TAHUN BARU TANPA ISA, 2009
Posted by albanna at 12:52 PMDi pagi Syawal, apakah yang kau cari?
Posted by albanna at 11:25 AMSEJAK zaman muda lagi dia sudah menghidapi semacam penyakit. Setiap kali berada di perut kapal terbang, dia tidak berupaya melelapkan mata, walau pun sepicin. Gelisah, cemas, dan fobia akan paras ketinggian, semuanya berpugut-pugut, dan akhirnya bangkit sebagai adunan yang barangkali boleh saja dinamakannya kesepian. Atau apakah ini yang dinamakan kerinduan? Sewaktu remaja dulu dia sering menganggap bahawa kesepian dan kerinduan itu membawa nuansa yang sama. Sampai sekarang pun dia tidak dapat membezakan pengertian kedua-dua terma itu. Ada ketikanya di dalam pesawat, dia seolah bergantung di sayap angin, menaksir seluruh awangemawan dan jagat raya. Dan bila itu terjadi, pintu besar ke kota kenangan terbuka seluas-luasnya. Fikiran pun mengembara ke segenap relung ingatan, lampias dalam ruang-waktu, dan segala pengalaman dengan cepat mekar, dan segar semula. Walau sudah bertahun-tahun berada di perantauan, entah kenapa sepanjang Ramadan al-Mubarak pada kali ini rindunya terhadap kampung halaman benar-benar luar biasa. Sungainya, bukitnya, burung-burungnya, unggas dan mergastua, lambaian pohon- pohon kelapa, dan lesung kaki tua al-marhumah nenek, semuanya meruntun perasaan.
"Fikiran manusia adalah komputer azali yang sangat aneh," kenyataan itu sering berulang- ulang di sepanjang hayat. Puisi yang mengabadikan alam remajanya tidak pernah lekang dari kotak ingatan.
Suatu waktu main perang buah sentul di sejuk kali
Tak kusangka main perang buah sentul di sejuk kali
Setiap pagi di hujung kampung suatu waktu dulu menangis
Luka di kepala dan kakiku rupa-rupanya persediaan
ilmu untuk suatu waktu kerana kini
di Kuala Lumpur setiap hari aku berperang dengan nafsu
emosi dan hargadiri aku berperang dengan bedil di mukaku
senjata tajam menikam siku ubun-ubun dan sulahku. kini tanpa tangis aku bangun mengutip peluru di dadaku seraya
tersenyum membalut luka-luka ditubuhku
kerana aku sudah dipersediakan ilmu perang
suatu waktu dulu di sejuk kali di hujung kampung
setiap pagi.
Sajak itu ditulisnya ketika masih berada di KL, sebelum dia menikahi ibu Laila. Sungguh pun sajak itu ditulis lama dulu, namun baris-baris puisi tersebut terasa seperti baru dikarangnya semalam. Dia tidak tahu sama ada rakan-rakan main perang di sungai masih lagi hidup, atau pun tidak. Entahkan Mislan, Meri, Yun dan Wok juga sepertinya - sering 'berperang dengan nafsu, emosi dan harga diri'.
Ah, betapa seronoknya menebang dan menukang meriam buluh betung, moreh, dan bertadarus di surau di sepanjang bulan Ramadan.
Tapi dia dan teman-teman harus berhati-hati, kerana nenek selalu mengomel.
"Hoi, ape ditunu mulut meroyam tu? Nak pongah muke ke? Esok hari raye, kome terperap di hospita!" sergah nenek.
Dan di pagi Syawal, sebaik selesai solat sunat Aidilfitri, dia dan kawan-kawan berbasikal ke rumah tok imam, menuntut duit raya. Saban tahun duit raya tok imam lumayan. Tapi dia meletakkan syarat terlebih awal.
"Rajin-rajin terawih, kalau kome nak duit raye…"
Tapi bukankah semua itu sudah tidak ada lagi!
Destinasi semakin menghampir. Ikon kapal terbang yang bergerak secara automatik di skrin tv kecil depannya tentulah tidak berbohong. Pesawat kini sudah melewati Laut Andaman, dan baru saja meninggalkan sempadan Thailand - Malaysia. Benua Eropah semakin kelam dalam ingatannya. Tapi dia percaya Rotterdam yang baru sebelas jam diucapkannya selamat tinggal pasti akrab selamanya dalam ingatan.
Memajamkan mata
Setiap dia cuba memejamkan mata ada-ada saja maklumat yang ingin disampaikan oleh kapten. Dua jam lalu, ketika menempuh ruang udara benua kecil India, badan pesawat bergegar, apabila bertembung dengan angin yang kencang. Dan kepten mengganggu konsentrasinya untuk cuba melenakan mata.
"Tuan-tuan dan puan-puan, kita sedang berada dalam keadaan cuaca yang kurang baik, dan tidak menentu. Sila kembali ke tempat duduk, dan pasangkan tali pinggang keledar."
Mujurlah anak muda peramah di sebelahnya juga tidak tidur di sepanjang penerbangan. Hanya isteri dan dua orang anaknya yang nampak keletihan. Katanya dia seorang guru, dan baru saja menyelesaikan tesis sarjana di sebuah kota di United Kingdom. Menurut anak muda lagi, dua tahun bergelumang dengan musim sejuk sudah cukup menyiksakan.
"Lama ke pakcik tinggal di Belanda?"
Dia tidak pasti apa yang menyebabkan anak muda mentaakulkan sebegitu. Mungkin disebabkan dia terpandangkan dua buah beg besar yang kuheret di kaunter check-in di Schipol? Dia mengagak. Menurut anak muda yang berhemah ini, dia hanya transit di Schipol. Dia sekeluarga memulakan perjalanan dari Heathrow. Mereka mengambil keputusan berhari raya di kampung. Oleh kerana agak terlewat membuat keputusan itu, akibatnya mereka hampir-hampir gagal mendapatkan tiket penerbangan pulang ke tanah air. Maklum tempahan di musim perayaan tersangat tinggi.
"30 tahun," dia menjawab pendek. Dahi anak muda kelihatan berkerut. Isterinya perlahan-lahan menjongolkan muka dari dalam selimut. Dia menduga pasti akan ada lagi reaksi dari anak muda.
"Lamanya..."
"Sudah takdir, apa nak buat."
Dia tidak mampu memberikan jawapan lain, bila saja hal itu berbangkit. Harapannya agar tidak ada soalan susulan, ternyata meleset.
"Famili…?"
"Ada…tapi sekarang dah tak ada lagi…"
"Oh, maafkan saya pak cik."
"Maksud pak cik, kami berpisah."
"Oo…"
Dia tidak dapat mengagak adakah "O" anak muda bermaksud apologetik, atau hanya sebagai penyengkang bicara sahaja. Setelah menjawab soalan anak muda, dia membiarkan kesepian bermaharaja lela semula di dalam dirinya seketika. Tak lama, dia menanyakan kepada anak muda.
"Masih ada orang tua?"
"Semua dah tak ada. Semasa saya sekolah lagi. Saya dibesarkan oleh nenek. Dah tak ada siapa di kampung. Lagi pun saya anak tunggal. Yang tinggal hanya rumah pesaka usang."
"O…"
Dia tidak tahu kenapa harus menyebut huruf saksi itu.
Tapi, kalau tak ada keluarga lagi, apakah yang dicari anak muda di kampung?
Kini dia pula yang diganggu oleh andaian yang memerlukan pewarasan.
'Err, tak ada sesiapa lagi?"
"Ya, cuma semangat desa itu sendiri pak cik. Saya dibesarkan dengan air sumur dan air sungai. Saya nak melawati pohon-pohon getah yang saya toreh semasa kecil. Semuanya berperanan mendewasakan saya, pak cik, termasuk pucuk paku, maman, dan umbut bayas."
"Elok benar tu…"
Anak muda menambah. "Isteri saya lulusan pertanian. Tapi fikir punya fikir, dia memilih untuk menjadi suri rumah saja. Kami bercadang nak memulihkan kebun getah peninggalan orang tua. Lagi pun getah ada harga sekarang."
Dia dapat membayangkan betapa anak-anak keluarga muda ini bakal membesar sebagai manusia yang cintakan ibu pertiwi.
Bila saja anak muda menyebut kebun getah, kenangan ketika dia menoreh di hujung kampung menjelma di ruang matanya dengan pantas. Di manakah Ana, yang selalu ditemui di tempat memesin getah? Tentulah dia sudah beranak-cucu, duganya. Atau masihkah dia menjadi pengungsi dunia yang fana ini?
Dia masih dapat menggambarkan kesayuan Ana apabila mengetahui dia sering ke kampung di pinggir pekan.
"Dengar khabar kau selalu ke pekan. Aku tahu, kau sayangkan orang lain," serak suara Ana ketara benar di pagi itu.
"Aku tak kata gitu."
"Tak kata bukan maknanya tak ia…lagipun dia pintar, lebih padan dengan kau. Aku…"
"Tapi Ana, kan nama-nama kita sudah terpahat di banir nering di dusun Pak Agon?"
"Pohon nering tu tak akan bertahan selamanya. Percayalah…"
Apa yang diucapkannya kepada anak muda - "Ada, tapi sekarang dah tak ada lagi" memang suatu kenyataan. Mulanya dia hanya ingin menemani ibu Laila melanjutkan pelajaran; dari satu tingkat ke satu tingkat yang lebih tinggi. Kemudian mereka mencuba untuk bekerja di perantauan. Jangkanya hanya buat mencari pengalaman. Tapi akhirnya mereka terus menetap di luar negara saja. Lagi pun anak-anak sudah mula membesar, serta mendapat pendidikan di sana. Tapi mulai saat ibu Laila memberitahunya yang dia sudah jatuh cinta dengan lelaki lain, dan minta dilepaskan, keinginannya untuk pulang ke kampung bertambah kuat setiap tahun.
Kedua-dua orang anaknya bertindak membawa diri masing-masing. Yang perempuan menyambung pelajaran di Jordan, dan yang lelaki memilih bekerja di Afrika Selatan. Biarlah mereka menjadi warga dunia. Kemanusiaanlah yang akan mendewasakan mereka, fikirnya.
Memang benar kata-kata Ana. Ibu Laila cantik dan pintar. Namun sekarang dia sedar semua itu belum tentu dapat menjana kebahagiaan hidup berkeluarga. Cuma dia kasihankan Laila, dan abangnya yang merajuk.
Ah biarlah, kalian sudah dewasa. Abah harap kalian menjadi warga dunia yang bertaqwa. Dia menyerahkan agar semuanya disimpulkan oleh benang takdir.
Saat tayar pesawat berciut mencium bumi ibu pertiwi, dia berasa dadanya sebak. Sama seperti yang pernah dirasakannya semasa membuat pilihan antara Ana dan ibu Laila. Di lapangan terbang yang ternyata lebih gah dari apa yang pernah disaksikannya di Eropah, takbir Hari Raya dari peti-peti tv menguasai suasana. Dia terasa matanya basah. Lebih-lebih lagi kini dia hanya pulang seorang diri, tanpa isteri dan anak-anak. Cepat-cepat dia ke kaunter menyewa kereta pandu sendiri. Ada tiga jam perjalanan lagi sebelum sampai ke kampung tercinta. Tapi dia tahu di pagi Syawal lebuh raya pasti lengang.
Sebaik memasuki kereta, dia menyedari ada mesej masuk di telefon bimbit. Dia tersenyum melihat pesanan ringkas itu. Dia tahu hati abang Laila akan terubat juga akhirnya.
"Assalamualaikum abah. Saya nak mohon ampun dan maaf di pagi Syawal ni. Sekarang baru jam lima subuh di sini. Pagi nanti saya nak jemput adik Laila. Dia nak raya di Jo'berg. Ada dia telefon abah tak? Mama telefon, dia kata nak raya di Rotterdam. Suatu masa nanti nak ikut abah balik kampung. OK tak?"
Ya, masa akan menyembuhkan semua luka!
Matahari sudah agak tinggi ketika dia sampai di tanah perkuburan. Di situ kedua-dua orang tua dan neneknya disemadikan. Walaupun masih ramai orang di situ, tetapi tidak ada seorang pun yang dikenalinya. Sayup-sayup kedengaran takbir Hari Raya di tv dan radio dari rumah-rumah berhampiran perkuburan, diinjing semilir pagi yang jinak. Dia ingat dengan jelas kali terakhir mengiringi al-marhumah ibu ke situ. Dia mengabadikan pengalaman itu di sebuah sajak yang ditulisnya di diari.
Mengenang ibu
Ketika kuhantarmu, ibu
di rimbun teduh rembang
lembut semilir bukit menjinjing
salam malaikat berangkat
tak betah riak sungai bangkung kita, ibu
menggetar mengulit lampias
cahaya putih
menanti di limun pagi
aku tetap merindu
marah-marah dan jerkah-jerkahmu
ketika kautuangkan
tamsil kesabaran ke dalam naluriku
potret kecil di tangga sekolah
tak puas kutitip buah rindu
di perkarangan senyumanmu
tidurlah sementara, ibu
edan dalam syahdu
dan rimbun doaku,
anakmu.
Dia amat menyayangi ibu, dan sajak itu.
Selesai membacakan Yaa Siin dan berdoa di ketiga-tiga kuburan, dia melangkah meninggalkan tanah perkuburan. Wajah seorang wanita di sisi sebuah kubur menangkap pandangannnya. Dia merasakan wanita bertudung biru gelap yang ditemani oleh sepasang remaja sangat dikenalinya. Walaupun bertudung, dia masih kenal kening, hidung dan sepasang bibir yang nipis milik wanita itu. Adakah nama pemilik wajah itu yang pernah dipahatnya di pohon nering dusun Pak Agon?
Dia memberanikan diri menyapa wanita itu.
"Ana…Ana ke?"
Wanita itu tidak menyahut pertanyaannya, tetapi dengan selamba merenung tepat ke mukanya. Dan dia membiarkan sepasang remaja beredar meninggalkan kawasan perkuburan.
"Kau tak kenal aku lagi…" dia tercenung.
"Masakan aku lupa…bukankah kau yang memahat namaku di pohon nering?"
Ya memang tepat sekali, wanita yang sedang terdiri di depannya ialah Ana. Ana masih hidup rupanya!
"Anak-anak…?" Dia mengacukan pandangan ke arah sepasang remaja yang sudah sampai ke pintu besar tanah perkuburan. Dia cuba mengalih perbualan. Ana menggeleng-gelengkan kepalanya.
"Anak-anak saudara…anak kakak…ini kubur ibu bapa mereka. Kemalangan jalanraya, dah lama. Aku membesarkan anak-anak mereka."
Dia tidak tahu bagaimana harus memberikan reaksi terhadap apa yang baru didengarinya dari Ana. Sesungguhnya dia benar-benar tidak tahu apa-apa lagi tentang Ana. Pertanyaan Ana selanjutnya membuatkannya tergumam semula.
"Kau mencari apa di sini?"
Fikirannya gelap. Dia tidak tahu bagaimana soalan itu harus ditangani. Memang benar apa yang diucapkan oleh Ana. Adakah lagi sesuatu yang tersisa di kampung ini buatnya?
"Ana tinggal di mana sekarang?" Dia sungguh-sungguh ingin tahu.
"Masih di kampung ini."
Ana mula meninggalkan perkuburan, dan dia mengekori Ana beberapa langkah di belakang. Sebaik tiba di pintu besar, Ana menoleh ke arahnya semula. Dia tidak tahu sama ada Ana tersenyum kepadanya atau pun tidak, kerana di benaknya ada jeritan yang kuat:
Ana, aku akan tinggal di kampung ini selamanya!
Di saat itu juga ada isyarat mesej masuk di telefon bimbit. Dia segera mengeluarkannya dari kocek seluar. Sungguh pun ringkas, dia memahami maksud Laila.
"Selamat Hari Raya. Maaf zahir batin. Laila sayang abah macam dulu."
Sekali lagi matanya terasa basah. Di pagi Syawal yang syahdu, dia tidak lagi dapat menahan airmatanya daripada mengalir ke lurah pipinya.
Memanfaatkan lesen penulisan kreatif
Posted by albanna at 11:23 AMIhsan daripada Utusan Online
Dalam Mingguan Malaysia semalam ada disiarkan cerpen Politik Baru YBJ. Cerpen itu ditulis oleh Datuk Chamil Wariya, bekas Ketua Pengarang Majalah Kumpulan Utusan. Chamil lebih dikenali sebagai penulis politik yang disegani dan banyak menghasilkan buku politik.
Apabila seorang wartawan besar seperti Chamil menulis cerpen, tentu ini ada suatu yang mahu disampaikan, barangkali tidak boleh dilahirkan tanpa melalui penulisan kreatif.
Wartawan menulis berlandaskan fakta. Putih adalah putih atau hitam adalah hitam. Tetapi dalam keadaan tertentu, hitam tidak boleh dikatakan hitam.
Jiwa wartawan tentu memberontak apabila tidak dapat menulis berlandaskan fakta. Maka di sinilah peri pentingnya lesen kreatif yang ada di luar prinsip kewartawanan.
Cerpen, puisi, drama atau apa saja karya kreatif mempunyai lesen yang lebih besar untuk mengatakan hitam adalah hitam. Golongan penulis karya kreatif atau sasterawan bukanlah duduk termenung di tepi pantai untuk mendapat ilham. Ini kerana ilham yang baik tidak ada di tepi pantai atau menyepikan diri, sebaliknya ilham ada di tengah-tengah masyarakat.
Maka yang melahirkan Politik Baru YBJ adalah ilham yang lahir daripada milieu politik semasa yang menggelegak dengan pelbagai isu sensitif.
Sensitiviti seorang wartawan menjadikan cerpen Politik Baru YBJ sebuah karya politik dari jurus pemikiran seorang wartawan.
Chamil menggunakan bahasa yang mudah sama seperti penulisan beliau dalam rencana politik. Chamil memanfaatkan lesen kreatif untuk menulis sesuatu yang tidak boleh ditulis menggunakan hukum hakam kewartawanan.
Sebenarnya ini adalah kelangsungan yang pernah dilakukan oleh generasi wartawan Melayu terdahulu. Kalau kita menoleh zaman memperjuangkan kemerdekaan, kemunculan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Samad Ismail; Dr. Ishak Haji Muhammad (Pak Sako); Sasterawan Negara, Kamaluddin Muhammad (Keris Mas); Sasterawan Negara, Datuk Usman Awang; Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said serta beberapa tokoh lagi pernah menjadikan penulisan kreatif sebagai alternatif menyuarakan perjuangan bangsa.
Mereka adalah generasi wartawan yang terpaksa menggunakan lesen kreatif untuk menyampaikan pemikiran wartawan.
Samad Ismail misalnya menghasilkan beberapa karya kreatif yang menggunakan pendekatan kewartawanan seperti Patah Sayap Terbang Jua, Tembok Tidak Tinggi, Rumah Kedai Jalan Seladang, sementara Pak Sako dengan Anak Mat Lela Gila dan A. Samad Said dengan Sungai Mengalir Lesu.
Karya-karya ini memuatkan pemikiran dan perjuangan politik untuk membebaskan negara daripada cengkaman penjajah. Memanglah sesetengahnya kurang memainkan bahasa tetapi inti pemikiran adalah lebih penting daripada keindahan bahasa.
Mereka menjadikan fakta sebagai fiksyen yang bergerak di atas landasan sejarah yang benar.
Ketika golongan sasterawan memainkan peranan mereka menyuarakan hasrat bangsa menerusi karya kreatif, penglibatan golongan wartawan dalam karya kreatif juga tidak boleh diperkecilkan.
Maka kelahiran cerpen Politik Baru YBJ menandakan satu lembaran baru di mana wartawan memilih penulisan kreatif untuk berhujah tentang banyak perkara yang dianggap 'rasis' dalam kewartawanan.
Beberapa tokoh kalangan sasterawan menganggap cerpen ini begitu radikal dan tidak mungkin dapat disampaikan kecuali menggunakan lesen kreatif.
Maka elok juga kalau diforumkan cerpen Politik Baru YBJ untuk dikupas yang tersurat dan tersurat di dalamnya.
E-mel: cp@galaxystudio.tv
Politik baru YB J
Posted by albanna at 11:21 AMHasil tulisan Datuk Chamil Wiraya. (Ihsan Utusan Online)
PAGI itu resah YB Josephine, yang lebih mesra dengan panggilan YB J sukar dikawal. Sepanjang perjalanan menuju ke Dewan Perhimpunan Warga Cha di ibu kota, fikirannya terganggu. Tuduhan bahawa dia anti-Islam dan anti-Melayu sungguh-sungguh menghantui perasaannya sejak malam tadi lagi. Entah mengapa baru sekarang dia begitu, dia sendiri tidak tahu. Dia juga tidak pasti sama ada pemandunya, Ahmad, menyedari gelora jiwanya ketika itu. Kalau dia tahu pun, peduli apa, YB Josephine berbisik sendirian.
Pemandu itu memang sedia maklum pendirian politiknya tentang kepentingan kaumnya vis a vis orang Melayu. Dan dia tahu Ahmad menghormati pendiriannya, walaupun dilihat anti- Melayu, anti-Islam sebagai hak asasi tinggal dalam sebuah negara demokrasi. Bukankah kebebasan asasi itu dijamin oleh Perkara 5 hingga Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan. Tetapi YB J akui demokrasi ada yang tidak sempurna dan kerap disalahgunakan oleh pihak yang berkuasa. Tetapi hakikat itu tidak menghalang rakyat menempatkan pembangkang di Dewan Rakyat. YB Josephine adalah salah seorang daripadanya.
Ah, tudahan dia anti-Islam, anti-Melayu tuduhan yang melulu bentak YB J seolah-olah mahu menyedapkan dirinya.. Ia juga tuduhan yang tidak berasas, hati kecilnya bersuara lagi. Dia meyakinkan dirinya bahawa kenyataankenyataan yang dibuatnya atas nama pelbagai kaum untuk memperjuangkan kepentingan kaumnya, bukan sesuatu yang rasis. Amensty International, organisasi hak asasi antarabangsa akan menyetujuinya. Begitu juga dengan Bangsa-Bangsa Bersatu. Ketua Pembangkang, di Parlimen pun tidak pernah menganggapnya rasis. Yang menganggapnya rasis hanya orang Melayu di dalam Parti Orang Melayu (POM).
“Aku juga bukan anti-Islam. Aku bukan anti Melayu,” pujuk hati YB J yang sudah dua penggal bergelar YB itu, mewakili Parti Bertindak Rakyat. Parti itu dianggotainya sejak berada di kampus lagi, walaupun Akta Universiti dan Kolej Universiti melarang para siswa membabitkan diri secara langsung dalam mana-mana organisasi siasah. Lagi pun penguatkuasaan undang-undang itu sekadar melepas batuk di tangga. Lebih dari itu, ia adalah satu lagi undang-undang lapuk, kata YB J.
Kata hatinya lagi: “Aku sekadar memperjuangkan kepentingan kaum aku, sama seperti pemimpin Melayu dalam POM memperjuangkan kepentingan bangsanya, sama seperti pemimpin Parti Orang Islam (POI) berjuang untuk bangsa menggunakan wajah Islamnya.”
Malah YB J berasakan kelantangannya memperjuangkan kepentingan kaumnya itulah yang telah membantunya menang kali kedua kerusi Parlimennya. Kali ini dengan majoriti yang lebih besar lagi. Apa yang membanggakan dia adalah perjuangan yang dianggap anti-Melayu dan anti-Islam itu kini turut disokong pengundi-pengundi Melayu di kawasan pilihan rayanya itu. Pada mulanya dia sendiri terkejut apabila dimaklumkan sebahagian besar pengundi Melayu yang merupakan 20 peratus keseluruhan pemilihan berdaftar dalam kawasan Parlimen Alam Maya telah memangkahnya.
Ini satu perkembangan luar biasa. Tidak mungkin mereka menyokong aku, bisik hatinya. Tetapi apabila dimaklumkan oleh para pekerja parti bahawa pengundi Melayu di semua peti undi telah beralih arah mendokongnya, dia menerimanya dengan fikiran terbuka. Baguslah kalau orang Melayu menerima perjuangan Malaysia Barunya.
Tidak puas hati bermonolog dengan perasaannya, YB J secara spontan berpaling kepada Ahmad, pemandunya yang sejak tadi tekun dengan tugasnya.
“Kamu fakir saya anti-Islam, anti-Melayu?”
Pertanyaan
Ahmad yang sudah menghampiri usia bersara itu tidak menjawab, seolah-olah dia tidak mendengar pertanyaan itu. Matanya tertumpu ke jalan raya. Tugasnya adalah untuk mempastikan YB J selamat ke majlis yang ingin dihadirinya. Dan tiba tepat pada waktunya. Majlis itu penting kerana YB J akan mengadakan dialog dengan generasi muda seketurunan dengannya yang belajar di luar negara tetapi kebetulan berada di tanah air kerana bercuti. Ahmad sendiri tidak pasti sama ada pelajar yang pernah mempersendakan lagu Negara Ku sewaktu menuntut di sebuah universiti di Seberang Laut turut berada dalam kelompok itu. Kalau pun ada, pemandu YB J tidak ambil pusing. Budak itu memang kurang ajar. Ada ke patut Malaysia dianggap sebagai Negara Kuku (ejaan Inggerisnya cuckoo) yang bermaksud gila. Dan kreativiti digunakan untuk menghalalkan perbuatan biadapnya itu. Cuma Ahmad berfikir kalau semua orang dibiarkan menghina lagu Kebangsaan dengan lirik yang memperlekehkan kehidupan orang Islam, dan atas nama kreativiti, maka kesannya terhadap perhubungan kaum adalah negatif.
Ahmad tidak tahu apakah yang sebenarnya mengganggu bosnya itu sejak dari tadi lagi. Dia jarang begitu. Ahmad dapat mengesan YB J lain macam sahaja pagi itu. Dia dapat membaca keresahan dan kegelisahan YB J. Seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena walaupun apa yang sebenarnya berkocak di dalam diri YB J dia tidak pasti. Sepanjang ingatan Ahmad, YB J juga tidak pernah berbual dengannya tentang politik, apa lagi tentang isu-isu semasa - kecuali memberi arahan yang ada kaitan dengan perjalanan atau jadual kerja. YB J juga tidak bertanya sama ada dia mengundi pom atau parti apa pada pilihan raya yang lalu.
Lazimnya, sepanjang perjalanan, baik ke pejabat atau majlis-majlis rasmi dan tidak rasmi yang lain, YB J akan menghabiskan masa membaca akhbar atau membelek-belek fail. Tetapi pagi itu YB J lain macam sahaja. Dia kelihatan resah. Gelisah. Fikirannya juga seolah-olah tidak menentu. Apa yang dibuat serba tak kena. Sekejap dia membelek ucapan utama yang akan disampaikan sebentar lagi menghuraikan gagasan Politik Baru Malaysia Baru yang dipeloporinya. Sekejap dia membelek akhbar-akhbar yang memang menemani YB J ke mana juga dia pergi.
Ahmad cuba mencongak mungkin keresahan YB J ada kaitan dengan suhu politik negara sedang panas ketika itu. Bahangnya terasa di mana-mana. POM sendiri sedang menghadapi pergolakan yang hebat berkait dengan kepimpinannya. Pertarungan kepentingan puak-puak di dalam parti sedang mengambil tempatnya. Kalaulah tidak kerana kedudukan politik kerajaan agak lemah selepas kehilangan majoriti dua pertiga, sudah lama Operasi Lalang, seperti yang pernah dibuat pada 1987, dilaksanakan, agaknya. Mungkin juga tidak kerana di bawah kepimpinan sekarang, kerajaan mengambil sikap yang lebih liberal terhadap para pengkritiknya.
Ahmad juga terfikir mungkin perasaan YB J terganggu dengan tindakan kalangan yang tidak diketahui siapa mereka melempar bom petrol ke rumah keluarga ahli Parlimen Sepohon Beringin, Su Lan. Barangkali, fikir Ahmad, YB J, bimbang kejadian yang sama boleh menimpa diri atau keluarganya.
Mana tahu selepas keluarga Su Lan, bosnya YB J pula yang menjadi mangsa. Dan yang dilempar itu bom betul-betul. Meletup pula. Tidakkah nahas YB J. Sekonyong-konyong Ahmad terbayang kejadian letupan bom berani mati yang berlaku di Damsyik, Syria yang ditonton menerusi Buletin Utama di TV3 beberapa hari lalu. Kalau kejadian yang sudah menghiasi kehidupan harian di Iraq, Israel, Tebing Barat, Gaza atau Afghanistan itu menular di negara ini, alangkah malangnya bumi bertuah ini. Minta disimpang malaikat 44, Ahmad berkata sendirian di dalam hatinya.
Tetapi fikir Ahmad, amaran kalau tidak diendahkan berbahaya. Dia teringat apa yang diceritakan berlaku pada 13 Mei 1969. Bapanya menceritakan dalam tragedi selepas pilihan raya umum pada 10 Mei itu, orang Cina dan Melayu berbunuh-bunuhan. Perjuangan yang mahu menafikan hak-hak istimewa orang Melayu dan kaum bumiputera lain yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, tidak dapat diterima oleh mereka. Kata-kata kesat dan menghina orang Melayu oleh para penyokong parti-parti pembangkang sewaktu berarak meraikan kemenangan besar di Kuala Lumpur dan bandar-bandar utama lain pada pilihan raya 1969 itu tidak dapat ditelan oleh orang Melayu. Parang yang terbiar tumpul selama ini diasah tajam. Dalam keadaan itu tercetuslah pergaduhan yang dahsyat menyebabkan Parlimen digantung dan pemerintahan darurat diisytiharkan. Negara diletakkan di bawah perintah berkurung. Ahmad sendiri belum lahir ketika itu. Tidak lama selepas itu, peralihan kuasa berlaku daripada Tunku Abdul Rahman kepada timbalannya, Tun Abdul Razak.
“Mat, saya ni anti-Melayu dan anti-Islam ke?,” YB J secara mendadak mengulang semula pertanyaannya apabila tiada jawapan daripada pemandunya.
Ahmad, yang sejak tadi membisu seribu bahasa selamba menjawab: “Mungkin tidak YB.” Dia memberi jawapan berlapik. Maksudnya: Mungkin tidak, mungkin ya bergantung pada mata yang menilai.
“Apa maksud kamu mungkin tidak.”
" Ini soal persepsi YB. Persepsinya begitulah. Hakikatnya YB tidak membenci Melayu tidak juga membenci Islam. YB sekadar memperjuangkan kepentingan kaum YB. Tidak salah YB berbuat demikian. Kalau YB tidak memperjuangkan kepentingan kaum YB sendiri, siapa lagi. Tetapi cara YB itu barangkali disalahertikannya.”
“Maksud kamu?" Tanya YB J yang masih belum jelas lagi.
Bergantung
“Yalah, ia bergantung pada mata yang memandang. Bukan sahaja di kalangan orang Melayu, tetapi di kalangan bukan Melayu. YB kena ingat di kalangan bukan Melayu pun bukan semuanya menerima politik baru Malaysia baru YB. Kalau tidak masakan parti satu kaum seperti Parti Orang Cina (POC) masih boleh bertahan.”
“Apa maksud kamu. Saya tidak begitu jelas?"
“Yalah bagi YB perjuangan YB adalah pelbagai kaum. Tetapi dalam tindak tanduk, perjuangan pelbagai kaum YB itu tidak tertonjol. YB mahu menghapuskan tulisan jawi dan ganti dengan tulisan Cina . Bagi mereka itu bukan perjuangan pelbagai kaum. Ia perjuangan satu kaum. Kalau benar pelbagai kaum, YB patut mempertahankan tulisan jawi.” Ahmad memberanikan diri untuk memberikan pandangannya.
Mengesan bosnya ingin mendengar pandangannya lagi, Ahmad berkata: “Patutnya kalau YB benar-benar ingin menjadi pejuang pelbagai kaum, kepentingan orang Melayu jangan diketepikan sewaktu mengetengahkan kepentingan kaum Cina. YB perjuangkan kepentingan kedua-duanya sekali. Penerimaannya saya pasti berbeza. YB akan dilihat sebagai mahu menjaga kepentingan kaum YB, tetapi pada waktu yang sama tidak menafikan hak orang Melayu.”
Itu perjuangan POM dan POC, dengus YB J di dalam hatinya. Bosan aku dengan Si Ahmad ini, dia berkata sendirian. Aku penganjur politik baru dan tidak mahu terikat dengan kerangka politik lama, katanya lagi kepada dirinya.
Perbualan YB J dengan pemandunya habis di situ sahaja. Dia tidak mahu lagi mendengar pandangan karut pemandunya. Dia mahu terus melayan perasaan: Aku percaya pada Politik Baru Malaysia Baru, tegas YB J pada dirinya. Setiap warganegara, tanpa mengira apa keturunan mereka patut diberi hak yang sama mengikut undang-undang. Tidak ada bangsa yang patut diberi layanan istimewa. Tidak ada warga yang patut diberi darjat atau kelas kedua. Kita semua orang Malaysia.
YB J enggan melayan Ahmad lagi. Sebaliknya, dia membelek akhbar Utusan Malaysia yang secara rasmi diboikot oleh partinya. Perhatiannya tertumpu pada artikel berjudul Jangan Padam Rekod Negara yang ditulis oleh seorang generasi muda Cina yang menolak tesis politik baru Malaysia baru.
Ah, satu lagi propaganda yang memperlekehkan kaum aku, dengus hati YB J. Jangan-
jangan yang menulis artikel ini orang Melayu. Mereka masih menganggap kaum aku sebagai berketurunan pendatang. Tidak guna punya generasi baru. Dengus YB J. Bisik hatinya lagi: Betullah dulu nenek moyang aku berhijrah ke bumi bertuah ini untuk mencari kekayaan, membebaskan diri mereka daripada kemiskinan dan keperitan hidup di China. Itu dulu. Generasi Cina sekarang sudah menjadi warganegara Malaysia dan mereka hendaklah dilayan seperti warganegara Malaysia..
Dikejutkan
Sedang YB J asyik dengan lamunannya, dia dikejutkan dengan suara pemandunya yang memaklumkan, “Kita sudah sampai YB.”
Menunggu dia di luar ialah para penganjur dialog yang bakal berlangsung. Salah seorang daripada mereka membuka pintu kereta YB J, bersalaman dengannya dan memperkenalkannya dengan ahli jawatankuasa penganjur yang lain. Diiringi oleh mereka, YB J dibawa ke pentas. Menurut kiraannya ada 500 orang di dalam dewan pagi itu. Dia bangga dengan kehadiran begitu ramai anak bangsanya yang ingin bertemu dengannya. Apa yang lebih membanggakan YB J ialah mereka belajar luar negara dengan biayai sendiri, bukannya bantuan kerajaan.
Selepas ucapan-ucapan aluan oleh pengerusi penganjur selesai, YB J dijemput untuk memberi ucapannya. Inilah detik-detik yang ditunggu-tunggu oleh YB J. Gagasan politik baru Malaysia barunya akan dihebahkan kepada dunia bebas. Dia teringat buku Kee Thuan Chye yang berjudul 8 Mac The Day Malaysian Woke Up. Momentum rakyat Malaysia atau lebih tepat lagi warga bukan Melayu Malaysia yang sudah jaga dari lena itu mesti ditingkatkan. Pagi itu dia berazam untuk berbuat demikian.
Tetapi tanpa diketahui oleh YB J, di kalangan 500 orang generasi muda yang hadir pada pagi itu ada yang tidak setuju dengan pandangan politiknya itu. Salah seorang daripada mereka berazam untuk membetulkan penyimpangan politik YB J dengan caranya yang tersendiri.
Apabila YB J bangun untuk menuju ke rostrum ucapan, seorang anak muda dari belakang pentas berjalan tenang menuju ke arahnya. YB J tersenyum kepadanya. Dia menyangka anak muda seketurunan dengannya ingin mengiringinya ke rostrum atau bersalaman dengannya.
YB J menghulurkan tangan. Tiba-tiba YB J tergaman dan berdiri kaku. Dia tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Tergenggam erat pada tangan anak muda yang seolah-olah mahu membalas salam tangan yang dihulur itu ialah sepucuk pistol jenis Revolver yang betul-betul diajukan ke arah dada YB J.
Tanpa berkata apa-apa, anak muda itu melepaskan beberapa das tembakan. Salah satu daripadanya tepat mengenai jantung YB J. Dia rebah ke lantai.
Para hadirin menjadi panik. Mereka yang berada di atas pentas turut tergamam melihat apa yang berlaku. Kejadian menjadi hiruk-pikuk dan tidak terkawal. Pihak penganjur yang tidak menduga kejadian malang itu berlaku, tidak tahu berbuat apa-apa. Beberapa orang anggota polis berpakaian preman yang menjadi tetamu yang tidak diundang dalam majlis itu, meluru ke arah pentas. Rakan-rakan mereka yang berpakaian seragam yang berkawal di luar juga bergegas masuk ke dewan.
Tetapi belum sempat mereka berbuat apa-apa, kedengaran beberapa das tembakan lagi. Kali ini yang rebah adalah anak muda itu sendiri.
Apabila pihak polis tiba di tempat kejadian, kedua-dua mereka - YB J dan anak muda yang berpakaian kemas itu, sudah tidak lagi bernyawa.
Sewaktu pemeriksaan dibuat ke atas mayat anak muda yang tidak dikenali itu, terselit sehelai nota yang ditaip rapi, ditulis dalam bahasa Kebangsaan.
Ia berbunyi: YB Josephine adalah ancaman terhadap keharmonian. Lebih baik riwayatnya ditamatkan supaya masyarakat berbilang kaum boleh tinggal aman damai di negara bertuah ini. Saya berkorban untuk masa depan.
Malang Abdullah!
Posted by albanna at 8:16 AMIhsan harakahdaily
| Petang Selasa 7 Oktober, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi belum membuat keputusan untuk mempertahankan jawatan Presiden Umno dalam pemilihan parti itu yang dianjak kepada Mac tahun depan, namun ketika akhbar ini berada di pasaran, teka-teki itu telahpun terjawab.
Abdullah tentu tidak pernah menduga kerjaya politiknya bakal berakhir secara cukup tragis, sepertimana beliau tidak termimpi dilantik ke jawatan no. 1 itu, lima tahun lalu. Mungkin ada pihak melihat banyak "kebetulan" menyebelahi Abdullah selama ini, namun ahli politik pastinya tidak boleh mengharapkan hanya kepada rantaian "kebetulan" dan "nasib baik". Ramai teman-teman mengimpikan agar Abdullah dapat memulangkan kembali negara kepada kita semua. Biar rakyat, sekurang-kurangnya, dapat berimiginasi bagaimana Malaysia harus dikendalikan bersama. Walaupun mengakui personaliti Perdana Menteri baru tidak sehebat penyandang sebelumnya - dan itulah "kelebihan" Abdullah - saya sendiri mengharapkan institusi-institusi penting seperti Parlimen, Suruhanjaya Pilihan Raya, Badan Pencegah Rasuah dapat diperkukuh dan dimantapkan. Saya cuba melihat sisi positif dalam usaha pembaharuan Abdullah itu walaupun banyak bayangan hitam menyelubunginya. Niat Abdullah mungkin luhur, namun beliau tidak mempunyai kekuatan tekad politik yang kental. Memang tidak mudah melakukan reformasi jika tidak didokong anggota kerajaan dan ahli parti, apatah lagi sosok Abdullah tidak menjelmakan aura seorang pemimpin karismatik, malah mudah tunduk dengan kehendak keluarga dan pasukan penasihatnya. Ya, Abdullah nampak mudah didekati, jauh lebih mesra berbanding Mahathir, namun pemimpin yang mahu menerajui perubahan perlu perwatakan lebih sofistikated, sekurang-kurangnya meneladani salah satu sifat Nabi, kebijaksanaan. Lalu timbul persoalan, apakah Dr Mahathir tidak menyedari kelemahan ketara yang paling asas itu - keupayaan kepimpinan? Tentulah tidak adil untuk memperlekehkan apa saja usaha Abdullah seolah-olah beliau langsung tidak menyumbang apa-apa buat negara tercinta ini. Tekadnya memang ada, keazamannya terserlah, niatnya tidak perlu dipertikai, nampak bibit-bibit positif dari usaha reform beliau. Sayang, ramuannya belum cukup untuk Abdullah berdiri tegak berdepan cabaran badai-taufan, melalui simpang-perenang yang mengelirukan, apatah lagi menawarkan formula terbaik untuk Malaysia keluar daripada lingkaran masalah dan konflik berpanjangan. Jika Abdullah sebelum ini dilihat sering "bernasib baik", malangnya ketika di penghujung, beliau bagai keseorangan melalui terowong gelap. Pelan peralihan kuasa 2010 ditolak mentah-mentah. Usaha pemulihan parti serba tidak menjadi. Rakan-rakan dalam BN menikam dari belakang. Teman baik sesama Umno pun tidak menghormatinya lagi. Benar, bila kelapa tumbang, kura-kura pun boleh memanjatnya. Abdullah bakal pergi. Bagaimana pula penggantinya? Najib Razak, Tengku Razaleigh Hamzah, Muhyiddin Yassin, atau pimpinan Pakatan Rakyat sudah bersedia menyambut amanah besar ini? Mungkinkah Umno-BN dapat dipulihkan dengan kepimpinan baru nanti, atau lebih bercempera? Seperti Abdullah yang tidak lagi "bernasib baik", saya juga risau jika Pakatan Rakyat terus mengimpikan "kebetulan" dan "nasib baik" menyebelahi mereka. ______________________ (Abdullah mengumumkan keputusannya untuk tidak mempertahankan jawatan presiden Umno dalam pemilihan parti itu Mac depan petang semalam (8 Oktober 2008).Beliau juga akan melepaskan jawatan perdana menteri dan menyerahkan kuasa kepada timbalannya pada bulan Mac apabila Dato' Seri Najib Razak dipilih sebagai presiden baru parti itu.) | |||||||||
Salam Ramadhan 1429H
Posted by albanna at 9:26 AM2. Praxis
3. Hassan Hanafi
4. asSyahid Muthahari
5. Nuruddin arRaniri
Moga dipermudahkan.
Panduan dan Amalan Bertaubat
Posted by albanna at 12:24 PMImam Ghazali berkata: Jika seseorang yang bertaubat melakukan sesuatu perbuatan dosa, sama ada dilakukan dengan sengaja kerana dorongan syahwat atau dilakukan tanpa disengajakan, maka wajib baginya segera bertaubat, menyesali perbuatan tersebut dan berusaha menghapuskannya dengan melakukan kebaikan.
Seandainya jiwanya tidak membantunya untuk berazam meninggalkan perbuatan tersebut disebabkan penguasaan syahwat, maka yang demikian bererti bahawa ia telah lemah daripada melakukan salah satu daripada dua kewajiban.
Dengan demikian, tidak sepatutnya baginya meninggalkan kewajiban yang kedua, iaitu menghapuskan keburukan tersebut dengan melakukan kebaikan, yang dengannya ia telah menjadi orang yang melakukan amalan yang baik sebagai tampalan bagi amalan lain yang buruk.
Amalan-amalan baik yang dapat menghapuskan amalan-amalan buruk, sama ada dengan hati, dengan lidah atau pun dengan anggota badan. Dan hendaklah kebaikan tersebut pada tempat keburukan, dan pada yang berkaitan dengan sebab-sebabnya.
Amalan dengan hati, iaitu dengan memohon bersungguh-sungguh kepada Allah SWT agar Allah SWT mengampuni dan memaafkan, dengan penuh kerendahan hati, menghinakan diri seperti hinanya seorang hamba yang melarikan diri dengan menzahirkan kehinaan terhadap seluruh hamba Allah, iaitu dengan mengurangi kesombongannya dalam berhubungan dengan mereka, menyembunyikan kebaikan kepada sesama orang Islam dan berazam untuk taat.
Amalan dengan lisan iaitu dengan mengakui kezaliman (Kesalahan melakukan ma'siat) dengan membaca:
"Wahai Tuhanku, aku telah menzalimi diriku sendiri dan telah melakukan keburukan, maka ampunilah bagiku segala dosaku."
Di samping itu hendaklah beristighfar dengan membanyakkan pelbagai istighfar. Amalan dengan anggota badan pula adalah dengan melakukan ketaatan, membanyakkan bersedekah dan menekunkan diri dengan ibadat.
Di dalam athar, ada yang menunjukkan bahawa perbuatan dosa, jika diikuti oleh lapan perbuatan baik, maka harapan untuk dimaafkan adalah cerah, iaitu empat amalan hati dan empat amalan anggota badan.
Perbuatan yang merupakan amalan hati ialah:
Pertama: Bertaubat atau azam untuk bertaubat;
Kedua: Suka meninggalkan dosa;
Ketiga: Takutkan seksaan ke atas dirinya; dan
Keempat: Mengharapkan keampunan baginya.
Adapun yang merupakan amalan anggota badan ialah:
Pertama: Solat dua rakaat selepas melakukan dosa.
Abu Daud, Ibnu Majah, Ahmad dan Tirmizi meriwayatkan daripada Abu Bakr al-Siddiq r.a. bahawa beliau berkata:
"Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Tidaklah seorang hamba melakukan perbuatan dosa, kemudian ia mengelokkan wudu dan solat dua rakaat, kemudian meminta keampunan kepada Allah, melainkan Allah pasti akan mengampuni baginya, kemudian baginda SAW membaca ayat (Apabila mereka melakukan perbuatan keji atau menzalimi diri mereka sendiri, mereka mengingat Allah... dan seterusnya)".
Dalam riwayat Ibnu Murdawaihi dalam Tafsir dan Baihaqi dalam Syu'ab al-Iman daripada hadis Ibnu Abbas r.a. pula mengatakan empat rakaat.
Kedua: selepas solat hendaklah membaca istighfar tujuhpuluh kali, kemudian membaca sebanyak seratus kali:
"Maha Suci Allah Yang Maha Agung dengan segala pujian bagiNya"
Ketiga: bersedekah; dan
Keempat: berpuasa sehari.
Muslim, Tirmizi, Abu Daud dan Ahmad meriwayatkan daripada Abdullah Bin Mas'ud r.a. bahawa beliau berkata:
"Seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah SAW dan berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya saya telah menggauli seorang perempuan di hujung kota Madinah, dan saya telah melakukan terhadapnya selain menyetubuhinya. Inilah saya, hukumlah ke atas diri saya apa yang Tuan hamba kehendaki.
Umar berkata kepadanya: Allah telah menutupi anda, jika anda menutupi diri anda sendiri.
Ia (Abdullah Bin Mas'ud) berkata: Nabi SAW tidak menjawab sesuatu, maka orang itu pun berdiri dan pergi. Nabi SAW menyuruh seseorang mengikutinya dan memanggilnya, dan membacakan kepadanya ayat ini(Tegakkanlah solat pada dua tepian siang dan pada waktu mendekati malam. Sesungguhnya kebaikan menghapuskan kejahatan. Yang demikian sebagai ingatan bagi orang-orang yang mahu beringat).
Maka salah seorang telah bertanya: Wahai Nabi Allah, adakah ini khusus baginya?
Baginda menjawab: "Bahkan bagi semua manusia."
Tirmizi dan Ahmad meriwayatkan daripada Mu'az Bin Jabal r.a. bahawa beliau berkata:
"Seorang lelaki telah mendatangi Rasulullah SAW dan berkata: Wahai Rasulullah, apa kata tuan hamba mengenai seorang lelaki yang telah menemui seorang perempuan yang tidak dikenalinya, kemudian tidak ada sesuatu yang dilakukan oleh seseorang terhadap isterinya melainkan ia melakukannya terhadapnya, hanya sahaja ia tidak menjimaknya?"
Beliau (Mu'az) berkata: Maka Allah Azza Wa Jalla telah menurunkan ayat yang bermaksud(Tegakkanlah solat pada dua tepian siang dan pada waktu mendekati malam. Sesungguhnya kebaikan menghapuskan kejahatan).
Beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda kepadanya: Berwudu'lah, kemudian solat. Mu'az berkata: Aku bertanya: Wahai Rasulullah, adakah ia khusus baginya atau bagi kaum mukminin umumnya?"
Baginda bersabda: Bahkan bagi kaum mukminin umumnya".
Hadis tersebut menunjukkan bahawa menggauli perempuan, selain zina, termasuk dosa kecil yang terhapus oleh amal kebajikan.
Muslim dan Ahmad meriwayatkan daripada Abi Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:
"Solat yang lima waktu, Jumaat ke Jumaat dan Ramadhan ke Ramadhan menghapuskan dosa-dosa yang dilakukan di antara waktu-waktu tersebut, selama dihindari dosa-dosa besar".
Dalam keadaan bagaimanapun seseorang yang bertaubat mestilah menghisab dirinya setiap hari dan berusaha menghapuskan setiap dosa dengan hasanat.
Mengenai istighfar, bukanlah istighfar yang hanya dengan lisan, yang dianggap oleh sebahagian ulama sebagai taubat al-kadzdzabin (taubatnya para pendusta), yang berhajat kepada istighfar yang banyak, sebagaimana dikatakan oleh Rabi'at al-Adawiyah.
Tetapi yang dimaksud adalah istighfar yang disertai kesungguhan hati memohon keampunan kepada Allah SWT dengan merendahkan diri, dengan niat yang ikhlas dan keinginan yang benar.
Istighfar yang demikianlah yang boleh menghapus dosa kejahatan, dan istighfar itu pula yang dimaksud dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Tirmizi daripada Abi Bakar r.a. bahawa Nabi SAW bersabda:
"Tidaklah dianggap sebagai orang yang berketetapan hati untuk terus mengerjakan (ma'siat) orang yang beristighfar, meskipun ia mengulangi dalam sehari tujuh puluh kali.
Tetapi, menurut pandangan Imam Ghazali, istighfar dengan lisan juga merupakan kebaikan, kerana gerakan lisan dengan istighfar, walaupun dengan kelalaian hati,adalah lebih baik daripada gerakan lisan dengan mengumpat atau bercakap lebih, bahkan baik daripada diam.Ia dianggap kurang jika dibandingkan dengan amalan hati.
Ketika seseorang berkata kepada gurunya, Syaikh Abi Uthman Al-Maghrabi: Lidahku sering berzikir dan membaca Qur'an, sedang hatiku dalam keadaan lalai.
Beliau menjawab: Bersyukurlah anda kepada Allah, kerana Allah menggunakan salah satu anggota anda dalam kebaikan dan membiasakannya berzikir, dan tidak menggunakannya dalam keburukan dan tidak membiasakannya dalam bercakap lebih.
Imam Ghazali menyatakan bahawa apa yang dikatakan oleh beliau adalah benar. Sesungguhnya membiasakan anggota-anggota badan dalam kebaikan sehingga menjadi seperti tabiat baginya boleh mencegah sejumlah ma'siat.
Orang yang membiasakan lidahnya beristighfar, apabila mendengar kedustaan daripada seseorang maka lidahnya beristighfar, apabila mendengar kedustaan daripada seseorang, maka lidahnya akan segera mengatakan: AstaghfiruLlah.
Tetapi orang yang membiasakan cakap lebih, lidahnya akan segera mengatakan: Alangkah bodohnya anda, alangkah buruknya kedustaan anda.
Orang yang membiasakan isti'adzah, apabila diceritakan tentang kemunculan gejala-gejala buruk daripada seorang yang jahat, lidahnya akan segera mengatakan: Na'udzu biLlah.
Tetapi orang yang membiasakan cakap lebih, lidahnya akan segera mengatakan: Semoga Allah melaknatnya.
Antara kedua ucapan tersebut terdapat perbezaan. Yang pertama memperoleh kebaikan sebagai kesan membiasakan lidahnya dalam kebaikan, sedang yang kedua sebaliknya.
Mengenai ucapan Rabi'at al-Adawiyah bahawa istighfar kami berhajat kepada istighfar yang banyak, janganlah disangka bahawa beliau mencela gerakan lisan dari segi bahawa ia adalah dzikruLlah, tetapi beliau mencela kelalaian hati, dan kelalaian hati inilah yang berhajat kepada istighfar yang banyak. Kerana, seandainya lidahnya diam, maka ia berhajat kepada lebih banyak istighfar lagi.
Kematian dan Ramadan
Posted by albanna at 8:33 AM| Ahmad Lutfi Othman | |
| Ramadan datang lagi. Alhamdulillah kita sempat menyapa dan mendakapinya penuh erat. Ia kurniaan Ilahi maha hebat, cukup sempurna, menyejukkan gelisah, mententeramkan resah. Awalannya rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirannya bebas dari api neraka. Masya-Allah. Namun, ini mungkin Ramadan terakhir buat kita. Penghujung nyawa adalah rahsia. Renungilah. Berapa ramai anggota keluarga terdekat dan teman rakan, yang bersama kita Ramadan setahun lalu, kini tiada lagi, tidak sempat untuk menikmati ujian dan menjalani tarbiyah dalam madrasah penuh pengorbanan ini. Justeru jangan terleka. Peluklah dengan penuh kecintaan - setelah rindu yang amat sangat terlerai sudah - Ramadan yang sarat dengan keberkatan ini. Pintu-pintu syurga terbuka, pintu-pintu neraka ditutup, syaitan terbelenggu. Hamparan ketakwaan dibentang seluas-luasnya. Detik nafasmu adalah ibadah. Tidur rehatmu adalah ibadah. Apa lagi dengan bertadarus, menyantuni anak yatim, menyempurnakan silaturrahim, membela golongan tertindas, bersedekah, memuliakan ibu bapa, mengasihi orang tua, membantu golongan tidak berupaya, menyediakan bahan berbuka, selain berdoa dan memanjangkan sujud, serta menghidupkan malam dengan munajat dan taubat selepas bertarawih, sementara menanti malam seribu bulan. Menghampiri Ramadan kerap mengingatkan saya tentang pemergian secara tiba-tiba buat selama-lamanya, jantung hati kami sekeluarga, Nurul Syafiqah, pada pagi 1 Ramadan, jam 8.15, tiga tahun lalu. Dalam usia 11 tahun, kematian Syafiqah, anak kedua kami, cukup meremukkan hati; mencampakkan saya, isteri dan empat anak yang lain ke penjuru satu dunia berbeza. Ternyata kasih sayang buat anak kecil darah daging sendiri begitu luar biasa, tertanam jauh di dalam kalbu, menyelinap setiap denyut nadi. Ya, Ramadan dan kematian menjadi cukup intim, saling mengingatkan, walaupun selalunya peringatan itu mudah dilupakan. Khabar kematian sering mengejutkan. Debarannya keras sekali. Hentakannya boleh memutuskan angan-angan. Sayang, insan selalu alpa. Kematian anak kecil, apa lagi yang tidak didahului dengan sakit memanjang, lebih "istimewa" berbanding kehilangan ibu atau ayah, atau keluarga terdekat lainnya. Ia memang menyesakkan nafas, membuntukan fikir, namun secara misteri mudah menyuntik rasa sedar-insaf bahawa panggilan Ilahi bisa datang secara tiba-tiba, tanpa bertanyakan apakah persiapan sudah beres atau masih khayal dengan hal duniawi yang tidak berkesudahan. Benar sekali sabda nabi. Perbanyakkanlah mengingati sesuatu yang dapat merenggut kelazatan dunia, iaitu mati. Rasulullah pernah ditanya tentang orang Mukmin yang paling mulia, maka jawabnya adalah orang yang paling baik akhlaknya. Ditanya lagi, orang Mukmin mana yang paling beruntung atau cerdas, maka jawab baginda, mereka yang paling banyak mengingati mati dan mempunyai bekal yang banyak untuk menghadapi kematian. Ramadan menjanjikan gandaan pahala, menghaluskan jiwa dan mendorong untuk melakukan amalan kebajikan. Manakala mengingati kematian menyebabkan seseorang menyegerakan taubat, rendah hati dan rajin beribadah. Namun Ramadan bukan pula membungkus seseorang dengan aktiviti individualistik semata. Khidmat buat masyarakat, menarik tangan masyarakat bawahan yang tertekan, terutama dalam kesempitan hidup yang menggigit ini; semuanya perlu ditingkatkan setulusnya, sebagai satu persembahan agung buat Ilahi. Sesungguhnya Allah amat mencintai makhluk yang paling penyayang pada makhluk yang lain, yang paling bersungguh-sungguh dalam memenuhi keperluannya. Usah terlepas lagi daripada merangkul kenikmatan Ramadan yang sangat istimewa itu. Pesan saya buat diri yang sangat mudah terleka ini, walaupun Syafiqah kerap mengejutkannya. - mks._ |
Eksklusif: Nik Nazmi, Waris Diari Merah
Posted by albanna at 8:45 AM| | |
| Oleh Wartawan KLpos.com | |
| Rabu, 25 Julai 2007 | |
| APAKAH diari merah dan apakah kuasanya? Mari kita mulakan dengan persoalan asas itu terlebih dahulu. Kata empunya cerita, diari merah merupakan jadual aktiviti dan pertemuan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ia merupakan tradisi Anwar sejak menjadi Menteri Pendidikan lagi, bahawa beliau akan menghadiri semua pertemuan atau aktiviti yang hanya terkandung dalam diari merah. Ada riwayat mengatakan, pada satu ketika diari itu dikongsi dua staf paling kanan tapi kemudiannya dibawah takluk seorang sahaja. Kononnya sesiapa pegang diari merah, dialah yang paling berkuasa di dalam pejabat Anwar. Kononnya.
Kata orang, kini Nazmi yang paling berkuasa di pejabat Anwar kini. Semua yang nak jumpa big boss itu kena lalu meja dia dulu. Kononnya dia pewaris baru diari merah. Bagi pembaca internet muda, nama Nik Nazmi Nik Ahmad tidak asing, dia editor laman web Suaraanum.com. Sebuah majalah web atau webzine daripada penulis-penulis muda yang percaya tentang perubahan. Yang mana ia merupakan editor bersama seorang lagi rakan CK Tan. Penulis muda di zaman gelora Ketika belajar lagi, beliau aktif menulis, samada menggunakan nama penuhnya atau nama samaran, kata seorang teman, beliau menggemari tulisan-tulisan Nazmi kerana ia penuh dengan informasi. "Agak luar biasa rasanya bagi anak muda yang semudanya (beliau lahir pada tahun 1982) tahu akan kisah-kisah klasik Yunani dan Roman, sistem politik yang mempunyai kepelbagaian bentuk dan ideologi serta kebolehan menulis yang membuatkan pembacanya tidak cepat bosan atau keliru. "Saya cukup kagum dengan segala 'database' yang tersimpan di dalam kepalanya. Perkara ini hanya dapat dilakukan dengan banyak membaca," kata Nizam Zakaria, seorang blogger yang juga rakan kepada Nazmi.
Tidak hairanlah mengapa dia merupakan calon terbaik untuk menjadi setiausaha Anwar dikalangan anak muda. Semasa beberapa staf Anwar, diketuai Khalid Jaafar memulakan pencarian calon setiausaha Anwar pada awal 2006, saya kira ada berbagai nama disebut. Senarainya panjang. Resume berjela-jela. Iyalah, bukan senang untuk mencari orang yang sesuai berada di jawatan tersebut. Konon ada sampai melobi sana sini untuk jawatan itu. Jelas sebagai setiausaha Anwar, ia merupakan anak kunci untuk mengenali tokoh-tokoh hebat dunia, paling awal mengetahui move politik sang pemimpin dan partinya, juga lain-lain. Jadi ramai yang berminat dan menawar diri. Ketika nama Nik Nazmi disebut sebagai setiausaha Anwar, semua diam, sekurang-kurangnya mereka tidak bangkang kerana tahu, anak muda ini juga bukan calang-calang pahlawan. Sebelum menyertai Anwar, Nik Nazmi dikenali dikalangan aktivis reformasi sebagai penulis kolum di Berita Keadilan, majalah Siasah, Malaysiakini bahkan pernah rencana tulisannya tersiar di Asiaweek dan beberapa majalah antarabangsa. Kelebihan utamanya adalah penguasaan baik di dalam bahasa Malaysia ataupun Inggeris. Dia boleh dikira intelektual muda dikalangan aktivis reformasi. Ketika menemuinya baru-baru ini, Nik Nazmi menceritakan cabaran yang dilalui sebagai orang kanan Anwar. Menurutnya, "Kerusi ini kerusi panas, yang paling susah adalah untuk menyusun jadual boss yang sentiasa padat." 'Penyapu baru' Jelas beliau, rutin harian di pejabat Anwar bermula jam 9.00 pagi sehingga lewat petang. "Jika Anwar ada, selepas mesyuarat harian, dia akan bertemu dengan orang sampai jam 11.00 pagi, selalunya kami hadkan kepada empat pertemuan sehari," cerita beliau. Kalau ada yang datang tidak buat temujanji dulu, selalunya Nik Nazmi yang terpaksa layan. Ada satu cerita yang popular dikalangan mereka yang rapat dengan staf-staf Anwar, kisah Nik Nazmi ketika bulan-bulan awal berkerja.
Kata pembawa cerita, habis sebuku itu Nazmi tulis masalah lelaki itu, masih belum cukup, tambah buku baru pulak. Masalah tak selesai, lama-lama Nazmi kata dia ada kerja lain, nanti dia bagitahu Anwar. Lepas dua jam barulah lelaki itu beredar dari pejabat Anwar. Itu hanyalah sekelumit cerita, jika anda rajin, cuba pergi ke pejabat Anwar pada hari-hari biasa, anda akan saksikan macam-macam orang datang, ada lagi satu cerita, kisah sekeluarga dari utara yang datang hendak minta tolong dari Anwar. Mereka menaiki teksi, sampai depan pejabat bagitahu duit hendak bayar teksi tidak ada, mahu tidak mahu staf-staf Anwar yang kena tanggung, bukan sikit, dekat-dekat lima puluh juga, khabarnya. "Itu semua suka duka kami, kita tidak boleh marah, itu menunjukkan harapan rakyat kepada Anwar tetap tinggi," katanya ketika diminta mengesahkan kejadian tersebut. Tidak seperti Izzah yang petah berceramah, Nazmi lebih terlatih sebagai penulis, dia banyak diam ketika temubual ini dibuat, cakap apabila ditanya, terasa payah benar mengorek pendapat-pendapatnya. Ketika ditanya pernahkah beliau dimarahi Anwar, Nazmi tersenyum, katanya, boss beliau orang politik jadi kalau hendak marahpun ada style tersendiri. "Kalau dia telefon kita, kemudian tanya khabar, dah makan, isteri sihat, maknanya ada yang tidak kena, kejab lagi dia mula marah, kenapa salah susun jadual dan lain-lain," kata Nazmi ketawa. Menurutnya, Anwar marah tidak lama, kejab sejuklah. Dan apabila sejuk dia tidak simpan dalam hati. Semua kembali seperti biasa. Minat Hishamuddin Rais? Ditanya mengenai buku terbaru yang beliau baca, kata Nazmi, dia kini sedang menekuni Confession of Economic Hit Man oleh John Perkin, dan biografi David Cameron, ketua pembangkang British. Nazmi merupakan penulis fiksyen Jostein Gaarder yang terkenal dengan 'Sophie's World' dan 'The Ringmaster's Daughter'. Menurut Nazmi, daya penceritaannya cukup mendalam dan imaginasinya cukup hebat. Ada yang menarik lagi dalam temubual itu, sudah tentu ia dibuat semasa Nazmi masih belajar dan belum menjadi setiausaha Anwar, saya bercadang untuk berkongsi dengan pembaca klpos.com. Nizam Zakaria (NZ): Katakanlah saudara terdampar di sebuah pulau di tengah-tengah sebuah lautan luas. Anda boleh pilih seorang individu yang akan menemani saudara. Siapakah individu tersebut. Tetapi saya ingin menjadi politikus yang menganggap politik sebagai peluang untuk menyumbang, dan bukan memperkayakan diri, keluarga atau rakan mahupun untuk menyalahgunakan kuasa. Ahli politik yang tidak terlalu lama memegang tampuk kepimpinan. Politik sebagai amanah bukan peluang peribadi. Panjang lagi temubual itu, saya petik sedikit sahaja, hendak berkongsi cerita Hishamuddin Rais dan ketawa bersama Amin Iskandar yang sedang membaca tulisan ini. Kita tunggu dan lihat.. |
Minda Pembaca: Biarlah rakyat yang berkorban
Posted by albanna at 11:41 AM| Khamis, 19 Jun 2008 | |
| APABILA ada orang bertanya kepada saya tentang kenaikkan harga minyak baru-baru ini – saya berkata ianya memang bagus dan tepat pada masanya. Memang bagus kerana dengan pengurangan subsidi ini, maknanya kerajaan kita akan mempunyai lebihan wang sebanyak lebih kurang 14 billion setahun. Memang banyak nilai 14 billion. 1 billion bersamaan seribu juta. 1 juta bersamaan - senang cerita duit RM 100 sebanyak 10,000 keping. Kepada rakyat, apa salahnya BERKORBAN untuk PEMIMPIN. Minyak naik 70 sen je la... Secara peribadi, dalam keadaan kerajaan kita yang begitu gigih melancarkan program untuk kesejahteraan rakyat melalui pelbagai koridor seperti ECER, NCER, WPI dan SCORE, saya merasakan kenaikkan petrol sehingga RM 2.70 masih terlalu rendah. Otak saya sentiasa berfikir, sudah cukupkah wang kerajaan dengan kenaikkan 78 sen ini?. Saya cukup risau kalau-kalau kerajaan masih tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk mentadbir dan menguruskan negara ini dalam keadaan yang sedang cukup bermasalah sekarang samada dari segi ekonomi dan politik dan kewangan negara. Ganjaran pengrorbanan buat RAKYAT! Saya juga risau, kalau-kalau pemimpin-pemimpin negara kita akan dipotong gaji dan elaun mereka lebih banyak selepas ini selepas pengumuman Pak Lah elaun para menteri, timbalan menteri, TPM malah PM sendiri akan dipotong sebanyak 10 peratus. Cukuplah dengan hanya rakyat sahaja yang perlu berkorban. Mereka sebagai pemimpin tidak seharusnya melakukan apa-apa pengorbanan. Rakyat yang memilih mereka menjadi pemimpin, maka rakyatlah yang perlu berkorban. Saya juga cukup-cukup bimbang kalau-kalau pemimpin negara yang baru sahaja kita pilih ini akan menjalani hidup yang susah ekoran kenaikkan harga minyak yang khabarnya sedang menggila ekoran spekulasi negara kecil Israel akan menyerang Iran. Bagi saya, biarlah rakyat berjalan kaki dengan selipar Jepun sekalipun, janji pemimpin yang kita pilih tadi dapat menaiki BMW, Mercedez ataupun paling-paling teruk pun AUDI keluaran terbaru. Malah, saya amat-amat takut kalau mereka terpaksa membuka tingkap kereta untuk mengurangkan kos penggunaan petrol kerana mereka tidak perlulah melakukan tindakan senekad itu. Bukan apa, saya takut nanti kereta mewah yang mereka naiki akan cepat rosak sekiranya banyak terdedah kepada habuk apabila tingkap dibuka. Tambah-tambah lagi habuk-haprak dari baju atau seluar rakyat kebanyakkan yang bekerja buruh seperti saya. Sudahlah selalu pakai selekeh, bau pula begitu semacam yang boleh mengakibatkan aksesori dalaman kereta mewah mereka akan cepat berkarat sekiranya selalu sangat berada berdekatan. Sebab itulah saya berasa tidak gembira, gemar dan seronok kalau-kalau pemimpin yang sangat kita kasihi ini selalu bercampur-gaul dengan rakyat kebanyakkan kerana mungkin baju, seluar atau topi berjenama - yang berharga ribuan ringgit yang selalu mereka pakai akan sama berbau sebagaimana bau rakyat kebanyakkan. Dan ini adalah amat bahaya sebenarnya kepada masa depan politik mereka kerana ianya secara langsung boleh menyebabkan mereka tidak lagi akan mendapat undi selepas ini terutamanya dalam menghadapi PRU ke 13 nanti. Saya juga amat bimbang kalau-kalau isteri-isteri pemimpin kita selepas ini tidak lagi dapat membeli pokok-pokok bonsai yang berharga RM1 ribu setiap satu selepas kenaikkan harga minyak atau dapat membeli aksesori-aksesori rumah yang kosnya bersamaan dengan gaji selama berpuluh-puluh, malah beratus-ratus tahun bagi rakyat kebanyakkan atau rakyat biasa. Sebab itulah RM 2.70 nilainya terlalu kecil sahaja. Malah saya merasakan nilai RM 5.55 sen seliter adalah paling berpatutan. Kenapa saya memilih angka 555?. Mudah sahaja kerana bunyinya kelihatan seperti buku 3-5. Maksudnya rakyat akan selama-lama nya hidup dalam keadaan yang sentiasa berhutang. Kalau negara pengeluar Minyak seperti Venezuela boleh memberikan rakyatnya sebanyak 16 sen seliter, saya merasa amat kasihan dengan pemimpin mereka. Otak saya ligat berfikir ‘mungkinkah negara mereka akan bangkrap kerana memberikan rakyatnya 16 sen seliter?. Mungkinkah pemimpin negara mereka akan menjadi miskin atau dapatkah nanti isteri-isteri mereka dapat membeli bonsai yang berharga RM 1 ribu atau lebih?. Mampukah negara mereka melaksanakan projek sebagaimana projek kebanggaan negara kita seperti ECER, NCER, WPI atau SCORE kalau mereka terus berdegil menjual minyak 16 sen seliter? Saya menjadi begitu marah kepada negara Venezuela. Aparaaaa U ni Venezuela….Begitu juga dengan negara Iran yang menjual petrolnya sebanyak RM 0.29 sen seliter. Nigeria – RM 0.32 sen seliter. Arab Saudi RM 0.38 sen se liter. Kuwait RM 0.67 sense liter. UAE RM 1.19 sen seliter. Mesir RM 1.03 sen seliter. Brunei RM 2.03 sen seliter dan akhirnya Malaysia RM 2.70 sen se liter. Yang menariknya –semua negara ini adalah pengeluar minyak yang aktif dan bukan sebagaimana Thailand, Indonesia ataupun Singapura yang bukan merupakan negara pengeluar minyak. Namun ketiga-tiga negara ini terpaksa menjadi ‘kambing hitam’ apabila selalu sahaja dijadikan perbandingan oleh Pak Lah dan konco-konconya setiap kali harga minyak dinaikkan. Sebab itulah pada hemat saya, biarlah rakyat sahaja yang pecah kepala otak berfikir bagaimanakah caranya, bukan sahaja untuk menjimatkan petrol malah jimat segala-galanya. Ihsan : KL Pos |
Fikir-fikirkanlah
Posted by albanna at 5:41 PM

Apakah wajar di kala ini keraian untuk orang-orang besar sama ada sultan atau menteri begitu mewah? Makanan yang dihidangkan untuk mereka, harga satu meja kadang-kala boleh dimakan oleh ratusan rakyat bawahan. Karpet yang dipijak oleh mereka harganya ribuan bungkusan nasi yang dimakan oleh 'orang biasa'.
(Gambar sekadar hiasan, PEMBUKA SELERA sempena RoadTour PROTES! Jangan lupa raikannya, ya.)
p/s : Ihsan Harakahdaily
Peluru Hidup
Posted by albanna at 11:31 PMNampak gayanya negara kita Malaysia mungkin akan menjadi juara tidak lama lagi. Ini kerana anggota keselamatan telah, sedang dan akan bersedia untuk menggunakan peluru hidup untuk menyuraikan mana-mana demonstrasi umum. Ini telah dibuktikan dengan kejadian yang berlaku di Batu Burok Terengganu dimana dua orang peserta demonstrasi telah ditembak dengan peluru hidup sehingga dimasukkan ke wad kecemasan.
Istilah peluru hidup adalah bersangkutan dengan mana-mana peluru (.22, .38, .357, .44, .45, 9MM, 5.56MM atau 7.62MM) iaitu mana-mana peluru yang biasa digunakan oleh anggota keselamatan sama (unit pejalan kaki) sama ada dari material plumbum atau timah bersalut tembaga. Jenis-jenis peluru hidup ini sememangnya ada dalam simpanan serta kegunaan anggota keselamatan. Ianya berlainan sekali dengan istilah peluru getah yang biasanya diperbuat daripada komposit khas yang boleh beroperasi dalam suhu -50 darjah Celsius sehingga 100 darjah Celsius. Peluru getah biasanya bersaiz 7.62MM, .50 Kaliber atau 12 Gauge (peluru penabur).
Oleh kerana anggota keselamatan kita jarang mendapat peluang untuk melepaskan tembakan (semasa beroperasi) sehinggakan ada anggota polis yang sepanjang hidupnya tidak pernah melepaskan tembakan selain dari masa latihan atau pertandingan. Oleh yang demikian, tindakan menggunakan peluru hidup dalam menyuraikan peserta demonstrasi telah memberikan peluang untuk anggota Polis mengadaptasi penggunaannya. Untuk pengetahuan semua, biasanya anggota keselamatan anti rusuhan dibekalkan dengan cota (besi atau kayu) siap dengan perisai komposit serta pad keselamatan pada lutut, siku dan bahu serta ada yang memakai baju kalis peluru.
Untuk itu adalah digalakkan kepada anggota Polis agar pada setiap masa menyuraikan peserta demonstrasi menggunakan peluru hidup dan menembak kepada mana-mana peserta yang mereka rasakan perlu untuk ditembak.
Jika pada setiap kali demonstrasi diadakan ada yang akan menjadi mangsa tembakan peluru hidup, saya rasa pada akhirnya tiada siapa yang akan berdemonstrasi kerana takut menjadi mangsa peluru hidup. Secara otomatisnya tidak pihak yang akan menganjurkan demonstrasi dimasa akan datang.
Kepada anggota keselamatan, saya ingin nasihatkan anda untuk menembak pada bahagian badan yang kritikal (dada atau anggota sulit) setiap kali anda melepaskan tembakan. Dengan cara ini, akan kuranglah peserta demonstrasi yang ingin menjadi juara pada setiap masa. Namun semua ini hanyalah boleh digunakan pada siri-siri demonstrasi yang dianjurkan mana-mana parti pembangkang, penduduk setinggan atau para pekerja yang berpiket.
Anda sama sekali tidak wajar menggunakan perkara yang sama (menembak dengan peluru hidup) pada mana-mana siri demonstrasi yang dilakukan oleh para penternak babi dan sebagainya. Ini kerana penternak babi akan menggunakan babi sebagai perisai mereka dan ini akan mencederakan atau membunuh babi sekiranya anda menggunakan peluru hidup. Untuk kes ini, anda digalakkan menggunakan senjata “Paintball” untuk mengurangkan risiko babi cedera atau mati.
Oleh itu kesimpulannya ialah;
1. Peluru hidup perlu digunakan untuk menyuraikan demonstrasi yang dianjurkan parti pembangkang, para pelajar, penduduk setinggan, piket kesatuan sekerja atau mana-mana perhimpunan yang anda (Pihak Keselamatan serta Kerajaan) klasifikasikan sebagai merbahaya waima ianya dibuat oleh kanak-kanak sekolah. Mana-mana rundingan tidak perlu diadakan dengan penganjur demonstrasi dan tidak perlu penjelasan serta pampasan diberikan kepada pihak yang tercedera.
2. Peluru getah atau peluru cat (paintball) perlu digunakan (dengan mendapat kelulusan khas) untuk menyuraikan demonstrasi yang dianjurkan oleh para penternak babi dimana-mana lokasi di Malaysia. Jika boleh adalah perlu untuk diadakan rundingan secara baik dengan para penternak babi dan tidak sama sekali boleh digunakan penyelesaian secara kekerasan. Malah pampasan perlu disediakan jika terdapat mana-mana babi yang tercedera atau mati atas sebab demonstrasi ini.
p/s: Sinikal ketuaperusuh.wordpress.comMarhaban Ya Ramadhan, ('',)
Posted by albanna at 5:33 PM
Apakah yang terlintas di fikiran kita apabila muncul bulan Ramadhan? Ibadah atau amalan semasa berpuasakah, persiapan raya atau lainnya? Jarang kedengaran di kalangan umat Islam membuat persiapan ibadah untuk menyambut bulan Ramadhan seperti membeli telekong baru, songkok atau sejadah khusus untuk digunakan beribadah sepanjang Ramadhan. Begitu juga ulangkaji tentang ibadah-ibadah yang akan dilakukan. Terdapat pula di kalangan kita yang tidak senang dengan kehadiran bulan ini. Bulan ini benar-benar membebankan bagi mereka. Mungkin kerana sebahagian aktivitinya tidak dapat dilakukan seperti biasa. Masih terdengar lagi kata-kata ustaz atau tok-tok guru, Ramadhan bulan rahmat dan keampunan, bulan ganjaran, pahala berlipat ganda, bulan mendisiplinkan diri dan berbagai lagi. Bagi orang yang beriman, bulan Ramadhan sentiasa ditunggu dan dirindui kerana mengharapkan peluang mendapat rahmat dan keampunan ALLAH. Tetapi bagi yang kurang beriman, Ramadhan itu benar-benar bulan menyiksakan. 30 hari dirasakan 30 tahun. Ini kerana mereka tidak bebas untuk makan dan minum di khalayak ramai. Bulan Ramadhan adalah bulan paling istimewa kedudukannya kerana selama sebulan penuh bermula dari hari pertama hingga hari terakhir bulan ini dikenali sebagai bulan ibadah. Apa sahaja yang dilakukan dalam bulan ini dikira ibadah hatta tidur pun dikira ibadah. Tetapi dengan syarat niat tidur kerana Allah seperti tidur siang dengan harapan dapat bangun malam untuk melakukan qiamullail. Bulan Ramadhan menjadi pengukur keimanan seorang hamba ALLAH sebab peraturannya yang wajib dilaksanakan benar-benar mencabar fitrah semula jadi atau naluri manusia yang sentiasa ingin makan dan minum. Begitu juga dengan larangan bercampur suami isteri di siang hari, serta menjauhi segala perbuatan yang membatalkan puasa. Sakit pula seperti gastrik contohnya, sering dijadikan alasan untuk meninggalkan ibadah puasa yang wajib dilaksanakan selama sebulan sedangkan ALLAH SWT telah memberi kita ruang yang cukup luas iaitu 11 bulan dalam setahun untuk makan dan minum sepuas-puasnya. Di samping itu, perlu dijelaskan bahawa walaupun sakit mereka mesti berazam dan berusaha untuk berpuasa. Bukan bila sakit sahaja terus meninggalkan puasa. Hatta orang yang terlalu tua dan lemahpun mereka mesti tanamkan semangat dalam dirinya, wajib berpuasa sekadar kemampuan yang boleh walaupun setengah hari. Sesungguhnya pahala puasa dan amalan-amalan di bulan Ramadhan adalah jauh lebih baik dari bulan-bulan yang lain. Oleh itu tidak wajar kita meninggalkan puasa kerana sakit. Semangat atau daya juang yang tinggi boleh mengatasi rasa lapar. Inilah dinamakan jihad untuk melawan hawa nafsu. Kalau kita rasa tidak boleh laksanakan puasa sudah tentu tidak boleh puasa. Dalam hal ini jangan berbuka puasa kecuali sakit yang boleh memudharatkan diri. Dari segi kesihatan, puasa dapat merehatkan penghadaman yang bekerja selama 11 bulan tanpa henti. Menurut pakar kesihatan bagi pengidap penyakit seperti kencing manis dan darah tinggi puasa bulan Ramadhan boleh menjadi ubat yang paling mujarab untuk mengubati penyakit tersebut. Oleh yang demikian, setiap individu Muslim perlu menerima tanggungjawab berpuasa sebagai suatu amalan positif yang dapat meningkatkan ketahanan fizikal, spiritual dan mental.




