simpang-perenang yang mengelirukan, apatah lagi menawarkan formula terbaik untuk Malaysia keluar daripada lingkaran masalah dan konflik berpanjangan. Jika Abdullah sebelum ini dilihat sering "bernasib baik", malangnya ketika di penghujung, beliau bagai keseorangan melalui terowong gelap. Pelan peralihan kuasa 2010 ditolak mentah-mentah. Usaha pemulihan parti serba tidak menjadi. Rakan-rakan dalam BN menikam dari belakang. Teman baik sesama Umno pun tidak menghormatinya lagi. Benar, bila kelapa tumbang, kura-kura pun boleh memanjatnya. Abdullah bakal pergi. Bagaimana pula penggantinya? Najib Razak, Tengku Razaleigh Hamzah, Muhyiddin Yassin, atau pimpinan Pakatan Rakyat sudah bersedia menyambut amanah besar ini? Mungkinkah Umno-BN dapat dipulihkan dengan kepimpinan baru nanti, atau lebih bercempera? Seperti Abdullah yang tidak lagi "bernasib baik", saya juga risau jika Pakatan Rakyat terus mengimpikan "kebetulan" dan "nasib baik" menyebelahi mereka. ______________________ (Abdullah mengumumkan keputusannya untuk tidak mempertahankan jawatan presiden Umno dalam pemilihan parti itu Mac depan petang semalam (8 Oktober 2008).Beliau juga akan melepaskan jawatan perdana menteri dan menyerahkan kuasa kepada timbalannya pada bulan Mac apabila Dato' Seri Najib Razak dipilih sebagai presiden baru parti itu.) |