Filem Budak Kelantan 'berkiblatkan' Amerika?

Fahri Abdullah al-Masri
Ihsan: harakahdaily.com

Obama menang. Dan ramai yang mengharapkan perubahan dunia akan terjadi. Sama ada Obama sanggup melakukannya, hal itu masih menjadi tandatanya. Kaum Maya purba mengirim isyarat sejak sekian lama. Pada 2012, akan wujud permulaan era baru.

Apa pun, orang semacam Rizal tak pernah gusar perkara itu. Sebagai orang muda, hidup ini bermakna meneruskan kehidupan seadanya. Bernikah dan bekerja. Dan, kemudiannya meneruskan hidup berumahtangga. Itu sahaja.

Amerika? Jahat sangatkah USA ini? Kalau tidak kenapa rakyat kita masih setia berkiblat kepada jenama Amerika, minuman Coca Cola dan segalanya yang bercitra Amerika?

Amerika.. Amerika.. Amerika.. Ah! Tiba-tiba dia teringatkan filem Budak Kelantan yang sedang ditayangkan di pawagam kini. Kerap diulang dialog Amerika itu. Apa sebenarnya yang berlaku dalam filem itu? Ada apa hubungan antara Kelantan dan Amerika itu?

Teringatkan Kelantan, maka Rizal teringat niatnya mahu membeli Dinar Emas Kelantan seberat 4.25g hari ini. Maka, di kedai pajak gadai Ar-Rahnu di Jalan Raja Laut, itulah dia sempat membeli sekeping Dinar Emas untuk simpanan dan pelaburan.

"Harga emas naik lagi. Jangan-jangan esok harga emas naik lagi ni. Mungkin ada kaitan dengan pilihan raya Amerika," kata kerani di kaunter itu. Mata Rizal terkebil-kebil lagi. Laa.. Amerika lagi. Perang antara Mc Cain dan Obama pun ada kaitan dengan emas?

Tambat RM3.30 kepada setiap 1 dollar Amerika!
Apa pun, dia bersyukur lantaran Mc Cain yang wajahnya seiras dengan Najib Tun Razak itu tidak menang. Dia tinggal berharap Najib juga tidak menjadi PM nanti. Apabila Dr M syor agar nilai matawang ringgit sebanyak RM3.30 diikat pada setiap 1 dollar Amerika, Najib enggan. Hal itu yang Rizal dengar dalam suatu kenyataan Najib.

Dulu pun, bunga-bunga pertikaian antara Tun Dr Mahathir dengan Abdullah pun bermula apabila bekas PM itu menasihatkan Abdullah untuk segera menyemak semula matawang kita yang terumbang-ambing dilambung pasaran matawang.

Abdullah kekal dengan tradisi pekak badaknya. Manakala Najib, dengan bodohnya telah berkata, hal kedudukan nilai paras matawang ringgit itu biarlah ia ditentukan sendiri oleh pasaran. Entahlah kalau-kalau sekarang Najib sudah berubah pendirian semula.

Padahal, idea menyelamatkan ekonomi negara itu dipandang hormat oleh kalangan warga ekonomi sejagat. Pada Rizal, buruk-buruk dan busuk-busuk nama Dr Mahathir dalam hal demokrasi, fitnah dan sebagainya tetapi kita mesti bersikap adil juga kepada beliau dalam beberapa hal. Inilah antara pegangannya.

Matawang tidak seperti emas. Ia sentiasa naik. Pada 4 November, 1 Dinar Emas Kelantan dengan berat 4.25g bernilai kira-kira RM375.00. Pada 5 November, nilainya dengan berat yang sama telah melonjak dengan pantas sehingga mencecah ke paras RM390.60.

Barangkali pada dua atau tiga bulan sudah, memang matawang kita berada kekal di paras RM3.30. Kemudian, Rizal lihat, ia sudah meningkat sekitar RM3.40 bulan lalu. Perlahan-lahan ia naik sekitar RM3.45. Kali terakhir.. minggu ini nilai itu melonjak RM3.50. Nilai ringgit kita pernah ditambat pada RM3.80. Itulah nilai yang paling tinggi.

Ya Allah..lama betul dia tercongok di pejabat itu. Selesai urusannya membeli dinar emas, maka dia pun langsung ke pawagam TGV di KLCC. Rizal mahu lihat, apa kejadahnya itu sehinggakan nama Amerika kerap diulang sebut oleh budak-budak Kelantan?

Amerika milik Red Indian!
Ya, Amerika memang jahat. Hampir setiap malam Jumaat, Rizal akan tonton siaran Retro The High Chaparral, walaupun dia benci kesombongan kaum kulit putih yang menjajah negara milik kaum Red Indian itu. Itu sejarah asalnya, negara itu milik Red Indian.

Bertambahlah sakit hati Rizal tatkala menonton keangkuhan John Cannon di mana wajah itu seiras Mc Cain (calon Republikan, seteru Obama) yang seiras Najib. Tetapi, kesakitan itu telah kebah; dirawat oleh kejelitaan Victoria Montoya Cannon (Linda Cristal).

"Mujur Victoria cun macam Salma Hayek, tengok pi la.." itu zikir yang kerap diwiridnya dalam hati, saban malam Jumaat pada 12:30 pagi selepas tamat Deadline di TV2.

Sedar tidak sedar, dia sudah tiba ke tempat tujuannya. Kali ini, Rizal nak melihat sendiri, apa sebabnya kalimat Amerika.. Amerika.. Amerika.. itu kerap diulang-ulang.

Dia terfikir juga kata-kata pegawai HEP dan Aspirasi di kampus.."Tengoklah, baik sangat ke hangpa yang dok kata nak perjuangkan Islam tu?" Rizal menahan nafasnya. Dia mahu tonton sendiri segala aksi. Budaya Amerika hari ini dicorakkan oleh orang putih.

Jadi, anak-anak muda terkeliru dan mudah terpengaruh. Mereka harus meneliti perbezaan politik yang dimajukan oleh novel Little Lord Fauntleroy karya Frances Hodgson Burnett itu. Lihat bagaimana si kecil Lord Fauntleroy dalam usia mudanya sudah mampu hadam faham perbezaan politik antara Republikan dan Demokrat.

Itu yang Rizal baca dahulu ketika teks itu menjadi bacaan wajib di Matrikulasi USM. Dia mula tahu sedikit sebanyak faham-faham budaya popular melalui kursus-kursus universiti itu. Tapi, anak muda hari ini pakai ambil semua produk budaya dari tv dan bukan melalui teks-teks novel, buku-buku falsafah. Mungkinkah hal itu antara sebab mereka lemah?

Filem itu, menurut Rizal memang menghancurkan nama baik Kelantan. Tapi, terlalu awal juga mahu membuat kesimpulan dan menyusun rumusannya. Ada dua watak di sini. Jaha yang jahat kerana segala kejahatannya berkiblatkan Amerika dan Buchek yang baik.

Buchek masih melihat ada ruang untuk membawa Jaha ke jalan yang lurus walaupun dia sendiri telah melihat garis kehidupan Jaha. Apakah yang tak dilakukan Jaha? Paling sukar diterima Buchek ialah sikap Jaha yang memikat wanita untuk dirosakkan mereka. Setelah itu, wanita muda itu akan Jaha jual kepada bapa dan ibu ayam.

Akhirnya, Jaha jatuh cinta terhadap Che Nor iaitu teman wanita Buchek. Buchek tahu hal itu pun ketika dia membaca surat Jaha kepada dirinya. Mungkin ada terpancar keikhlasan dalam surat itu, maka Buchek dengan rela melepaskan teman wanitanya kepada Jaha.

Dia berbuat begitu dengan harapan Jaha berubah, kerana dia percaya bahawa cinta boleh mengubah kehidupan manusia. Sebagai dijangka, Che Nor enggan memenuhi permintaan Buchek kerana hatinya hanya untuk Buchek.

Jaha akhirnya maut di dalam kecelakaan sebelum sempat bertaubat. Buchek menyalahkan Che Nor kerana menolak cinta Jaha yang suci. Buchek meninggalkan Che Nor dan beliau menyambut cinta Chen Chen, gadis Cina yang berjaya diselamatkannya daripada menjadi mangsa nafsu buas Jaha dahulu. Cerita pun tamat!

"Aduh! Kenapa Buchek boleh yakin Jaha boleh berubah dengan sebab cinta?" hati Rizal bersarang dengan kegeraman ketika kakinya melangkah keluar pawagam.

Dia terkenang debu-debu mayat Altantuya yang diterbangkan angin malam tatkala wanita itu meronta-ronta, merayu-rayu agar dirinya dilepaskan. Jika nak bertaubat apakah perlu wanita? Jadi, jika tanpa wanita, lelaki tak boleh menemui jalan pulang kepada Allah?

Tiba-tiba dia jadi geram kepada orang-orang baik pula. Dan, bukannya dia geram kepada orang jahat. Banyak kaum lelaki yang sudah menikah, isterinya bukan menjadi penyebab kepadanya untuk bertaubat pun.

Malahan, kaum lelaki menjadi curang kepada isteri apabila sudah ada wanita lain. Hukum agama juga tak mengizinkan wanita dinikahkan kepada lelaki jahat kerana risaukan kaum wanita itu akan dirosakkan lalu dijadikan pelacur.

Pada Rizal, Buchek memang soleh dan warak, tapi caranya bertindak tidak tepat. Bukan Buchek tidak tahu dan tidak nampak bagaimana Jaha memperlakukan wanita-wanita itu. Dia tahu hal itu. Tetapi, kenapa dia buat tindakan silap?

Antara kejahatan penjahat dan kebodohan orang baik, mana lebih rugi?
Inilah yang Rizal bimbangkan sekarang. Kadang-kadang, dia tidak risau kejahatan orang jahat. Memang si jahat akan jahat sehingga dia diberi kesedaran olehNya untuk bertaubat. Tapi, yang paling Rizal risau ialah sikap ahmak orang-orang baik ini yang menyebabkan ada orang yang tidak bersalah menjadi mangsa lalu teraniaya.

Rakyat Amerika itu sekurang-kurangnya telah membuat keputusan bijak dengan memilih Obama apabila menjatuhkan Mc Cain; kembar seiras dengan Najib dan semoga perlahan-lahan, kaum wanita tidak lagi menjadi mangsa seperti Altantuya, demikian impian serta harapan segala penduduk di dunia.

5:01 a.m, 6 November
Sekolah Pemikiran Kg Baru
_

0 comments: