Di pagi Syawal, apakah yang kau cari?

Ihsan Utusan Online

SEJAK zaman muda lagi dia sudah menghidapi semacam penyakit. Setiap kali berada di perut kapal terbang, dia tidak berupaya melelapkan mata, walau pun sepicin. Gelisah, cemas, dan fobia akan paras ketinggian, semuanya berpugut-pugut, dan akhirnya bangkit sebagai adunan yang barangkali boleh saja dinamakannya kesepian. Atau apakah ini yang dinamakan kerinduan? Sewaktu remaja dulu dia sering menganggap bahawa kesepian dan kerinduan itu membawa nuansa yang sama. Sampai sekarang pun dia tidak dapat membezakan pengertian kedua-dua terma itu. Ada ketikanya di dalam pesawat, dia seolah bergantung di sayap angin, menaksir seluruh awangemawan dan jagat raya. Dan bila itu terjadi, pintu besar ke kota kenangan terbuka seluas-luasnya. Fikiran pun mengembara ke segenap relung ingatan, lampias dalam ruang-waktu, dan segala pengalaman dengan cepat mekar, dan segar semula. Walau sudah bertahun-tahun berada di perantauan, entah kenapa sepanjang Ramadan al-Mubarak pada kali ini rindunya terhadap kampung halaman benar-benar luar biasa. Sungainya, bukitnya, burung-burungnya, unggas dan mergastua, lambaian pohon- pohon kelapa, dan lesung kaki tua al-marhumah nenek, semuanya meruntun perasaan.

"Fikiran manusia adalah komputer azali yang sangat aneh," kenyataan itu sering berulang- ulang di sepanjang hayat. Puisi yang mengabadikan alam remajanya tidak pernah lekang dari kotak ingatan.

Suatu waktu main perang buah sentul di sejuk kali

Tak kusangka main perang buah sentul di sejuk kali

Setiap pagi di hujung kampung suatu waktu dulu menangis

Luka di kepala dan kakiku rupa-rupanya persediaan

ilmu untuk suatu waktu kerana kini

di Kuala Lumpur setiap hari aku berperang dengan nafsu

emosi dan hargadiri aku berperang dengan bedil di mukaku

senjata tajam menikam siku ubun-ubun dan sulahku. kini tanpa tangis aku bangun mengutip peluru di dadaku seraya

tersenyum membalut luka-luka ditubuhku

kerana aku sudah dipersediakan ilmu perang

suatu waktu dulu di sejuk kali di hujung kampung

setiap pagi.

Sajak itu ditulisnya ketika masih berada di KL, sebelum dia menikahi ibu Laila. Sungguh pun sajak itu ditulis lama dulu, namun baris-baris puisi tersebut terasa seperti baru dikarangnya semalam. Dia tidak tahu sama ada rakan-rakan main perang di sungai masih lagi hidup, atau pun tidak. Entahkan Mislan, Meri, Yun dan Wok juga sepertinya - sering 'berperang dengan nafsu, emosi dan harga diri'.

Ah, betapa seronoknya menebang dan menukang meriam buluh betung, moreh, dan bertadarus di surau di sepanjang bulan Ramadan.

Tapi dia dan teman-teman harus berhati-hati, kerana nenek selalu mengomel.

"Hoi, ape ditunu mulut meroyam tu? Nak pongah muke ke? Esok hari raye, kome terperap di hospita!" sergah nenek.

Dan di pagi Syawal, sebaik selesai solat sunat Aidilfitri, dia dan kawan-kawan berbasikal ke rumah tok imam, menuntut duit raya. Saban tahun duit raya tok imam lumayan. Tapi dia meletakkan syarat terlebih awal.

"Rajin-rajin terawih, kalau kome nak duit raye…"

Tapi bukankah semua itu sudah tidak ada lagi!

Destinasi semakin menghampir. Ikon kapal terbang yang bergerak secara automatik di skrin tv kecil depannya tentulah tidak berbohong. Pesawat kini sudah melewati Laut Andaman, dan baru saja meninggalkan sempadan Thailand - Malaysia. Benua Eropah semakin kelam dalam ingatannya. Tapi dia percaya Rotterdam yang baru sebelas jam diucapkannya selamat tinggal pasti akrab selamanya dalam ingatan.

Memajamkan mata

Setiap dia cuba memejamkan mata ada-ada saja maklumat yang ingin disampaikan oleh kapten. Dua jam lalu, ketika menempuh ruang udara benua kecil India, badan pesawat bergegar, apabila bertembung dengan angin yang kencang. Dan kepten mengganggu konsentrasinya untuk cuba melenakan mata.

"Tuan-tuan dan puan-puan, kita sedang berada dalam keadaan cuaca yang kurang baik, dan tidak menentu. Sila kembali ke tempat duduk, dan pasangkan tali pinggang keledar."

Mujurlah anak muda peramah di sebelahnya juga tidak tidur di sepanjang penerbangan. Hanya isteri dan dua orang anaknya yang nampak keletihan. Katanya dia seorang guru, dan baru saja menyelesaikan tesis sarjana di sebuah kota di United Kingdom. Menurut anak muda lagi, dua tahun bergelumang dengan musim sejuk sudah cukup menyiksakan.

"Lama ke pakcik tinggal di Belanda?"

Dia tidak pasti apa yang menyebabkan anak muda mentaakulkan sebegitu. Mungkin disebabkan dia terpandangkan dua buah beg besar yang kuheret di kaunter check-in di Schipol? Dia mengagak. Menurut anak muda yang berhemah ini, dia hanya transit di Schipol. Dia sekeluarga memulakan perjalanan dari Heathrow. Mereka mengambil keputusan berhari raya di kampung. Oleh kerana agak terlewat membuat keputusan itu, akibatnya mereka hampir-hampir gagal mendapatkan tiket penerbangan pulang ke tanah air. Maklum tempahan di musim perayaan tersangat tinggi.

"30 tahun," dia menjawab pendek. Dahi anak muda kelihatan berkerut. Isterinya perlahan-lahan menjongolkan muka dari dalam selimut. Dia menduga pasti akan ada lagi reaksi dari anak muda.

"Lamanya..."

"Sudah takdir, apa nak buat."

Dia tidak mampu memberikan jawapan lain, bila saja hal itu berbangkit. Harapannya agar tidak ada soalan susulan, ternyata meleset.

"Famili…?"

"Ada…tapi sekarang dah tak ada lagi…"

"Oh, maafkan saya pak cik."

"Maksud pak cik, kami berpisah."

"Oo…"

Dia tidak dapat mengagak adakah "O" anak muda bermaksud apologetik, atau hanya sebagai penyengkang bicara sahaja. Setelah menjawab soalan anak muda, dia membiarkan kesepian bermaharaja lela semula di dalam dirinya seketika. Tak lama, dia menanyakan kepada anak muda.

"Masih ada orang tua?"

"Semua dah tak ada. Semasa saya sekolah lagi. Saya dibesarkan oleh nenek. Dah tak ada siapa di kampung. Lagi pun saya anak tunggal. Yang tinggal hanya rumah pesaka usang."

"O…"

Dia tidak tahu kenapa harus menyebut huruf saksi itu.

Tapi, kalau tak ada keluarga lagi, apakah yang dicari anak muda di kampung?

Kini dia pula yang diganggu oleh andaian yang memerlukan pewarasan.

'Err, tak ada sesiapa lagi?"

"Ya, cuma semangat desa itu sendiri pak cik. Saya dibesarkan dengan air sumur dan air sungai. Saya nak melawati pohon-pohon getah yang saya toreh semasa kecil. Semuanya berperanan mendewasakan saya, pak cik, termasuk pucuk paku, maman, dan umbut bayas."

"Elok benar tu…"

Anak muda menambah. "Isteri saya lulusan pertanian. Tapi fikir punya fikir, dia memilih untuk menjadi suri rumah saja. Kami bercadang nak memulihkan kebun getah peninggalan orang tua. Lagi pun getah ada harga sekarang."

Dia dapat membayangkan betapa anak-anak keluarga muda ini bakal membesar sebagai manusia yang cintakan ibu pertiwi.

Bila saja anak muda menyebut kebun getah, kenangan ketika dia menoreh di hujung kampung menjelma di ruang matanya dengan pantas. Di manakah Ana, yang selalu ditemui di tempat memesin getah? Tentulah dia sudah beranak-cucu, duganya. Atau masihkah dia menjadi pengungsi dunia yang fana ini?

Dia masih dapat menggambarkan kesayuan Ana apabila mengetahui dia sering ke kampung di pinggir pekan.

"Dengar khabar kau selalu ke pekan. Aku tahu, kau sayangkan orang lain," serak suara Ana ketara benar di pagi itu.

"Aku tak kata gitu."

"Tak kata bukan maknanya tak ia…lagipun dia pintar, lebih padan dengan kau. Aku…"

"Tapi Ana, kan nama-nama kita sudah terpahat di banir nering di dusun Pak Agon?"

"Pohon nering tu tak akan bertahan selamanya. Percayalah…"

Apa yang diucapkannya kepada anak muda - "Ada, tapi sekarang dah tak ada lagi" memang suatu kenyataan. Mulanya dia hanya ingin menemani ibu Laila melanjutkan pelajaran; dari satu tingkat ke satu tingkat yang lebih tinggi. Kemudian mereka mencuba untuk bekerja di perantauan. Jangkanya hanya buat mencari pengalaman. Tapi akhirnya mereka terus menetap di luar negara saja. Lagi pun anak-anak sudah mula membesar, serta mendapat pendidikan di sana. Tapi mulai saat ibu Laila memberitahunya yang dia sudah jatuh cinta dengan lelaki lain, dan minta dilepaskan, keinginannya untuk pulang ke kampung bertambah kuat setiap tahun.

Kedua-dua orang anaknya bertindak membawa diri masing-masing. Yang perempuan menyambung pelajaran di Jordan, dan yang lelaki memilih bekerja di Afrika Selatan. Biarlah mereka menjadi warga dunia. Kemanusiaanlah yang akan mendewasakan mereka, fikirnya.

Memang benar kata-kata Ana. Ibu Laila cantik dan pintar. Namun sekarang dia sedar semua itu belum tentu dapat menjana kebahagiaan hidup berkeluarga. Cuma dia kasihankan Laila, dan abangnya yang merajuk.

Ah biarlah, kalian sudah dewasa. Abah harap kalian menjadi warga dunia yang bertaqwa. Dia menyerahkan agar semuanya disimpulkan oleh benang takdir.

Saat tayar pesawat berciut mencium bumi ibu pertiwi, dia berasa dadanya sebak. Sama seperti yang pernah dirasakannya semasa membuat pilihan antara Ana dan ibu Laila. Di lapangan terbang yang ternyata lebih gah dari apa yang pernah disaksikannya di Eropah, takbir Hari Raya dari peti-peti tv menguasai suasana. Dia terasa matanya basah. Lebih-lebih lagi kini dia hanya pulang seorang diri, tanpa isteri dan anak-anak. Cepat-cepat dia ke kaunter menyewa kereta pandu sendiri. Ada tiga jam perjalanan lagi sebelum sampai ke kampung tercinta. Tapi dia tahu di pagi Syawal lebuh raya pasti lengang.

Sebaik memasuki kereta, dia menyedari ada mesej masuk di telefon bimbit. Dia tersenyum melihat pesanan ringkas itu. Dia tahu hati abang Laila akan terubat juga akhirnya.

"Assalamualaikum abah. Saya nak mohon ampun dan maaf di pagi Syawal ni. Sekarang baru jam lima subuh di sini. Pagi nanti saya nak jemput adik Laila. Dia nak raya di Jo'berg. Ada dia telefon abah tak? Mama telefon, dia kata nak raya di Rotterdam. Suatu masa nanti nak ikut abah balik kampung. OK tak?"

Ya, masa akan menyembuhkan semua luka!

Matahari sudah agak tinggi ketika dia sampai di tanah perkuburan. Di situ kedua-dua orang tua dan neneknya disemadikan. Walaupun masih ramai orang di situ, tetapi tidak ada seorang pun yang dikenalinya. Sayup-sayup kedengaran takbir Hari Raya di tv dan radio dari rumah-rumah berhampiran perkuburan, diinjing semilir pagi yang jinak. Dia ingat dengan jelas kali terakhir mengiringi al-marhumah ibu ke situ. Dia mengabadikan pengalaman itu di sebuah sajak yang ditulisnya di diari.

Mengenang ibu

Ketika kuhantarmu, ibu

di rimbun teduh rembang

lembut semilir bukit menjinjing

salam malaikat berangkat

tak betah riak sungai bangkung kita, ibu

menggetar mengulit lampias

cahaya putih

menanti di limun pagi

aku tetap merindu

marah-marah dan jerkah-jerkahmu

ketika kautuangkan

tamsil kesabaran ke dalam naluriku

potret kecil di tangga sekolah

tak puas kutitip buah rindu

di perkarangan senyumanmu

tidurlah sementara, ibu

edan dalam syahdu

dan rimbun doaku,

anakmu.

Dia amat menyayangi ibu, dan sajak itu.

Selesai membacakan Yaa Siin dan berdoa di ketiga-tiga kuburan, dia melangkah meninggalkan tanah perkuburan. Wajah seorang wanita di sisi sebuah kubur menangkap pandangannnya. Dia merasakan wanita bertudung biru gelap yang ditemani oleh sepasang remaja sangat dikenalinya. Walaupun bertudung, dia masih kenal kening, hidung dan sepasang bibir yang nipis milik wanita itu. Adakah nama pemilik wajah itu yang pernah dipahatnya di pohon nering dusun Pak Agon?

Dia memberanikan diri menyapa wanita itu.

"Ana…Ana ke?"

Wanita itu tidak menyahut pertanyaannya, tetapi dengan selamba merenung tepat ke mukanya. Dan dia membiarkan sepasang remaja beredar meninggalkan kawasan perkuburan.

"Kau tak kenal aku lagi…" dia tercenung.

"Masakan aku lupa…bukankah kau yang memahat namaku di pohon nering?"

Ya memang tepat sekali, wanita yang sedang terdiri di depannya ialah Ana. Ana masih hidup rupanya!

"Anak-anak…?" Dia mengacukan pandangan ke arah sepasang remaja yang sudah sampai ke pintu besar tanah perkuburan. Dia cuba mengalih perbualan. Ana menggeleng-gelengkan kepalanya.

"Anak-anak saudara…anak kakak…ini kubur ibu bapa mereka. Kemalangan jalanraya, dah lama. Aku membesarkan anak-anak mereka."

Dia tidak tahu bagaimana harus memberikan reaksi terhadap apa yang baru didengarinya dari Ana. Sesungguhnya dia benar-benar tidak tahu apa-apa lagi tentang Ana. Pertanyaan Ana selanjutnya membuatkannya tergumam semula.

"Kau mencari apa di sini?"

Fikirannya gelap. Dia tidak tahu bagaimana soalan itu harus ditangani. Memang benar apa yang diucapkan oleh Ana. Adakah lagi sesuatu yang tersisa di kampung ini buatnya?

"Ana tinggal di mana sekarang?" Dia sungguh-sungguh ingin tahu.

"Masih di kampung ini."

Ana mula meninggalkan perkuburan, dan dia mengekori Ana beberapa langkah di belakang. Sebaik tiba di pintu besar, Ana menoleh ke arahnya semula. Dia tidak tahu sama ada Ana tersenyum kepadanya atau pun tidak, kerana di benaknya ada jeritan yang kuat:

Ana, aku akan tinggal di kampung ini selamanya!

Di saat itu juga ada isyarat mesej masuk di telefon bimbit. Dia segera mengeluarkannya dari kocek seluar. Sungguh pun ringkas, dia memahami maksud Laila.

"Selamat Hari Raya. Maaf zahir batin. Laila sayang abah macam dulu."

Sekali lagi matanya terasa basah. Di pagi Syawal yang syahdu, dia tidak lagi dapat menahan airmatanya daripada mengalir ke lurah pipinya.

0 comments: