Oleh
KHAIRUL NIZAM ABD. RAUB
JIHAD fisabilillah menurut Abul A'la Al Maududi dalam buku Jihad Fisabilillah bukanlah jihad atau perjuangan yang tidak terarah tujuannya. Ia harus dilakukan di jalan Allah sebagai syarat utama. Begitulah antara lain maksud dan pemikiran yang cuba dikemukakan oleh pengarang Faisal Tehrani dalam novel terbarunya 1511H [KOMBAT] yang memenangi hadiah pertama kategori novel remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2003.
Ramai beranggapan bahawa novel 1511H [KOMBAT] merupakan sequel kepada novel 1515. Namun ia bukanlah suatu sambungan kisah perjuangan Nyemah Mulya atau pun kajian Adi Fimiyun mengenai sejarah kegemilangan dan keruntuhan Kesultanan Melayu Melaka. Novel 1511H [KOMBAT] ini berlatarkan masa depan iaitu pada tahun 2087 Masihi atau 1511 Hijrah.
Meskipun begitu kedua-dua novel ini tetap berpaksikan kepada satu pemikiran yang sama iaitu perjuangan umat Islam menentang kekejaman orang kafir yang ingin memusnahkan Islam dari muka bumi dengan apa jua cara. Sudut pandangan orang Timur kepada Barat atau oksidentalisme merupakan pendekatan yang dikemukakan oleh pengarang berbakat ini.
Novel 1511H [KOMBAT] memaparkan perjuangan sebelas komander muda menentang cubaan Presiden Amerika Syarikat, Richard Nosirname yang ingin memusnahkan terus moral umat Islam dengan menawan Makkah dan Madinah. Dengan tertawannya dua kota suci umat Islam dan musnahnya makam Rasulullah s.a.w, masyarakat Islam dipercayai akan terus tunduk di bawah telunjuk Barat dan tidak berani lagi menentang apa juga yang dipantakkan oleh tamadun Barat kepada umat Islam yang ketika itu teruk tertindas setelah hampir semua negara umat Islam terpaksa tunduk di bawah telunjuk presiden berdarah Yahudi itu.
Perjuangan anak-anak muda tersebut dipimpin oleh seorang wanita lumpuh bernama Syarifah Nusaybah, seorang hartawan Arab yang telah sekian lama menyusun strategi dan mengumpulkan tentera untuk menundukkan keangkuhan Amerika yang begitu rakus mengotak-katikkan umat Islam sejak dulu lagi. Dalam pada itu, seorang remaja dari Nusantara, Muhammad Ameen telah dipilih mengetuai barisan pemuda Islam untuk mempertahankan Makkah serta cuba menakluk Amerika Syarikat kemudiannya.
Perpaduan
Dalam novel ini, Faisal menekankan bahawa perpaduan sesama umat Islam merupakan senjata paling ampuh dalam berjihad mempertahankan agama Islam. Salah satu konsep kesufian iaitu futuwwah diterapkan di dalam perjuangan watak-wataknya sekaligus menjadikan ia tunjang penting novel ini. Konsep futuwwah sedikit asing di negara ini menjadikan ia satu `tawaran baru yang menarik' di dalam 1511H [Kombat].
Dendam Yahudi dan Nasrani kepada Islam yang telah berlangsung sejak kelahiran Rasulullah juga tidak pernah terpadam dengan betapa bencinya Presiden Nosirname terhadap umat Islam. Ini dapat dilihat dengan mimpinya bertemu Pope Bonifacius yang menghasutnya supaya memusnahkan Islam dan menyambung perjuangan Abrahah yang ingin meruntuhkan Kaabah. Pemaparan kebongkakan Yahudi bagaimanapun bukanlah kali pertama ditampilkan oleh pengarang ini kerana ia juga dapat dikesani di dalam banyak cerpen-cerpennya termasuklah di dalam drama pentas beliau Rintih Chicago dan Angin Madinah. Kedua-dua drama tersebut pernah meraih Hadiah Sastera Perdana Malaysia.
Sesuai dengan judulnya, hampir keseluruhan novel ini merincikan aksi di medan peperangan. Perlumbaan senjata canggih oleh kedua-dua pihak serta strategi peperangan yang penuh rencam dipaparkan. Keupayaan pasukan tentera Islam ditonjolkan dengan membangunkan pelbagai jenis senjata tidak terjangka oleh tentera musuh seperti bio bots lipas dan belalang yang mampu menyerakkan gelombang, juga senjata biologi serta kehadiran tentera cyborg dan sarcos.
Salah satu perkara lagi, novel ini juga menampilkan kelicikan helah peperangan pejuang Islam dengan mengambil iktibar daripada sirah Nabi. Faisal sentiasa merujuk bahagian-bahagian dari sirah Rasulullah s.a.w khususnya ketika membincangkan persoalan pertempuran berani mati dan penipuan yang dilakukan oleh tentera Islam sebagai satu taktik peperangan. Sumber sirah Nabi dan para sahabat menjadikan novel ini memiliki signifikan tersendiri dan harus ditekuni oleh para ulama dan ahli agama.
Biarpun kebanyakan senjata milik para pejuang Islam tidak secanggih senjata tentera Amerika malahan ada senjata yang sudah ketinggalan zaman masih digunakan tetapi kekuatan moral yang tinggi memungkinkan tentera Islam mampu memberikan saingan sengit kepada tentera penceroboh. Begitu juga dengan adanya pertolongan Tuhan seperti peluru berpandu berpatah balik setelah berhenti seketika di atas `Kubah Hijau' menambahkan lagi semangat juang para pejuang Islam.
Pengarang juga kemungkinan terilham daripada kisah-kisah daripada Al Quran seperti kisah tentera bergajah Abrahah menyerang Makkah apabila tentera penceroboh Amerika cuba memasuki kota tetapi telah dihalang dengan kekuatan ketumbukan tentera Islam dan mukjizat luar biasa. Begitu juga sejarah pembukaan semula Kota Makkah atau Fathul Makkah oleh Rasulullah s.a.w dapat diperhatikan dengan tindakan Komander Muhammad Ameen memimpin pasukan tentera Islam menawan Washington DC. Namun begitu, kejayaan yang dikecapi tidaklah mudah malahan mengorbankan beberapa komander penting dalam usaha mempertahankan dua kota itu dan penaklukan Amerika Syarikat itu sendiri.
Oleh itu dapat disimpulkan, pengarang cuba menampilkan bahawa jihad bukan sahaja berbentuk defensive atau mempertahankan diri apabila diserang tetapi juga berbentuk offensive atau menyerang berdasarkan ayat 1-5 dalam Surah at Taubah.
Panel penilai Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2003 mengulas bahawa novel ini memaparkan isu global dan persoalannya dipaparkan secara nonkonvensional. Menurut laporan, `novel ini dikategorikan sebagai pasca kolonial yang mewujudkan citra oksidentalisme sebagai suatu bentuk penentangan budaya. Fakta sejarah dan kronologi waktu telah dikesampingkan dan dijungkir-balikkan'. Kekuatan novel ini menurut panel penilai ialah `kelebihan pengarang dapat merangsang para remaja untuk lebih imaginatif dengan teknik pemantulan waktu, pengadunan fakta dan fiksyen serta pembauran watak hidup dengan watak fiktif. Begitu juga jalan cerita yang dibina dengan penuh dramatik menimbulkan pelbagai jenis emosi serta adanya unsur-unsur ketegangan sangat menarik perhatian untuk dibaca sehingga ke akhir cerita.'
1511H Kombat adalah sebuah novel yang boleh menarik perhatian di peringkat antarabangsa. Menjelang pemilihan Presiden Amerika Syarikat November ini berbaur dengan isu dokumentari Michael Moore yang menang besar di Pesta Filem Cannes, 1511H [Kombat] boleh diketengahkan dan diterjemahkan sebagai mewakili `satu suara yang sama sekali berbeza'. Apatah lagi di tengah umat Islam tewas dua perang besar dalam tempoh tiga tahun ini, 1511H [Kombat] adalah penawar untuk mengubat duka. Kelahiran karya ini dapat disamakan dengan kewujudan Hikayat Perang Sabil yang bertujuan untuk menyemarakkan semangat jihad umat Islam.
Novel ini akan diperkatakan pada Diskusi novel Pena pada Sabtu ini, pukul 10.30 pagi di Rumah Pena.
0 comments:
Post a Comment