Apa Itu Sastera Islam - oleh Sekolah Pemikiran Kg. Baru

Apa takrif Sastera Islam?

Itu merupakan salah satu kes di mana penangan AAC (Ayat-ayat Cinta) menyebabkan beliau mula kerap diundang menyampaikan ceramah agama. Tapi, beliau kerap merendah diri. Dia tidak banyak mendabik dada ketika membicarakan AAC itu.

"Saya tak meletakkan novel itu sebagai sastera Islami. Saya hanya letakkan novel itu sebagai novel pembangun jiwa. Tapi, khalayak ramai kemudiannya meletakkan karya itu sebagai sastera Islam.

"Saya tidak melihat Sastera Islam itu mestilah ciri-cirinya berlatarbelakangkan masjid, Makkah dan Madinah. Ini satu tanggapan yang mesti dibetulkan," katanya lagi.

Malah katanya, novel berjudul Harimau Harimau oleh Mochtar Lubis juga boleh diangkat sebagai sastera Islam. Ini kerana katanya, karya itu terselit di dalamnya unsur kesufian daripada segi perasaan al-Khauf (takutkan pembalasan Allah) dan al-Raja' (pengharapan).

"Latarbelakang pengkisahannya cuma hutan dan bukannya di masjid, Mekah dan Madinah. Sekumpulan manusia mula tersesat di hutan dan masing-masing takut mati dibaham harimau. Pada saat itu, mereka mula menghitung nasib diri, amalan berhubung dosa dan pahala. Nah! Ada unsur tasawuf di situ," tambahnya lagi.

Selain itu Kang Abik turut memetik lagi beberapa buah novel yang beliau masih ingat. Antaranya kisah sebuah kampung petani yang tanaman mereka tidak menjadi kerana dilanda musim kemarau. Tiba-tiba ada seorang petani tua yang berpesan agar jangan mudah menyerah kalah kepada kemarau itu.

"Petani tua itu berkata, di sana ada danau yang masih boleh diambil airnya. Ambil dan siramkan tanaman itu. Dan ini ada hubungan dengan firman Tuhan - Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum sehinggalah kaum itu sendiri yang bertindak mengubahnya.

"Jadi, jangan disempitkan lagi sastera Islam itu dengan berlatarbelakangkan cuma masjid, Makkah dan Madinah sahaja," kata beliau lagi.

Baginya, penafsiran yang melihat sastera Islam itu cuma terhad kepada latarbelakang Makkah, Madinah, masjid itu akan menyebabkan sastera Islam akan menjadi makin sempit, walhal Islam itu luas dan rahmatnya melimpah ke serata alam. Islam ada pada setiap bangsa dan ia hadir di semua negara.

"Malah sastera Islam itu masuk mengalir ke Indonesia itu serentak dengan kehadiran Islam itu sendiri," kata beliau lagi sambil merujuk kepada tradisi dakwah Wali Songo yang menggunakan elemen, tradisi hiburan.

Mengarang dari Hati

"Mungkin kerana AAC berlatarbelakang al-Azhar, maka ia diangkat sebagai sastera Islam. Tetapi, saya ingin katakan bahawa jika saya tak belajar di al-Azhar dan di Timur Tengah sekali pun, saya tetap akan mengarang Ayat-Ayat Cinta."

Kami cuba mencungkil rahsia resipi Kang Abik dalam menyediakan ramuan novel sebagai hidangan jiwa, santapan rohani dan kini ia menjadi juadah pembuka selera bicara bagi penggemar sastera kini.

"Biasa saja, sesuaikan tema novel dengan judulnya. Malah AAC itu sudah ada berapa buah judulnya dalam fikiran saya sebelum ini," kemudian dia terdiam sebentar.

"Ya, selain itu ada juga kita bertafakur, bermenung sendirian..."

Saya yakin, Kang Abik tergolong dalam kumpulan manusia, atau watak-watak penulis yang mengarang bukan lagi lewat jari-jemari, malah mereka mengarang daripada hati-hatinya.

Seperti kata Buya Hamka dalam salah satu catatannya, orang yang mengarang dari hatinya, tulisan mereka itu akan terpancar dan kesannya terus masuk ke dalam hati manusia lain.

10:00 p.m, 20 November
Sekolah Pemikiran Kg. Baru

Ihsan daripada : Sifu Uni PTS

0 comments: