Satu Hari di Multaqa Sufi

on Selasa 23 Sep 2008

Hari itu, aku mengikut perhimpunan sufi yang diadakan di Hadramaut. Ada ahli sufi yang datang terbang, ada yang berjalan di atas air, ada yang tiba-tiba ada di hadapan mata, ada yang naik kereta, tidak kurang yang naik kapal terbang, malah ada yang naik helikopter peribadi. Watak dan karakter mereka, semuanya berbeza. Masih ada yang mengenakan pakaian bulu yang kasar, ada yang memakai jubah dan serban yang besar, berkopiah tajam, ada yang berjanggut panjang, yang tidak berjanggut semacam aku pun ada, malah ada yang berkot dan memakai tali leher.

Hari itu sangat menyeronokkan. Ma’ruf al-Karkhi turut hadir membentangkan kertas kerja berkaitan konsep Dzuq dan Fana’. Siapa yang tidak gembira dapat bertemu dengan seorang ahli sufi sesoleh beliau. Rabia’ah al-Adawiyah turut membentangkan kertas kerja berkaitan ke arah membentuk golongan sufi wanita dalam memartabatkan maruah wanita yang kian tercemar. Beliau bukan sahaja akan mengupas soal keruntuhan tamadun terdahulu apabila meminggirkan wanita, malah beliau akan mengemukakan hasil kajian dan analisis terbaru beliau terhadap emansipasi wanita di negara-negara Eropah. Ia pastinya sangat menarik.

Aku juga menantikan pembentangan daripada al-Ghazali berkaitan menghidupkan hati yang sudah lama kekeringan dengan rasa takut dan cintakan Allah. Masing-masing kalangan mereka membentangkan kertas kerja sesuai dengan kekuatan masing-masing. Rasanya aku kerdil sekali. Apatah melihat Abu Yazid al-Bustami dan Tok Kenali yang tidak memakai selipar kerana tenggelam dalam keasyikan cinta kepada Allah, aku semakin kerdil. Wajah Zun Nun al-Misri sangat bersih dan bercahaya membuatkan aku jatuh cinta menatap wajahnya. Ya, hasil simbahan iman kepada Allah, dan ruku’ serta sujud yang tidak henti-henti.

Sang pujangga tersohor Abdullah bin al-Mubarak juga datang bersama sahabat akrabnya Fudhail bin ‘Iyad. Aku juga sangat seronok melihat Hassan al-Banna dan Umar al-Telmisani juga datang dalam perbincangan kali ini. Ternyata perhimpunan dan multaqa’ sufi kali ini dihadiri oleh orang-orang yang hebat dari seluruh dunia. Malah paling menggembirakan aku apabila bertemu dengan moyang aku Tok Pulai Chondong. Beliau yang terkenal dengan kependekaran itu sangat tegap badannya. Aku memeluknya erat seraya mencium tangan dan pipinya berkali-kali. Dia memeluk aku semacam aku anak kecil yang rindukan belaiannya. “Tok, saya rindukan atuk,” luah aku keanak-anakan.

Aku sangat tertarik mendengar penghuraian konsep mahabbatuLlah yang disebut oleh guru sufi, Junaid al-Baghdadi. Hassan al-Basri yang sentiasa berwajah pucat kerana takutkan Allah menangis tidak henti-henti. Air mata mengalir dari semua kolam mata mereka. Aku lihat dengan jelas sekali garisan putih di bawah pipi Ibrahim al-Nakhaei kerana terlalu banyak menangis dek takut dan rindukan Allah.

“Hamba yang cinta kepada Allah adalah hamba yang menyahkan hawa nafsunya, tidak putus-putus berzikir kepada Tuhannya, mendirikan hak-hak Allah, melihat Allah dengan mata hati. Sekiranya ia berbicara, ia berbicara dengan Tuhannya. Sekiranya ia bercakap, ia bercakap tentang Allah. Sekiranya ia bergerak, ia bergerak atas perintah daripada Allah dan sekiranya ia senyap, ia bersama-sama Allah. Ia di sisi Allah, untuk Allah, dan bersama Allah,” kupas al-Baghdadi sambil menundukkan mukanya dan menangis teresak-esak. Aku turut sebak bila mengingatkan diriku yang jauh daripada Allah. Seketika, suasana bising dengan bunyi esakan. Al-Baghdadi berhenti daripada berbicara. Beliau kelihatan sungguh-sungguh menangis.

Laa ilaha illaLlah, Laa ilaha illaLlah, Laa ilaha illaLlah…

‑­
Abdullah bin al-Mubarak juga membentangkan kertas kerja Peranan Sufi Dalam Membebaskan Dunia Islam Daripada Cengkaman Barat. Beliau yang terkenal dengan syair terhadap Fudhail bin ‘Iyad menggariskan beberapa perkara penting yang harus diperkasakan antaranya menanamkan semula semangat jihad kalangan umat Islam. Beliau turut memberikan pujian sekadarnya kepada Hassan al-Banna yang berjaya menubuhkan gerakan Islam yang berjaya menggerunkan pihak Barat dan Yahudi. Dalam sesi soal jawab, Sheikh Ahmad Deedat memperingatkan peri pentingnya ahli audi memahami skill berdakwah dalam menarik golongan yang anti Islam termasuklah golongan Liberalis dan Orientalis.

Dalam pertemuan itu, aku mengambil kesempatan bertemu dengan sufi wanita Rabi’ah al-Adawiyah. Ketika itu beliau sedang berbincang dengan Malik bin Dinar berkenaan dengan ajaran sufi yang semakin disesatkan dengan pemikiran yang dangkal. Malik bin Anas mencelah di tengah-tengah dengan menyebut, Barangsiapa yang mempelajari syariah tetapi tidak belajar hakikat, maka ia fasiq. Barangsiapa yang sebaliknya adalah zindiq. Aku meminta Rabi’ah masa hanya lima minit untuk bertanyakan pandangan dia tentang mahabbatuLlah.

Ringkas sahaja beliau menjawab, “Beramallah kerana Allah, bukan kerana syurga dan neraka. Wahai anakku, jika engkau melihat aku sedang berbicara dengan engkau sekarang, maka ketahuilah bahawa hati sedang gering dalam merindui Allah sang Pencipta. Hanya jasadku berbicara denganmu sedangkan hati aku melayang ke langit sana bertemu sang Kekasih,” dan aku terkesima mendengar nasihatnya yang cukup tajam.

Ibn ‘Ataillah juga diberi penghormatan untuk mendiskusikan karyanya al-Hikam. Aku sangat terkesan apabila beliau menyebut, kita bersyukur kepada Allah kerana telah melindungi aib kita daripada diketahui orang ramai. Jika Allah tidak menutup aib kita, pasti orang tidak akan respect dengan kita. Maka apabila ada orang memuji kita, maka kita kembalikan pujian itu kepada Allah yang tidak mendedahkan kelemahan-kelemahan kita. Mendengar sahaja kupasan yang sangat mendalam itu, Zun Nun al-Misri dan Abu Yazib al-Bustami terus pengsan. Suara tangisan semakin membingitkan suasana. Aku turut menangis melihat suasana begitu. Hati mereka sangat bersih dan mudah sekali tersentuh. Ia berbeza sama sekali dengan hati aku yang berkarat dan hitam dengan kotoran dosa yang sukar dibersihkan.

“Tuan Guru, bagaimana ana mesti membersihkan diri ana?” tanya ana kepada Sufyan al-Thauri. Beliau menundukkan wajahnya sambil menangis seraya berkata, “Wahai anakku, lebih baik engkau bertemu dengan Yahya bin Ma’in kerana ia lebih baik berbanding aku. Bagaimana orang yang berkarat hati ingin membersihkan hati orang lain, bukankah ini yang disebut oleh Ramadhan al-Buti?” aku sekali lagi terpegun dan tertegun. Sampai begitu sekali tawadhu’nya mahaguru sufi yang tersohor itu. Ya, siapa yang tidak kenal al-Thauri yang faqih lagi zahid. Aku teringat Sa’id Hawwa menjelaskan, jadilah orang faqih yang zahid, bukan orang zahid yang faqih.

Tiba-tiba majlis gempar. Rupanya Abdullah bin Mas’ud RA sahabat nabi yang besar dijemput sama dalam majlis ini untuk memberikan ucapan perasmian. Beliau ditemani mahaguru besar kami Sheikh Abdul Qadir Jailani. Beliau membacakan beberapa ayat al-Quran yang menyentuh tentang kenikmatan syurga dan kedahsyatan neraka. Suaranya merdu sekali. Sekali lagi, suasana jadi khali, dan hati menjadi khalis.

Laa ilaha illaLlah, Laa ilaha illaLlah, Laa ilaha illaLlah…

‑­
Kata Ibn Mas’ud RA, “Bila hati kamu tidak tenang, maka pergilah ke majlis para ulama. Jika hati tetap tidak tenang, maka bacalah al-Quran. Jika hati tetap tidak tenang, maka bangunlah di waktu malam untuk bermunajat. Namun jika hati tetap tidak tenang, maka berdoalah kepada Allah agar kamu diberikan hati yang lain,” ujar Ibn Mas’ud RA sambil merasmikan majlis pada hari ini.

Aku terus menangis dan menangis. Sudah lama aku kekeringan air mata. Aku berjaga malam untuk PRK tetapi aku tidak bertahajud. Aku kuat berjuang tetapi aku kurang membaca al-Quran. Aku banyak berceramah tetapi aku kurang berzikir. Aku kuat berjihad menegakkan Islam tetapi aku sendiri kontang dan kering dengan ilmu. Aku hanya pandai bercakap tetapi tidak berbuat. Aku banyak melakukan maksiat tetapi aku tidak bertaubat. Aku hanya pandai amar ma’ruf tetapi Subuh pun banyak yang aku lewat. Aku bercakap soal ikhlas tetapi riya’ dan ujub menguasai diri.

Dan aku terus menangis sebelum tiba-tiba sahaja semua ahli sufi menghilangkan diri.

Laa ilaha illaLlah, Laa ilaha illaLlah, Laa ilaha illaLlah…

0 comments: