Marhaban Ya Ramadhan, ('',)


Apakah yang terlintas di fikiran kita apabila muncul bulan Ramadhan? Ibadah atau amalan semasa berpuasakah, persiapan raya atau lainnya? Jarang kedengaran di kalangan umat Islam membuat persiapan ibadah untuk menyambut bulan Ramadhan seperti membeli telekong baru, songkok atau sejadah khusus untuk digunakan beribadah sepanjang Ramadhan. Begitu juga ulangkaji tentang ibadah-ibadah yang akan dilakukan. Terdapat pula di kalangan kita yang tidak senang dengan kehadiran bulan ini. Bulan ini benar-benar membebankan bagi mereka. Mungkin kerana sebahagian aktivitinya tidak dapat dilakukan seperti biasa. Masih terdengar lagi kata-kata ustaz atau tok-tok guru, Ramadhan bulan rahmat dan keampunan, bulan ganjaran, pahala berlipat ganda, bulan mendisiplinkan diri dan berbagai lagi. Bagi orang yang beriman, bulan Ramadhan sentiasa ditunggu dan dirindui kerana mengharapkan peluang mendapat rahmat dan keampunan ALLAH. Tetapi bagi yang kurang beriman, Ramadhan itu benar-benar bulan menyiksakan. 30 hari dirasakan 30 tahun. Ini kerana mereka tidak bebas untuk makan dan minum di khalayak ramai. Bulan Ramadhan adalah bulan paling istimewa kedudukannya kerana selama sebulan penuh bermula dari hari pertama hingga hari terakhir bulan ini dikenali sebagai bulan ibadah. Apa sahaja yang dilakukan dalam bulan ini dikira ibadah hatta tidur pun dikira ibadah. Tetapi dengan syarat niat tidur kerana Allah seperti tidur siang dengan harapan dapat bangun malam untuk melakukan qiamullail. Bulan Ramadhan menjadi pengukur keimanan seorang hamba ALLAH sebab peraturannya yang wajib dilaksanakan benar-benar mencabar fitrah semula jadi atau naluri manusia yang sentiasa ingin makan dan minum. Begitu juga dengan larangan bercampur suami isteri di siang hari, serta menjauhi segala perbuatan yang membatalkan puasa. Sakit pula seperti gastrik contohnya, sering dijadikan alasan untuk meninggalkan ibadah puasa yang wajib dilaksanakan selama sebulan sedangkan ALLAH SWT telah memberi kita ruang yang cukup luas iaitu 11 bulan dalam setahun untuk makan dan minum sepuas-puasnya. Di samping itu, perlu dijelaskan bahawa walaupun sakit mereka mesti berazam dan berusaha untuk berpuasa. Bukan bila sakit sahaja terus meninggalkan puasa. Hatta orang yang terlalu tua dan lemahpun mereka mesti tanamkan semangat dalam dirinya, wajib berpuasa sekadar kemampuan yang boleh walaupun setengah hari. Sesungguhnya pahala puasa dan amalan-amalan di bulan Ramadhan adalah jauh lebih baik dari bulan-bulan yang lain. Oleh itu tidak wajar kita meninggalkan puasa kerana sakit. Semangat atau daya juang yang tinggi boleh mengatasi rasa lapar. Inilah dinamakan jihad untuk melawan hawa nafsu. Kalau kita rasa tidak boleh laksanakan puasa sudah tentu tidak boleh puasa. Dalam hal ini jangan berbuka puasa kecuali sakit yang boleh memudharatkan diri. Dari segi kesihatan, puasa dapat merehatkan penghadaman yang bekerja selama 11 bulan tanpa henti. Menurut pakar kesihatan bagi pengidap penyakit seperti kencing manis dan darah tinggi puasa bulan Ramadhan boleh menjadi ubat yang paling mujarab untuk mengubati penyakit tersebut. Oleh yang demikian, setiap individu Muslim perlu menerima tanggungjawab berpuasa sebagai suatu amalan positif yang dapat meningkatkan ketahanan fizikal, spiritual dan mental.

0 comments: