Masjid

Oleh S.M. Zakir

“Perkara-perkara ghaib, misteri itu hanyalah hologram-hologram yang lahir daripada dunia bawah sedar manusia yang mengumpul pengalaman-pengalaman kekalahan mereka, baik dari sisi individu mahupun dari sisi masyarakat atau bangsanya. Mereka memerlukan keluarbiasaan ini bukan sahaja untuk mengangkat kembali keyakinan mereka tetapi juga eskapisme terhadap kekalahan mereka. Bangsa Melayu mempunyai banyak hologram ini oleh pengalaman kekalahan mereka yang kehilangan kuasa ekonomi, kemudian kuasa sosial, kemudian kehilangan budaya dan bahasa Melayu mereka dan akhir sekali kuasa politik hingga kedaulatan mereka terus sirna menjadi hologram- hologram dalam atmosfera halusinasi.” Dia menyentak perhatian hadirin terhadap filem terbaru hasil arahannya.

Falah bukanlah selalu datang ke masjid ini. Tetapi setiap minggu Falah akan berjumaat di masjid ini. Masjid ini tidak ada apa-apa yang istimewa kepada Falah. Seperti masjid-masjid yang lain, ia adalah tempat umat Islam menunaikan tanggungjawab mereka sebagai hamba kepada Al-Khalik. Sedikit sebanyak, Falah mempunyai juga sekulit bawang iman di dalam dadanya. Sekulit lembu lagi, adalah kebebalannya yang cuba-cuba menjadi bijak dengan menjadi pembikin filem bebas atau lebih jaguh rasanya jika disebut pembikin filem indie. Sebenarnya penglibatan Falah dalam dunia pembikin filem bebas ini kerana secara kebetulan Falah ada sedikit kemahiran daripada pengajiannya dalam suntingan filem di sebuah institut swasta di ibu kota yang tidak tamat pengajiannya. Lagipun, status pembikin filem indie itu kelihatan ekstravaganva pada masa sekarang.

Kembali kepada masjid tadi. Ya, masjid itu memang tidak ada apa-apa yang istimewa kepada Falah sebelum dia mengalami dua peristiwa. Peristiwa pertama, suatu hari Falah - sebelum itu rasanya harus diterangkan bahawa masjid ini ialah ialah pusat berjemaah para jemaah bukan sahaja dari seluruh negara tetapi juga dari pelbagai negara di dunia ini, maka masjid ini mempunyai pelbagai bangsa yang datang bertabligh dan beriktikaf - sebelum itu harus juga diketahui bahawa sudah berpuluh tahun masjid yang menjadi pusat para jemaah dari seluruh dunia ini terletak di tengah-tengah masyarakat Cina, tetapi hairannya tidak pernah ada sebarang perselisihan atau aduan daripada masyarakat bukan Islam terhadap kegiatan ribuan jemaah yang sering menyesakkan jalan, semuanya harmoni dan menjadi rutin yang biasa di kawasan ini - kembali kepada peristiwa pertama tadi, ya Falah bertemu seorang lelaki, jemaah dari masjid itu.

Falah suatu pagi lalu di kawasan masjid dengan kereta Proton Iswara keluaran tahun 1996nya. Siapa kata Proton tidak bagus, sudah lebih sepuluh tahun tetapi masih baik jalannya. Ini membuatkan Falah tidak ada alasan untuk menukar kereta Proton itu dengan kereta Mercedes. Ketika Falah berpusing perlahan itu, seorang lelaki berjubah dan berserban putih yang datang dari masjid itu kelihatan memandang-mandang dan tersenyum-senyum seperti ingin menumpang keretanya. Falah maklum, dan Falah merasakan dia tidak ada apa-apa kerja yang mendesak hari ini. Falah memperlahankan keretanya dan akhirnya berhenti apabila lelaki itu mengangkat tangan sambil tersenyum kepadanya.

Falah menumpangkan lelaki itu. Sebaik sahaja menutup pintu keretanya, lelaki berketurunan India Muslim itu bertanyakan namanya. “Falah,” jawab Falah pendek. Lelaki itu mengucap-ucap kata pujian apabila mendengar nama Falah. Lelaki itu menepuk-nepuk tangannya dan kemudian mengangkat tangannya dan berdoa panjang sambil menyebut nama Falah. Memohon Falah dimurahkan rezeki dan mendapat penghasilan yang baik dalam kerja yang dilakukannya. Falah diam mendengar, terdetik juga di hati Falah, bagaimana lelaki itu tahu kehendak di hatinya? Sememangnya Falah memikir-mikir sehingga melayang-layang kepalanya tentang bagaimana hendak mendapat sumber kewangan untuk menampung belanja dan melangsaikan hutang-hutangnya yang semakin menjadi hutan itu.

Lembut

Lelaki itu bercakap macam-macam dengan Falah. Falah tidak tahu mengapa hatinya cukup lembut pula pagi ini. Selalunya apabila Falah lalu di jalan dan melihat kelompok jemaah masjid dari luar negara ini, Falah akan memecut tanpa memandang, mengelak untuk menumpangkan sesiapa. Malah, jika ada kemalangan pun jarang Falah berhenti untuk melihat atau menolong. Tidak tahu entah kebebalan apa yang menutup hatinya sehingga kering sekali perasaan kasihan di hati Falah. Tetapi hari ini entah bagaimana lembut sekali hati Falah, bukan sahaja menumpangkan tetapi dengan rela hati menghantar lelaki ini ke destinasi yang dimahukannya. Falah malah menjadi seperti pemandu teksi mengikut kehendak lelaki ini agar menghantarnya ke destinasi yang melencong jauh dari arah tujuan perjalanan Falah.

Tetapi Falah tidak merasa apa-apa keberatan. Malah senang hati menghantar lelaki ini. Setelah tiba di tempatnya, lelaki itu dengan lembut pula meminta Falah sedikit wang untuknya makan dan minum pagi. Falah nampak dua ringgit di ruang hand break keretanya. Lelaki itu perasan kerlingan Falah dan lantas meminta Falah sepuluh ringgit. Falah hanya ada dua ringgit di keretanya dan lima puluh ringgit dalam dompetnya. Falah teragak-agak juga. Tetapi kemudian berfikir dengan dua ringgit itu apa yang mahu dimakan oleh lelaki ini, terutamanya zaman minyak dan segala macam barang naik macam roket harganya.

Falah teringat kata arwah bapanya, “Sedekah itu berkadar dengan pendapatan kita. Kalau pendapatan kita seribu, seringgit dua ringgit itu apa kadarnya. Itu bukan sedekah tetapi kita buang, kerana kita pun tak rasa hilang dengan seringgit dua itu. Sedekah itu biar rasa nikmatnya. Habis seribu itu, baru rasa nikmatnya.” Tetapi Falah pasti makna nikmat ‘sedekah’ arwah bapanya itu bukan menurut makna politik orang-orang Melayu liberal yang ‘bersedekah’ perempuan itu.

Agh, tidak mungkin itu. Falah hanya selalunya bersedekah duit-duit syiling yang dibaling-baling dalam poketnya sahaja, dengan harapan tumbuh ranting dan cabang yang beranak-anak pahalanya. Tetapi hari ini, entah mengapa Falah terasa ingin merasa nikmat yang dikatakan oleh bapanya. Falah pun menyeluk mengambil dompetnya lalu mengeluarkan satu-satunya not lima puluh ringgit yang ada lalu diberikan kepada lelaki itu dengan rela hati. Lelaki itu mengangkat tangan dan mendoakan Falah.

Falah meninggalkan lelaki itu dan memandu pergi. Matanya mengerling wang dua ringgit yang bersisa untuknya hari ini. Hari masih pagi. Mana pula dia hendak mendapatkan wang untuk makan sehingga malam nanti? Agh, Falah ditekan-tekan oleh rasa kehilangan nikmat bersedekah.

Tetapi setelah hari itu, rezeki Falah cukup murah. Mencurah-curah masuk. Walaupun dia tidak tertonggeng-tonggeng mencari kerja, ada sahaja kawan dan pelanggan yang entah dari mana menelefonnya menawarkan kerja atau memohon perkhidmatannya. Dalam era persaingan yang cukup hebat ini, apatah di ibukota yang dipenuhi pakar-pakar dan syarikat yang lebih berkeupayaan daripadanya - Falah mendapat kepercayaan dan ‘job’ yang tidak putus-putus. Falah ada juga berfikir-fikir untuk menukar kereta buruknya itu, tetapi kemudian diurungkan sahaja - takut juga nanti Ah Tan yang baik itu pula disiasat BPR kerana menjadi sasaran alasannya menukar kereta kerana tinggi kos penyelenggaraan kereta nasionalnya itu.

Falah pun teringat doa daripada lelaki dari masjid itu. Apakah kerana doa-doa itu? Atau kerana suci hatinya untuk berbuat baik tanpa rasa ingin balasan? Apakah lelaki itu wali zuhud yang diturunkan untuk mendoakan rahmat kepada hamba-hamba-Nya? Yang pasti puncanya seratus peratus daripada kemurahan dan berkat Allah azawajjala.

Peristiwa kedua; Falah ingin bercerita lebih pendek memandang ruang cerpen ini tidak membolehkannya bercerita panjang. Tetapi sebelum itu perlu diketahui bahawa masjid ini adalah bangunan yang ditambah-tambah daripada sebuah bangunan kayu yang asalnya dibina dengan senibina Melayu yang unik - perlu diketahui bahawa bangunan kayu iaitu masjid asalnya itu mempunyai tiga pembahagian iaitu bumbung, ruang dalam serta tiang yang diibaratkan seperti tubuh manusia iaitu kepala, tubuh dan kaki - perlu diketahui bahawa bumbung adalah tingkat wahidah iaitu puncak hubungan dengan Tuhan, sementara ruang dalam adalah tingkat qalbu iaitu sifat Jamal dan Jalal dalam nurani manusia yang berjuang menjadikan qalbu berbalik-balik dan bertukar keadaan, dan akhir sekali tiang serta tangga adalah tingkat salik iaitu lima anak tangga melambangkan lima tingkat nafsu yang dilalui oleh manusia untuk mencapai qalbu. Semua ini Falah mendapat tahu daripada seorang imam tua yang kebetulan duduk semeja dengannya ketika makan di restoran yang penuh sesak pada suatu hari. Tetapi malangnya Falah tidaklah faham sangat apa yang diterangkan oleh imam tua, kecuali mengangguk-angguk mengambil hati.

Ya, kembali kepada cerita Falah iaitu suatu malam, awal bulan Ramadan dia pergi bertarawih memakai sandal baru dibeli. Pulangnya sandal itu hilang. Puas dicari, tidak ada. Hatinya panas, ingin menyumpah tetapi teringat dia di masjid. Dia cuba berlagak reda, tetapi tidak tertahan terkeluar juga sedikit hamun yang disembunyi di dalam hatinya. Mula Falah berfikir untuk menyambar sahaja selipar siapa yang ada, mana mungkin dia pulang berkaki ayam. Namun akhirnya dia berfikir, tidak mahu mendapat dosa hanya kerana mencuri selipar. Malu roh keluarganya di alam barzakh. Maka Falah pulang berkaki ayam.

Falah menahan dari menyumpah. Hatinya cuma berkata, “Pulangkanlah balik sandalku itu.” Tiga hari selepas itu entah bagaimana, sandalnya yang hilang di masjid tempoh hari terletak kemas di hadapan pintu rumahnya. Falah tidak tahu untuk berkata apa. Tetapi Falah yang sering mengetawakan perkara-perkara ajaib sebagai tahyul orang-orang Melayu yang memerlukan kekuatan ‘azimat’ untuk menutup jiwa bawah sedar mereka yang mengutip pengalaman-pengalaman kekalahan baik dari segi ekonomi, sosial mahupun politik di tanah air mereka sendiri - mula memikirkan kembali, apakah dia juga berada di alam halusinasi sekarang ini. Apakah dia juga sedang digomol oleh alam bawah sedar yang mengumpul pengalaman- pengalaman kekalahan orang-orang Melayu sejak akhir-akhir ini; sehingga berlaku perkara-perkara ajaib di hadapan matanya? Kekalahan dan kemarahan yang terpendam menjadikan halusinasi dan realiti menjadi bercampur baur. Falah sehingga kini masih degil untuk tidak mahu percaya sebarang keajaiban. Fikirannya dan hatinya hanya menerima rasional dan objektif. Tahyul adalah hanya sebuah atmosfera halusinasi yang muncul dalam jiwa manusia atau bangsa yang sedang menghadapi kekalahan secara tidak sedar.

Maka suatu hari Falah berjumpa dengan salah seorang iman di masjid itu. Mudah sahaja Falah bertanya, “Mengapa masyarakat Islam dan bukan Islam sangat menghormati masjid ini?’ Jawab imam muda itu juga mudah, “Kerana masjid ini menghormati mereka.” Kata imam muda itu seterusnya, bahawa mereka telah menghala pembesar suara masjid itu ke dalam hingga laungan azan hanya terdengar dalam lingkungan masjid bukan kerana mereka kalah dalam menegakkan hukum Islam, tetapi kerana Islam itu adalah agama yang paling menghormati masyarakat. Dan kerana itu masyarakat bukan Islam yang menganjurkan majlis mereka di dewan komuniti di sebelah masjid ini juga menghala pembesar suara mereka ke dalam, khuatir dan tidak mahu mengganggu jemaah di masjid ini beribadat.

Masjid ini juga cukup menjaga kebersihan dan peraturan jemaahnya sehingga kawasan sekitar masjid ini cukup teratur dan bersih, buktinya parit di sebelah masjid itu jernih dan bersih tanpa ada sebarang sampah walau ribuan jemaah beriktiqaf di situ. Maka masyarakat bukan Islam di sini juga menjaga kebersihan dan peraturan hingga tidak pernah membunyikan hon-hon kereta mereka di hadapan masjid ketika hari-hari jemaah berkumpul sehingga amat menyesakkan jalan, ditambah pula dengan murid-murid pulang dari sekolah di hadapan masjid itu. Masyarakat kota yang terkenal dengan sifat baran dan menjerit-jerit di jalan raya itu menjadi sabar dan tenang apabila berada di hadapan masjid ini.

Falah kembali sibuk dengan kerjanya dan lupa dengan segala kisah masjid itu. Falah mula berselang seli pergi bertarawih. Entah bagaimana suatu malam, pada beberapa malam yang terakhir pada bulan Ramadan Falah terasa ingin pergi sembahyang tarawih setelah terhenti lebih seminggu pada hari- hari terakhir bulan Ramadan itu. Malam itu Falah tiba awal. Masjid penuh dengan jemaah. Ramai sekali. Terang benderang masjid itu. Ya tentunya para jemaah berkumpul dan bermalam untuk menambah amal ibadat mereka pada sepuluh malam terakhir itu. Falah masuk menyertai mereka. Sememang malam itu penuh dengan keberkatan. Bau masjid dan para jemaah itu mewangi nawarstu. Harum dan lembut sehingga angin menjadi sejuk dan cukup menjelirakan. Sembahyang mereka cukup khusyuk sehingga Falah merasakan seperti suasana tarawih di Masjidil Haram yang dilihatnya di kaca televisyen. Falah pulang setelah bersalaman dengan para jemaah.

Tenteram

Setelah pulang ke rumah dengan perasaan yang cukup tenteram, Falah terasa sesuatu yang agak aneh. Ya, para jemaah yang harum dan cukup bersih itu serasa Falah tidak pernah ditemui atau dilihat sebelum ini. Dari mana pula jemaah yang ramai itu. Falah berfikir-fikir lalu terlena.

Keesokan harinya, Falah pergi ke pasar Ramadan berhampiran masjid itu. Falah terasa ingin pergi meninjau masjid yang penuh gemerlapan semalam. Falah dibetik rasa hairan. Masjid itu sunyi yang biasa sahaja, sama sekali berbeza dengan keadaan semalam. Mana pergi lampu dan segala hamparan semalam. Falah melangkah masuk ke dalam masjid. Sunyi dan tiada sesiapa. Mana perginya ribuan jemaah semalam? Ketika Falah meninjau-ninjau penuh bingung itu, Falah terserempak seorang pemuda sedang menyapu di tepi halaman masjid. Falah memberi salam dan bertanyakan ke mana perginya jemaah yang ribuan ramainya semalam serta lampu dan hamparan seperti Masjidil Haram itu. Pemuda itu terpinga-pinga, hingga bergerak-gerak serbannya. Kata pemuda itu sejak beberapa hari ini masjid tidak ramai jemaah, hampir kosong kerana ramai jemaah sudah pulang ke kampung halaman. “Semalam?" Falah bertanya. Semalam hanya imam dan beberapa orang makmun sahaja. Itupun sembahyang maghrib, isyak dan tarawih dibuat di bangunan kayu yang lama dan jarang dipakai itu sahaja kerana tidak ramai jemaah. “Lalu masjid ini kosong?" Falah bingung. Tidak ada orang, kosong, lampunya pun tidak dipasang semalam.

Falah terduduk lama di tangga masjid. Membiarkan angin menyapu-nyapu wajahnya. Falah benar-benar tidak tahu di dunia mana dia berada sekarang. Atmosfera halusinasi yang muncul daripada himpitan rasa bawah sedarnya atau ia adalah realiti sebenar yang dilintasi oleh manusia dengan izin Allah azawajalla, keluar dari dalam keadaan mereka di dunia fana yang sebenarnya halusinasi itu.

“Masjid sebenarnya sebuah filem yang bukan sebuah filem. Ia adalah alam kemakmuran di mana semua manusia tidak kira Islam atau tidak adalah kariahnya. Semua manusia ini, tanpa mengira bangsa dan agama adalah ahl al-ma‘murah al-Fadilah iaitu kariah masjid ini.” Dia menutup katanya. Filemnya pun diputarkan. Ratusan penonton di sebuah festival antarabangsa di negara salji itu diam di bangku mereka.

Sejak hari itu Falah tidak pernah percaya lagi bahawa hal-hal ghaib itu adalah hologram dalam atmosfera halusinasinya. Kerana ia adalah dunia qalbu yang menghidupkan jiwa-jiwa yang kalah untuk kembali ke masjid.

0 comments: