"SAYA kena dekat hidung, mata dan juga kena tolak. Rupanya begini caranya untuk menyelamatkan bahasa. Ini merupakan kali pertama saya terkena gas pemedih mata dan ia mungkin akan berlaku lagi kerana saya akan terus memperjuangkan misi membantah PPSMI selagi kerajaan tidak memansuhkannya," kata Penasihat Gerakan Mansuhkan PPSMI, Sasterawan Negara Dato' A. Samad Said.
Semua orang rasanya maklum saya seorang pengarang sastera yang selepas pilihanraya umum lalu berasa tidak senang dengan semua parti politik yang ada. Justeru, secara peribadi saya merasakan; untuk menghubungkan tindakan pejuang bahasa yang membantah PPSMI dengan politik pembangkang seperti yang diusahakan oleh media elektronik dalam Buletin Utama dan Buletin 1:30 (Ahad lalu) memang dangkal. Manipulasi sedemikian hanya akan menyebabkan pejuang bahasa dan intelektual Melayu semakin menjauhi pemerintah. Sesungguhnya kita tidak boleh menafikan yang isu bahasa adalah isu politik. Isu pendidikan adalah isu politik. Di Korea Selatan, Perancis, dan Jerman isu pendidikan adalah isu yang diketengahkan dalam pilihanraya dan selalu membawa pelajar dan pengajar ke jalan raya. Lama dahulu sebelum saya menjelajah dunia sastera ini, ketika berguru dengan Pak Samad Said di celah-celah tiang Masjid Negara, sebelum mencicip kopi bersama Az di McGoo Deli, sambil menunggu Kak Shidah pulang dari kerja, Pak Samad memberitahu saya: "Untuk menguasai seni menulis itu mudah saja, bapak akan belikan buku-buku yang baik dan Faisal baca. Tetapi yang paling payah ialah menguasai seni bersikap." Hari ini kita tahu mengapa Pak Samad menjadi ikon sehingga foto beliau dicetak pada t-shirt anak-anak muda yang turun ke jalan raya pada 7 Mac lalu. Seorang seniman hanya dapat dihormati dan dipercayai kerja-kerjanya apabila dia bersikap. Selagi tidak bersikap, kerja atau karyanya (waima menang hadiah) hanyalah satu karangan indah yang tiada makna. Hayati sikap Datuk A Samad Said ini: 1. Setiap orang Melayu yang mencintai bahasanya harus membuang undi menyanggah pucuk pimpinan yang tidak melestarikan bahasa ibundanya. Ertinya kalau dimana-mana pun kalau ada calon yang menentang bahasa ibundanya, kita harus tentang mereka dengan tidak undi mereka. Kenapa kita mesti pilih orang yang mahu mengucupkan bahasanya. Kita ada undi, ajar mereka dengan undi kita. 2. Saya juga kecewa dengan kenyataan Menteri Pelajaran yang mengatakan dia malu bila pejuang bahasa pergi ke jalanan dan seharusnya menggunakan lorong-lorong tertentu. Pejuang bahasa memilih jalanan kerana sudah tidak ada lagi lorong-lorong yang boleh dimasuki. 3. Saya fikir pemimpin tertentu sahaja begini. Yang saya dengar kalangan akar umbi Umno juga menolak PPSMI. Tetapi bila yang berkuasa terlalu diberi kuasa maka jadinya pucuk pimpinan sentiasa benar. Pucuk pimpinan tidak bersedia untuk berkompromi. Saya fikir penghakisan pengaruh Umno antara sebabnya saya fikir kerana mereka terlalu bertelinga satu dan mereka terlalu berlidah dua. Oleh kerana persidangan Agung Umno semakin hampir, setiap pemimpin Umno tidak mahu tersilap. Kalau tersilap mereka akan tersingkir lebih awal. Mereka mahu masuk dalam lingkungan itu hingga Mac. Di situ kita boleh lihat wajah sebenar mereka ini. Beruntunglah kalau benar-benar politik rasuah itu dapat disisihkan. Saya mahu lihat yang bukan RM200 ditangkap tetapi yang berjuta ringgit. Yang tangkap jumlah kecil ini cuma wayang gambar tetapi saya mahu lihat yang besar-besar juga ditangkap. 4. Memang ini penghinaan. Bukan saja penghinaan saya fikir ketidakyakinan dan tidak bersedia memartabatkan bahasa oleh pemimpin Melayu itu sendiri. Kalau orang lain atau bangsa lain tidak berbuat begitu, saya tidak kisah dan saya boleh tidur dengan lena. Tetapi yang mengecewakan saya adalah pemimpin Melayu itu sendiri tidak yakin dengan bahasanya. 5. Jadi memang sesuatu sudah terbuku di hati, sudah tetap mahu dilaksanakan supaya bahasa Inggeris itu dijadikan bahasa pengantar. Kalau Menteri Pelajaran kata ada lorong untuk diusahakan sebenarnya lorong itu sudah lama tiada maka sebab itu kami pergi ke jalanan. 6. Kalau dalam Gapena, saya fikir akhir-akhir agak samar. Saya tidak tahu apakah Gapena benar-benar menyokong perjuangan bahasa ini. Terakhir saya dengar Gapena mahu menyaman kerajaan. Saya tidak pasti sama ada itu satu pengucapan yang serius atau tidak. Memang tidak ternampak tokoh-tokoh Gapena berada di tempat-tempat yang sepatutnya. Contohnya di Sogo, saya tidak nampak, mungkin ada di belakang-belakang, saya tidak tahu tapi sepatutnya mereka ke depan. Saya fikir penyertaan Gapena yang agak total perlu kerana mereka adalah gabungan penulis-penulis Melayu. Kalau tidak ke depan maka ia semacam ada yang tidak kena kerana mereka adalah induk jadi mereka perlu lebih ke depan. Saya dengan rasa penuh hormat terhadap Professor Ismail Hussein dan rakan-rakannya menyatakan sikapnya dengan jelas dan total. Mereka mahu melestarikan bahasanya atau tidak. 7. Malah ketika dibawah pemerintahan Dr Mahathir selama 22 tahun, beliau tidak cuba melestarikan bahasa. Dan itu tidak dilakukan. Dan saya tidak tahu apakah yang sudah tersusup dalam hati nurani mereka hingga mereka tidak percaya kepada bahasa mereka sendiri. Dikatakanlah bahawa bahasa Melayu itu kuat. Pertanyaan saya, apakah yang dilakukan oleh elita kuasa Melayu ini untuk menguatkan bahasa Melayu? Apa yang saya nampak mereka semakin menguncupkan bahasa dan menghala kepada penazak bahasa dan akhirnya akan menjadi pengubur bahasa. Yang salah terbukti elita kuasa Melayu ini kerana tidak berusaha melestarikan bahasa Melayu. Yang kita dengar bahasa Melayu ini tidak cukup kuat untuk memberikan rezeki, apa ini? Yang memberikan rezeki itu Tuhan bukan bahasa. Dan ini adalah dosa-dosa bahasa orang-orang yang mengucupkan bahasa ini. (Begitulah intipati wawancara Harakah dengan A Samad Said.) Nah, apa hubung kait dengan lelaki berkeris di atas (penulis letakkan gambar Hishamuddin Hussein dalam blognya)? Mengapa Menteri Pelajaran menafikan desas-desus yang peluangnya untuk memenangi Naib Presiden Umno terjejas ekoran bantahan rakyat terhadap PPSMI? Mungkinkah kerana sebetulnya, peluang beliau semakin menipis. Kata-kata Pak Samad: 'Ertinya kalau dimana-mana pun kalau ada calon yang menentang bahasa ibundanya, kita harus tentang mereka dengan tidak undi mereka. Kenapa kita mesti pilih orang yang mahu mengucupkan bahasanya. Kita ada undi, ajar mereka dengan undi kita' akan menghantui beliau. Untuk mereka yang tidak hadir sama ke acara tunjuk kasih 7 Mac lalu dengan alasan ia menjadi medan politik, sila baca alasan Pak Samad mengapa beliau ikut sama berarak di jalanraya sehingga sanggup disembur gas pemedih mata. Ingatlah kata Pak Samad, yang beri rezeki buat kita ialah Tuhan, bukan bahasa. Ini basis keimanan, serlahkan ia terhadap anak-anak. Mencontohi Pak Samad yang berani menyatakan sikap terhadap teman-temannya dalam GAPENA, saya juga ingin menyatakan sikap terhadap teman-teman pengarang: Menulis sastera Melayu tanpa menyertai perjuangan mempertahankan bahasa Melayu ,di saat ia memerlukan, adalah bacul. Kerana saat bahasa Melayu ini terkubur kelak, novel yang ditulis pun akan turut terpadam. Membiarkan bahasa Melayu dipertahankan oleh anak-anak muda dari parti politik, sedang kita menyulam pelbagai alasan untuk tidak turun padang, adalah dayus. Ini masanya, bak kata Allahyarham Usman Awang; nama kalian telah diseru, sahutlah sebelum jadi bisu. Nota Tambahan (saranan Sofwah, terima kasih!): Bagi sesiapa yang ingin menjawab blog-blog penyokong PPSMI yang semakin bercambah, saya berharap ia dilakukan dengan tenang dan rasional. Saya lihat mereka suka membuat kesimpulan: 1. Ia bermotif politik. 2. Pejuang bahasa pun cakap Bahasa Inggeris, jadi, kenapa nak tentang PPSMI? 3. Pejuang BM anti Bahasa Inggeris. 4. Anak, anak sedara, adik sedara, anak sepupu sepapat, anak dua tiga empat pupu, suka PPSMI, jadi, anak orang lain, anak sedara orang lain, adik sedara orang lain pun akan suka PPSMI. 5. Pakcik makcik sepupu sepapat dua tiga empat pupu papat mengajar Sains dan Matematik dalam BI suka PPSMI, jadi, kenapa pejuang Bahasa tak suka PPSMI? 6. PPSMI akan membantu pengajaran BI. 7. PPSMI tidak akan menganggu-gugat BM; dan banyak lagi persepsi cetek. Ternyata mereka tidak membaca sebarang kajian. Kita ingin mengingatkan pejuang bahasa bukan bodoh wahai Datuk Seri Hishamuddin, kita bertindak selama enam tahun dengan penuh kesabaran sambil melakukan kajian mendalam. Dan pihak beliau telah menutup jalan rundingan, sehingga Sasterawan Negara Dato' A. Samad Said yang diketahui bersikap berkecuali dari segi politik telah memilih pentas politik. Saya ingin menyarankan sesiapa yang bertemu dengan blog-blog penyokong PPSMI untuk memautkan kajian/pandangan alternatif seperti contoh di bawah ini: 1. Kajian Akademik 2. Profesor Shaharir Md. Zain 3. Bahasa Melayu untuk Sains, Matematik tetap realistik 4. Profesor-Profesor Melayu dalam Bidang Sains yang Menentang PPSMI 5. Kosmologi Bahasa 6. Menjawab Gabungan Pro PPSMI; dan meminta mereka berfikir lebih dalam lagi. Untuk penguasa, saya ingin mengingatkan yang belum ada politikus menang dalam melawan seniman. Di hujung, meski panjang jalannya - seniman selalu akan menang. tehranifaisal.blogspot.com
|
0 comments:
Post a Comment