Malang Abdullah!

oleh : Ahmad Lutfi Othman
Ihsan harakahdaily


Petang Selasa 7 Oktober, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi belum membuat keputusan untuk mempertahankan jawatan Presiden Umno dalam pemilihan parti itu yang dianjak kepada Mac tahun depan, namun ketika akhbar ini berada di pasaran, teka-teki itu telahpun terjawab.

Iklan

Abdullah tentu tidak pernah menduga kerjaya politiknya bakal berakhir secara cukup tragis, sepertimana beliau tidak termimpi dilantik ke jawatan no. 1 itu, lima tahun lalu.

Mungkin ada pihak melihat banyak "kebetulan" menyebelahi Abdullah selama ini, namun ahli politik pastinya tidak boleh mengharapkan hanya kepada rantaian "kebetulan" dan "nasib baik".

ImagePelantikannya dulu disambut penuh harapan. Majoriti rakyat, terutama orang Melayu, agak terubat dengan janji-janji Abdullah, selepas mereka melalui zaman pahit era Dr Mahathir Mohamad. Abdullah menyuntik keyakinan bahawa Malaysia bukan lagi milik seorang pemimpin, tetapi boleh dikongsi bersama puluhan juta rakyatnya.

Ramai teman-teman mengimpikan agar Abdullah dapat memulangkan kembali negara kepada kita semua. Biar rakyat, sekurang-kurangnya, dapat berimiginasi bagaimana Malaysia harus dikendalikan bersama.

Walaupun mengakui personaliti Perdana Menteri baru tidak sehebat penyandang sebelumnya - dan itulah "kelebihan" Abdullah - saya sendiri mengharapkan institusi-institusi penting seperti Parlimen, Suruhanjaya Pilihan Raya, Badan Pencegah Rasuah dapat diperkukuh dan dimantapkan.

ImageKetika itu langsung tidak terbayang akan terasas pelbagai fenomena jelik, seperti dakwaan "kerajaan tiga beranak", yang memusnahkan terus impian untuk melihat Malaysia ditadbir secara lebih kolektif dan demokratik. Abdullah cuba membina legasi tersendiri dengan mengusahakan beberapa perubahan positif, selain memperkenalkan konsep Islam Hadhari.

Saya cuba melihat sisi positif dalam usaha pembaharuan Abdullah itu walaupun banyak bayangan hitam menyelubunginya.

Niat Abdullah mungkin luhur, namun beliau tidak mempunyai kekuatan tekad politik yang kental. Memang tidak mudah melakukan reformasi jika tidak didokong anggota kerajaan dan ahli parti, apatah lagi sosok Abdullah tidak menjelmakan aura seorang pemimpin karismatik, malah mudah tunduk dengan kehendak keluarga dan pasukan penasihatnya.

Ya, Abdullah nampak mudah didekati, jauh lebih mesra berbanding Mahathir, namun pemimpin yang mahu menerajui perubahan perlu perwatakan lebih sofistikated, sekurang-kurangnya meneladani salah satu sifat Nabi, kebijaksanaan.

ImageAbdullah memang mensesiakan peluang dan kesempatan. Mandat rakyat pada 2004 (terbesar sepanjang sejarah Perikatan-BN menyertai pilihan raya) mungkin menjadikannya alpa dan lupa diri. Lebih daripada itu, sudah dapat dikesan bahawa sejak hari pertama menjadi PM, Abdullah sememangnya menanggung beban yang tidak terdaya dipikulnya. Saya boleh bersetuju dengan pandangan bahawa ciri-ciri seorang perdana menteri yang berkesan tidak ada pada dirinya.

Lalu timbul persoalan, apakah Dr Mahathir tidak menyedari kelemahan ketara yang paling asas itu - keupayaan kepimpinan?

Tentulah tidak adil untuk memperlekehkan apa saja usaha Abdullah seolah-olah beliau langsung tidak menyumbang apa-apa buat negara tercinta ini. Tekadnya memang ada, keazamannya terserlah, niatnya tidak perlu dipertikai, nampak bibit-bibit positif dari usaha reform beliau.

Sayang, ramuannya belum cukup untuk Abdullah berdiri tegak berdepan cabaran badai-taufan, melalui simpang-perenang yang mengelirukan, apatah lagi menawarkan formula terbaik untuk Malaysia keluar daripada lingkaran masalah dan konflik berpanjangan.

Jika Abdullah sebelum ini dilihat sering "bernasib baik", malangnya ketika di penghujung, beliau bagai keseorangan melalui terowong gelap.

Pelan peralihan kuasa 2010 ditolak mentah-mentah. Usaha pemulihan parti serba tidak menjadi. Rakan-rakan dalam BN menikam dari belakang. Teman baik sesama Umno pun tidak menghormatinya lagi. Benar, bila kelapa tumbang, kura-kura pun boleh memanjatnya.

Abdullah bakal pergi. Bagaimana pula penggantinya? Najib Razak, Tengku Razaleigh Hamzah, Muhyiddin Yassin, atau pimpinan Pakatan Rakyat sudah bersedia menyambut amanah besar ini?

Mungkinkah Umno-BN dapat dipulihkan dengan kepimpinan baru nanti, atau lebih bercempera? Seperti Abdullah yang tidak lagi "bernasib baik", saya juga risau jika Pakatan Rakyat terus mengimpikan "kebetulan" dan "nasib baik" menyebelahi mereka.

______________________

(Abdullah mengumumkan keputusannya untuk tidak mempertahankan jawatan presiden Umno dalam pemilihan parti itu Mac depan petang semalam (8 Oktober 2008).Beliau juga akan melepaskan jawatan perdana menteri dan menyerahkan kuasa kepada timbalannya pada bulan Mac apabila Dato' Seri Najib Razak dipilih sebagai presiden baru parti itu.)

0 comments: